Friday, 23 December 2016

Sekadar Nasihat

Insaflah...
Dunia ini sementara
Umur hanya sementara
Kesihatan hanya sementara
Kuasa hanya sementara
Kedudukan hanya sementara
Jawatan hanya sementara
Bahagia hanya sementara
Yang kekal hanyalah Rabb Al-Jalal Wal-Ikram
Yang memberimu umur berlanjutan
Yang memberimu kesihatan dan kewarasan
Yang memberimu kuasa dan daya
Yang memberimu Kedudukan dan kesenangan
Yang memberimu segala-galanya

Muhasabahlah...
Kau sentiasa buat silap
Kau kira kau betul
Kau kira kau boleh perbetul
Kau kira kau menguasai
Kau kira kau hebat
Kau kira kau takkan mati
Padahal... tiada daya tiada upaya
Melainkan Tuhan Yang Maha Kuasa

Hayatilah...
Ketika kau berdepan dengan manusia
Kau campurkan emosi dengan kuasa
Lalu kau canangkan kemarahan
Lalu kau campakkan kegeraman
Lalu kau cambahkan keegoan
Lalu kau camtumkan dengan keangkuhan
Lalu apakah tujuan hidup?
Lalu apakah pesanan Nabi SAW?
Lalu apakah suri tauladan terbaik?
Lalu apakah kita bukan sama-sama hamba?
Lalu apakah kita lupa?
Betapa Nabi menyayangi umat
Betapa Nabi tidak berdendam kesumat
Betapa Nabi tidak akan berhasad
Betapa Nabi sedia memberi syafaat

Ubahlah...
kita umat Muhammad
Baginda ikutan
Baginda Tauladan
Berbahgialah mengikutinya
Berbuatlah kebaikan
Bertindak adil dan saksama
Jauhi sikap acuh tak acuh sambil lewa
Jauhi sikap buruk sangka
Pimpinlah tangan menuju jaya
Bimbinglah hati menuju syurga

Fikirkanlah...
Jangan bertuhankan pemikiran dan perasaan
Apa hak kita untuk menyembah apa yang kita fikirkan
Apa hak kita sujud pada perasaan
Padahal yang wajib disembah Allah
Padahal yang wajib bersujud hanya padaNya

Renungkanlah...
Takkan ke mana orang yang angkuh
Menganggap diri bijak
Menafikan hak yang berhak
Mengenepikan kebebasan pemikiran
Memisahkan orang yang nak bersatu
Menyusahkan orang yang sedia membantu
Memenangkan orang yang berseteru
Menepis orang yang tak sebulu
Meminggirkan orang yang hebat
Membuat keputusan yang tidak tepat

Marilah sahabat...
Marilah berpakat
Carilah berkat
Carilah muafakat
Carilah rahmat
Belum terlambat
Belum lagi jauh tersesat
InsyaAllah masih sempat
Semoga semuanya selamat

Wan Norhisyam | 23 Disember 2016
GSA Jalan Pahang, KL

Wednesday, 21 December 2016

Catatan Sebuah Kenangan

Seketika di library Akademi mata bergenang melihat buku-buku terbitan Akademi. Aku mula melihat satu persatu. Di sini kenangan indah dan suka duka tercipta sebagai hamba fakir menongkah arus akademik.

Buku yang diterjemah ke dalam bahasa Inggeris berjudul Islamic Management meninggalkan seribu satu kenangan. Bila membelek-belek buku ini telinga bagai terngiang-ngiang gelak ketawa para panel dalam siri-siri pertemuan panel terjemahan buku. Yang paling best pada 2008 di Corus Paradise Port Dickson. Susah payahnya buku ini diterbitkan setelah melalui sesi-sesi pertemuan. Satu persatu ayat dan kata dalam buku ini disemak. Bagi aku buku ini sangat unik, seunik pencetusnya dan penterjemahnya. Segala kata yang tidak sesuai disesuaikan. Yang indah diperindahkan.

Kemudian aku merenung buku Etos kerja Islami. Aku menemui penulis buku ini dalam sesi pertemuan penulis-penulis buku di Jogjakarta pada sekitar tahun 2008. Paling manis, penulis buku ini, Nafis Irkhami mengabadikan nama aku di dalam pendahuluan buku ini. Walaupun aku bukan penulis buku ini, aku hanya urusetia yang mengurusetia pembangunan penulisan dan geran penyelidikan namun betapa rasa bangga apabila nama dinukilkan di dalam sebuah buku.

Seperti buku tersebut, penulis-penulis buku yang lain termasuk, En. Auni, Dr. Azah, Dr Hasniah, Dr. Suhaimi, En. Abdul Manaf Bohari, Dr. Siti Akmar Abu Samah dan lain-lain adalah sebahagian penulis yang menyumbang kepada Akademi. Seorang demi seorang aku dan team bertemu mereka dan sekian kali berbincang sehingga terhasil buku-buku hebat di Akademi.

Satu persatu aku menatap buku-buku ini dan mencium bau kertas yang wanginya bagi aku satu aroma yang luar biasa menyegarkan minda. Walaupun sebahagian buku-buku ini diterbitkan ketika aku sudah berada di departmen lain namun pengalaman mengumpul penulis dan menyemak bahan-bahan yang kadang-kadang sampai ke subuh sangat-sangat membekaskan memori indah di sini.

Setelah meninggalkan Akademi semuanya berubah. Hal yang seseronok dulu tiada lagi. Tiada lagi pertemuan-pertemuan akademik. Tiada lagi gemuruh suara-suara peserta-peserta kursus kendalian Akademi yang aku dengari. Aku meniti hari-hari dengan harapan ingin kembali ke sini lagi. Namun, perancangan Tuhan lebih sempurna bagi menguji insan-insan yang bergelar hamba.

Ketika meninggalkan library, aku melirik mata ke rak-rak buku. Aku terseyum, melihat sebahagian buku-buku ini aku dapatkan dari Islamic Book Fair di Jakarta pada 2009 ketika lawatan bersama prinsipal Fellow Akademi apabila ditugaskan memperbanyakkan sumber rujukan Pengurusan Islami.

Setelah puas melihat semua ini aku meninggalkan Library Akademi. Ya, semua orang harus pergi. Dan kini aku memilih untuk pergi. Cukuplah pengalaman indah di sini. Aku sudah tinggalkan sesuatu di sini. Tiada apa lagi harus dikesalkan...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...