Pagi Selasa lalu telefon bimbit aku berbunyi. Di skrin terpapar entah nombor siapa. Aku tak pernah simpan dan tahu nombor itu. Aku angkat dan letakkan di telinga. Bila terdengar suara itu memberi salam, aku sudah tahu siapa di talian. Bukan orang lain lagi. Sahabat karib aku, Jan (Shah Rizan).
“Syam, aku kat KL nih…”, Jan memberitahu lokasinya.
“KL…? Bila sampai?”, aku bertanya.
“Pagi ni, baru sampai”.
“Anak, isteri datang sekali?”.
“Tak, aku bawak anak murid aku”.
“Ooo… berapa hari kat sini?”.
“Besok malam kami balik”.
“Ok Jan, nanti petang aku call balik, aku ada meeting kejap”, aku memberitahu keadaan aku sekarang yang kebetulan pagi ni ada delegasi dari ILIM datang melawat Akademi.
“Ok ye… assalamualaikum”.
Aku menjawab salam sebelum mengakhiri perbualan singkat dan tidak dijangka itu.
Yang pastinya Jan sudah berada di KL. Inilah peluang untuk aku berjumpa dengan sahabat aku itu selepas aku tidak berkesempatan untuk berjumpa dengannya pada hari raya baru-baru ini. Walaupun rumahnya tidaklah seberapa jauh dari rumah aku, namun, timing sentiasa tidak betul ketika di kampung.
Setelah urusan pejabat beransur diselesaikan, petang itu aku kembali menelefoninya. Dari perbualan kami kali kedua dapatlah aku fahami lebih banyak tentang lawatannya ke KL. Lawatan itu terdiri dari 40 orang murid tahun enam dan diiringi 9 guru. Mereka menggunakan kereta api dari Tanah Merah Ke KL Sentral. Hari ini, Mereka akan melawat Pusat Sains Negara, KL tower dan Putrajaya. Malam ini mereka akan menginap di Hotel Maxico; berdekatan dengan KL sentral.
Aku segera memberi tahu dia bahawa aku akan berjumpa dengannya pada sebelah malam nanti iaitu selepas dia balik dari Putrajaya.
Malam itu, aku membawa isteri dan anak-anak sekali ke pusat Bandar. Dalam perjalanan, sekali lagi Jan menghubungi aku dan memberitahu Joe (Aziron Mohd Noor) dalam perjalanan ke Hotel tempat penginapannya.
Setelah berjumpa di KL Sentral, Jan bersama Joe serta isteri (Kak Zira) membuntuti kereta aku ke sebuah restoran di Lembah Pantai.
Di sinilah kami bertanya khabar dengan lebih-lebih terperinci dan bertukar-tukar cerita. Dari cerita diri sendiri, tentang kerja, anak, isteri dan aktiviti mereka semua sehinggalah kepada cerita-cerita pada masa dulu-dulu ketika kami sama-sama bergelar student.
Kami (aku, Jan dan Joe) adalah rakan satu sekolah, iaitu sekolah Sekolah Menengah Arab Meheliah Geting, Tumpat. Selepas SPM (1998) kami berhijrah ke Sekolah Menengah Arab Ar-Rahmah Kenali, Kubang Kerian bersama empat lagi rakan lain iaitu Zek (Mohd Nazri Hassan), Badrul (Badrul Hisham), Che Othman Abdullah dan Roney Ibrahim. Kami bertujuh menyewa rumah kayu yang ala-ala pondok berdekatan dengan kawasan sekolah. Tiga bulan kami di sekolah baru, Joe, Jan dan Zek mendapat tawaran untuk menyambung pengajian di Matrikulasi UIA. Badrul pula pindah ke sekolah lain (sekarang sudah lost contact). Tinggallah kami bertiga di Ar-Rahmah Kenali. Selama dua tahun kami di situ. Tahun pertama kami mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Ugama (STU) dan tahun kedua (STPM). Semasa di tingkatan enam atas, Roney pula mendapat tawaran Maktab Perguruan di Batu Rakit, Terengganu. Tetapi dia masih menghadiri peperiksaan STPM walaupun pada masa itu dia dan bergelar student Maktab Perguruan. Jadi hanya kami bertigalah yang tinggal di situ sehingga akhir.
Tahun 2000, Che Othman mendapat tawaran UKM dan aku UIA. Di UIA sekali lagi aku berjumpa dengan Zek, Joe dan Jan. kami sempat melalui Taaruf week (Minggu Sua Kenal) bersama di Main Camp (UIA Gombak).
Semasa di UIA, aku tidak ada ramai kawan. Boleh dikatakan mereka bertigalah yang selalu bersama aku. Banyak aktiviti yang kami buat bersama seperti; jalan-jalan di Bandaraya, berkelah dekat air terjun belakang UIA, menangkap atau memancing ikan, lepak-lepak dan lain-lain kegiatan yang luar kebiasaan student UIA. Malah kami sering balik kampong bersama. Kami juga adalah anggota persatuan COMRADE yang sering masuk kampong orang asli setiap kali cuti pengajian. Cuma bidang pengajian kami agak berbeza yang menyebabkan aktiviti akademik kami tidak dilakukan bersama.
Kini, Joe dan Jan dah jadi ustaz masing-masing di Cheras Dan Tanah Merah. Che Othman bertugas di Jabatan Kaunseling di UKM. Zek dan Roney jadi guru masing-masing di Terengganu dan Sabah. Semua sudah ada kerjaya.
Tentang anak-anak pula, Joe, Jan dan Othman sudah ada anak satu masing-masing. Zek dan aku masing-masing dua. Roney juga dah ada anak, tapi entah berapa orang (sebenarnya aku sudah lama tak jumpa Roney). Alhamdulillah, kami sudah ada anak dan isteri.
Pertemuan pada malam itu merupakan pertemuan yang agak meriah memandangkan banyak cerita yang ingin ditanya dan disampaikan. Sambil-sambil menikmati makanan, satu demi satu kisah dirungkaikan yang diselangi berbagai-bagai gurauan. Ternyata kami masih orang yang sama. Masih mahu kebudak-budakan dan masih boleh ketawa. Cuma sedikit berbeza pada susuk tubuh yang masing-masing melebar. Zira, isteri Joe yang nampak kurang sihat (kesihatannya terganggu selepas melahirkan anak pertama) hanya mahu menjadi pendengar, jawab bila ditanya sahaja. Mungkin disebabkan faktor kesihatan itu juga anaknya kini dijaga oleh emaknya di kampung. Manakala isteri aku pula hanya mencelah ketika perlu, kerana sibuk melayani dua puteri kami, Nadhirah dan Syahirah.
Jan juga menceritakan prihal anak lelakinya yang seusia Syahirah, setahun lebih, yang sedang lasak. "dah tak boleh pegang sekarang ni, kalau gi shopping dia hanya mahu berlari je, tak larat nak kejar. kat rumah pulak, bukannya reti berjalan, berlari...!", sambil menunjukkan isyarat tangan ke kiri dan ke kanan.
Melalui perbualan kami itu juga, aku mendapat tahu sedikit sebanyak perkembangan rakan-rakan yang lain. InsyaAllah kami akan membuat pertemuan reunion dalam masa terdekat. Cuma sekarang aku akan berusaha untuk menghubungi semua rakan-rakan aku itu.