Tabiat
orang Islam rata-rata sangat bercanggah dengan syariah dan tuntutan
agama di masa bulan Ramadhan. Ini kerana persepsi yang salah terhadap
ibadah di bulan berkenaan.
Bulan Ramadhan diwajibkan untuk
berpuasa menahan lapar dan dahaga, tidak makan dan tidak minum selama 14
jam. Perut menjadi lapar dan tekak sangat dahaga. Terbayang-bayang di
fikiran makanan yang lazat untuk berbuka bagi mengisi tekak dan perut.
Terbayang makanan yang ada di bazar. Bermacam-macam aneka. Semuanya
ingin dibeli.
Kebanyakan mereka akan menghabiskan sejumlah wang
untuk membeli makanan di bazar. Dengan keadaan lapar urusan membeli
menjadi sangat lancar tanpa berfikir dengan waras. beratus-ratus juadah
dijual. Terjadilah pesta membeli belah di pasar Ramadhan. Suasana
beratur panjang dan sesak biasa dilihat di semua bazar yang tumbuh
seumpama cendawan selepas hujan. Belum lagi cerita pasal buffet Ramadhan
di hotel dan restoran mewah. Belum lagi anjuran-anjuran berbuka
besar-besaran.
Semasa berbuka pula seolah-olah suatu pesta makan
diraikan. Makan dengan puas seumpama empangan yang pecah. Mengisi
sepenuh-penuhnya perut yang lapar kerana puasa seharian. Oleh kerana
kekenyangan solat maghrib dilewatkan. Tersandar seperti ular sawa
menelan kambing. Hasilnya... mereka sukar untuk beribadah. Kalau solat
terawih pun mungkin tidak selesa dan tidak khusyuk!
Selain
pemakan dan pembeli, satu sudut bertentangan adalah peniaga bazar
sendiri. Peluang berniaga sangat tinggi di bulan ini. Berniaga apa
sahaja jenis kuih atau lauk atau sekurang-kurangnya minuman pasti
untung. Terdapat 'demand' yang sangat tinggi menyebabkan peningkatan
'supply' serta 'market' menjadi sangat terbuka.
Bermula daripada
karenah yang berbagai untuk mendapatkan tapak berniaga yang
kadang-kadang terjadi insiden tidak diingini serta melunturkan roh
Ramadhan. Peniaga akan bertungkus lumus untuk menghasilkan dan
memasarkan jualannya setiap hari bermula seawal jam 3 petang lagi sampai
jam 8 malam.
Melayan pelanggan selama 5 jam tenyata sangat
meletihkan ditambah pula penyediaan makanan atau jualan sebelum itu
menjadikan peniaga longlai dan lesu. Apakah mampu peniaga ini menunaikan
ibadah puasa, solat wajib, solat sunat terawih dengan sempurna? Apatah
lagi solat malam? Apatah lagi di malam-malam terakhir Ramadhan yang
jualan menjadi meningkat dengan permintaan yang juga meningkat kerana
sambutan raya?
Kedua-dua suasana ini sangat bertentangan dengan tuntutan Ramadhan sama ada di pihak pembeli dan penjual.
Apakah erti Ramadhan itu hanya nak dihayati ketika berbuka sahaja
dengan sejumlah besar makanan? Apakah Ramadhan hanya peluang berniaga
untuk mendapatkan keuntungan duniawi tanpa menghayati intipati Ramadhan?
Persepsi dan budaya ini perlu dirobah. Ibadah di bulan Ramadhan
perlu dihayati dengan sesungguhnya. Tidak salah membeli juadah. Tetapi
kuantiti yang sedikit sahaja. Lebih baik masak sendiri seperti hari-hari
sebelum Ramadhan. Lauk yang biasa, minuman pun yang biasa. Ianya boleh
mengelak pembaziran yang dilarang dalam Islam. Masaklah lebih sedikit
untuk dihulurkan kepada jiran. Itulah budaya kita yang asal dan ia
merupakan sedekah yang mudah.
Menghayati nilai puasa adalah
dengan merasai kelaparan yang ditanggung oleh orang faqir dan miskin.
Mungkin kita boleh bayangkan kedaifan umat Islam di Syria dan Palestin.
Betapa bernilainya nikmat keamanan yang kita miliki. Betapa syukurnya
nikmat rezeki yang Allah kurniakan kepada kita selama ini.
Pemakanan yang sederhana dengan mengikut sunnah mengambil kurma dan
makanan sihat boleh memberi energi untuk melakukan solat terawih dan
solat tahajud dengan sempurna. Terawih tidak terdapat di malam-malam di
bulan yang lain. Amatlah rugi jika ketinggalan solat terawih dek kerana
kekenyangan dan keletihan.
Jika persepsi pembeli atau pemakan
sudah diubah, maka 'demand' sudah dapat dikawal atau dikurangkan,
lama-kelamaan budaya bazar dan bufet Ramadhan akan dapat juga
dikurangkan. Budaya gila berniaga sehingga menyebabkan tiada penghayatan
Ramadhan, di kalangan umat Islam perlu diubah segera. Jangan sampai
yang wajib diabaikan. Jangan jadi umat yang pentingkan dunia ketika
Allah memberi peluang Ramadhan untuk meraih akhirat.
Saya
mengharapkan budaya yang bertentangan ini dapat dikurangkan atau
dihapuskan. Marilah kita kembali menghidupkan Ramadhan dengan semangat
"imanan wahtisaban" atau "la'allakum tattaqun" sebagai mana umat Islam
di Zaman Nabi Muhammad SAW. yang mana baginda jika datangnya bulan
Ramadhan dihidupkan siangnya dengan berpuasa, sedekah dan membaca Quran. Manakala di malamnya pula berterawih, iktikaf, tahajjud dan sebagainya.
Wan Norhisyam
2 Ramadhan 1437
7 Jun 2016
2 comments:
Woi setan....apa cakap pasal makanan dan tak sembahyang para perniaga.....mu sembahyang lima waktu tetapi keluarga mu kau aniayai. Kau ustaz apa macam tu.
Woi setan....apa cakap pasal makanan dan tak sembahyang para perniaga.....mu sembahyang lima waktu tetapi keluarga mu kau aniayai. Kau ustaz apa macam tu.
Post a Comment