Tuesday, 7 June 2016

Bazar dan Bufet: Persepsi Ramadhan Yang Sangat Salah

Tabiat orang Islam rata-rata sangat bercanggah dengan syariah dan tuntutan agama di masa bulan Ramadhan. Ini kerana persepsi yang salah terhadap ibadah di bulan berkenaan.
Bulan Ramadhan diwajibkan untuk berpuasa menahan lapar dan dahaga, tidak makan dan tidak minum selama 14 jam. Perut menjadi lapar dan tekak sangat dahaga. Terbayang-bayang di fikiran makanan yang lazat untuk berbuka bagi mengisi tekak dan perut. Terbayang makanan yang ada di bazar. Bermacam-macam aneka. Semuanya ingin dibeli.

Kebanyakan mereka akan menghabiskan sejumlah wang untuk membeli makanan di bazar. Dengan keadaan lapar urusan membeli menjadi sangat lancar tanpa berfikir dengan waras. beratus-ratus juadah dijual. Terjadilah pesta membeli belah di pasar Ramadhan. Suasana beratur panjang dan sesak biasa dilihat di semua bazar yang tumbuh seumpama cendawan selepas hujan. Belum lagi cerita pasal buffet Ramadhan di hotel dan restoran mewah. Belum lagi anjuran-anjuran berbuka besar-besaran.

Semasa berbuka pula seolah-olah suatu pesta makan diraikan. Makan dengan puas seumpama empangan yang pecah. Mengisi sepenuh-penuhnya perut yang lapar kerana puasa seharian. Oleh kerana kekenyangan solat maghrib dilewatkan. Tersandar seperti ular sawa menelan kambing. Hasilnya... mereka sukar untuk beribadah. Kalau solat terawih pun mungkin tidak selesa dan tidak khusyuk!

Selain pemakan dan pembeli, satu sudut bertentangan adalah peniaga bazar sendiri. Peluang berniaga sangat tinggi di bulan ini. Berniaga apa sahaja jenis kuih atau lauk atau sekurang-kurangnya minuman pasti untung. Terdapat 'demand' yang sangat tinggi menyebabkan peningkatan 'supply' serta 'market' menjadi sangat terbuka.

Bermula daripada karenah yang berbagai untuk mendapatkan tapak berniaga yang kadang-kadang terjadi insiden tidak diingini serta melunturkan roh Ramadhan. Peniaga akan bertungkus lumus untuk menghasilkan dan memasarkan jualannya setiap hari bermula seawal jam 3 petang lagi sampai jam 8 malam.

Melayan pelanggan selama 5 jam tenyata sangat meletihkan ditambah pula penyediaan makanan atau jualan sebelum itu menjadikan peniaga longlai dan lesu. Apakah mampu peniaga ini menunaikan ibadah puasa, solat wajib, solat sunat terawih dengan sempurna? Apatah lagi solat malam? Apatah lagi di malam-malam terakhir Ramadhan yang jualan menjadi meningkat dengan permintaan yang juga meningkat kerana sambutan raya?

Kedua-dua suasana ini sangat bertentangan dengan tuntutan Ramadhan sama ada di pihak pembeli dan penjual.

Apakah erti Ramadhan itu hanya nak dihayati ketika berbuka sahaja dengan sejumlah besar makanan? Apakah Ramadhan hanya peluang berniaga untuk mendapatkan keuntungan duniawi tanpa menghayati intipati Ramadhan?

Persepsi dan budaya ini perlu dirobah. Ibadah di bulan Ramadhan perlu dihayati dengan sesungguhnya. Tidak salah membeli juadah. Tetapi kuantiti yang sedikit sahaja. Lebih baik masak sendiri seperti hari-hari sebelum Ramadhan. Lauk yang biasa, minuman pun yang biasa. Ianya boleh mengelak pembaziran yang dilarang dalam Islam. Masaklah lebih sedikit untuk dihulurkan kepada jiran. Itulah budaya kita yang asal dan ia merupakan sedekah yang mudah.

Menghayati nilai puasa adalah dengan merasai kelaparan yang ditanggung oleh orang faqir dan miskin. Mungkin kita boleh bayangkan kedaifan umat Islam di Syria dan Palestin. Betapa bernilainya nikmat keamanan yang kita miliki. Betapa syukurnya nikmat rezeki yang Allah kurniakan kepada kita selama ini.

Pemakanan yang sederhana dengan mengikut sunnah mengambil kurma dan makanan sihat boleh memberi energi untuk melakukan solat terawih dan solat tahajud dengan sempurna. Terawih tidak terdapat di malam-malam di bulan yang lain. Amatlah rugi jika ketinggalan solat terawih dek kerana kekenyangan dan keletihan.

Jika persepsi pembeli atau pemakan sudah diubah, maka 'demand' sudah dapat dikawal atau dikurangkan, lama-kelamaan budaya bazar dan bufet Ramadhan akan dapat juga dikurangkan. Budaya gila berniaga sehingga menyebabkan tiada penghayatan Ramadhan, di kalangan umat Islam perlu diubah segera. Jangan sampai yang wajib diabaikan. Jangan jadi umat yang pentingkan dunia ketika Allah memberi peluang Ramadhan untuk meraih akhirat.

Saya mengharapkan budaya yang bertentangan ini dapat dikurangkan atau dihapuskan. Marilah kita kembali menghidupkan Ramadhan dengan semangat "imanan wahtisaban" atau "la'allakum tattaqun" sebagai mana umat Islam di Zaman Nabi Muhammad SAW. yang mana baginda jika datangnya bulan Ramadhan dihidupkan siangnya dengan berpuasa, sedekah dan membaca Quran. Manakala di malamnya pula berterawih, iktikaf, tahajjud dan sebagainya.

Wan Norhisyam
2 Ramadhan 1437
7 Jun 2016

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...