Wednesday, 29 July 2009

Menjaga Diri dan Keluarga

Dicatat oleh WAN HISYAM

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu-batu, dan mereka yang menguasainya ialah malaikat-malaikat yang kasar dan bengis, mereka tidak menderhakakan Allah dalam segala tugas yang diperintahkan kepada mereka dan mereka melaksanakan segala apa yang disuruhkan kepada mereka.” -Al-Tahrim : 6

Jika diperhatikan masyarakat di sekeliling kita pada masa ini, kita akan dapati bahawa masyarakat kita kini terdedah kepada gaya kehidupan yang tidak memakai ajaran Islam sepenuhnya. Malah ada sebahagian masyarakat kita, yang terdiri daripada laki-laki dan wanita-wanita, muda atau tua, belia atau remaja sedang mengamalkan gaya hidup, pemikiran serta memegang watak sebagai seorang kafir.

Masyarakat Islam sebenarnya menghadapi ancaman-ancaman dari musuh-musuh Islam yang nyata dan tidak nyata. Kita terjerat oleh kedua-dua ancaman ini. Musuh Islam yang nyata adalah kaum-kaum yang dinyatakan oleh Allah “tidak akan redha terhadap kamu oleh kaum yahudi dan nasrani sehingga kamu mengikuti jejak langkah mereka”. Manakala musuh yang kita tidak nampak pula adalah syaitan yang sentiasa menghasut pemikiran serta hawa nafsu kita ke arah kejahatan dan penentangan terhadap agama Allah.

Kita sentiasa lihat, dengar dan tahu wujudnya jenayah seperti rompak, ragut, serta pembunuhan. Selain itu, tidak kurang juga gejala social yang tidak sihat terjadi dalam masyarakat seperti, zina, pelacuran, pergaulan tanpa batasan, pembuangan bayi. Begitu juga dengan masalah murtad, pengabaian ibadah wajib seperti solat, puasa, zakat, berpakaian tidak menutup aurat serta perilaku yang ekstrim dan sebagainya. Ini adalah beberapa unsur-unsur yang wajib dihindari oleh setiap muslim serta menjadi tanggungjawab seorang muslim menjaga ahli keluarganya supaya tidak terjebak dengan gejala-gejala yang disebutkan.

Sebenarnya tanggungjawab sebagai seorang muslim terhadap dirinya dan kelurganya adalah suatu tanggungjawab yang menakutkan. Anak dan isteri adalah tanggung jawab suami. Sang suami tidak boleh hanya melepaskan diri sendiri dari ancaman api neraka tanpa memimpin anak-anak dan isteri keluar dari ancaman itu. Oleh itu, muslim wajib mendidik diri sendiri, anak-anak dan isteri supaya melindungi diri dari api neraka yang menyala-nyala dengan begitu dahsyat dan hebat. Ajarlah anak-anak supaya mentaati Allah dan Rasulullah. Tarbiyyah diri mereka dengan akhlak mahmudah, kasih sayang dan sentiasa menghadirkan niat kerana Allah dalam segala perbuatan.

Gambaran neraka seperti yang dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran adalah api yang sangat panas yang mana bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu-batu. Manakala penguasanya pula ialah malaikat-malaikat yang bersifat bengis, kasar, yang melaksanakan perintah Allah dengan taat dan setia. Pada hari pembalasan itu tidak berguna lagi meminta maaf kerana malaikat hanya menjalankan tugas mereka sahaja.

Inilah hakikat yang harus difahami oleh keluarga Islam. Seorang muslim mesti menumpukan dakwah kepada keluarga; anak-anak, ibu dan isteri supaya faham konsep Islam serta sentiasa menjauhkan mereka dengan perkara-perkara yang boleh terdedah kepada api neraka. Fahaman inilah yang akan membentuk bapa yang muslim, ibu muslimat serta rumah tangga muslim. Untuk mencapai tujuan tersebut Islam terlebih dahulu menganjurkan supaya seorang muslim mencari ibu yang muslimat untuk menjaga anak-anak yang berupa tunas-tunas Islam yang bakal lahir sebagai pemimpin pada masa akan datang.

Cabaran yang dihadapi oleh para Muslim dalam memilih pasangan pada zaman kini lebih susah berbanding dengan zaman dahulu. Ini kerana unsur-unsur yang tidak baik kian tumbuh dan mengakar dalam masyarakat kita. Adalah amat sukar untuk mendapatkan seorang calon isteri yang betul-betul muslimah solehah, yang baik agamanya, adabnya, pengetahuannya dalam suasana para wanita hari ini sedang sibuk menghias diri, menganuti fahaman kebebasan, mengejar kerjaya dan angkuh dek kerana semangat feminism yang kian meningkat. Seorang Muslim perlu mengorbankan banyak perkara dalam menerima calon isteri yang baik. Ia seharusnya menolak kejelitaan palsu, menolak kecantikan yang terdidik di rumah fasiq,menolak rupa paras yang menarik tanpa ada asas agama yang kuat.

Sebaliknya mereka perlu memilih wanita beragama untuk menjadi penolong membangunkan rumah tangga Islam, iaitu sebuah kubu Islam yang didiami oleh anak-anak Islam. Amanah dan peranan ini terletak di tangan suami untuk membangkitkan kekuatan Islam pada masa akan datang dengan bantuan isteri solehah. Tanpa ada dokongan dan sokongan yang padu dari si isteri solehah, tentu sekali sukar untuk mencapai matlamat keluarga muslim malah mungkin akan tersasar ke sudut yang lebih buruk.
Rasulullah S.A.W. menyebut dalam hadisnya:
Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggung jawab ke atas yang dipimpinnya".
Kekuatan ummat bermula dari rumah. Oleh itu, seorang muslim seharusnya terlebih dahulu melaksanakan dakwah, pendidikan, penyediaan kepada keluarga mereka sendiri sebelum melaksanakannya kepada orang lain. Anak-anak dan isteri mesti diberi faham bahawa Islam adalah aqidah, pegangan, undang-undang, peraturan hidup, sistem lengkap kehidupan, sumber kefahaman dan pemikiran.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...