Wednesday, 24 September 2008

Akhirat Satu Wawasan

Nabi Muhammad SAW telah bersabda; “orang yang paling bijak ialah orang yang sering mengingati mati dan bersedia untuk menghadapinya”.


Seseorang yang bercita-cita tinggi dan berwawasan adalah dikatakan berpandangan jauh. Sedangkan orang yang dapat berpandang jauh itulah orang yang bijak. Misalnya, segala apa yang dilakukan hari ini adalah untuk dicapai pada seribu tahun akan datang. Sebagaimana sesebuah negara yang berwawasan, Malaysia contohnya, mempunyai wawasan 2020 dikatakan sebuah negara yang bijak. Masyarakat dididik supaya mamajukan diri dengan membawa gambaran di tahun 2020 nanti semuanya akan maju dan canggih. Sesiapa yang tidak mempersiapkan diri akan ketinggalan.

Orang yang berpandangan jauh ini juga boleh dikaitkan dengan petani dan peniaga. Petani hanya menanam biji-bijian dengan harapan dan pandangan biji-bijian itu akan tumbuh membesar subur dan menghasilkan buah yang bernas serta akan dijual kepada orang yang memerlukan. Keuntungan dari itu akan digunakan dalam kehidupannya.
Lihat betapa penting wawasan. Daripada bertanam-tanaman akan dapat menyelamatkan masyarakat.

Begitu juga dalam pendidikan. Falsafah cina ada mengatakan; jika ingin maju hingga 10 tahun akan datang kamu tanam pokok dan jika ingin maju hingga 100 tahun akan datang maka kamu didiklah anak-anak muda. Inilah wawasan yang wujud dalam pendidikan anak-anak. Pendidikan yang baik akan mencorak masa depan dengan baik. Sebaliknya keruntuhan aspek pendidikan akan memusnahkan masa depan individu, masyarakat dan negara.

Agama Islam pula selaku sistem hidup yang satu-satunya baik untuk manusia mengakui bahawa kebijaksanaan seseorang memang bergantung pada kemampuan seseorang berpandangan jauh serta berwawasan. Wawasan yang paling baik bagi manusia ialah kematian. Sebagai mana hadis yang didatangkan di atas. Ini kerana kematian atau akhirat adalah masa depan manusia yang paling akhir. Tiada lagi masa depan selain akhirat. Destinasi yang terakhir bagi manusia.

Seseorang yang mahu akhiratnya baik dan damai maka dunia ini adalah tempat untuk berusaha segigih mungkin untuk mencapainya. Maka sebaliknya akan berlaku jika kita lalai dan mengabaikan pekerjaan yang boleh membawa kebaikan di akhirat nanti. Apatah lagi mereka yang lupa langsung wawasan akhirat yang penting ini.
“Addunia darul ‘amal wal akhiratu darul jaza’…”

Maka, sebaik-baik amal atau pekerjaan adalah pekerjaan yang boleh merealisasikan cita-cita kita di akhirat. Hakikatnya, tidak ada apa yang boleh memberi gambaran tentang hari akhirat selain Al-Quran dan As-sunnah. Dan bagaimana pula tanpa membaca Al-Quran kita mampu tahu tentang wawasan kita itu?!

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...