Thursday, 3 December 2009

Hukum agih daging korban kepada bukan Muslim

ISU yang sering ditimbulkan dalam ibadat korban ialah amalan korban dalam masyarakat berbilang atau silang agama. Dalam konteks masyarakat silang agama, yang penting ialah usaha meletakkan Islam di tempat dapat dilihat oleh semua pihak sebagai satu sistem yang mampu memesrakan hubungan dalam kehidupan seharian.

Melihat amalan ibadat korban di Malaysia, pendapat yang menjadi pegangan majoriti umat Islam di negara ini ialah daging korban tidak boleh diberi makan kepada orang bukan Islam. Pada peringkat sebelum berlaku interaksi sangat rapat antara orang Islam dan bukan Islam di Malaysia, pegangan seperti itu memang tidak menimbulkan apa-apa isu.

Namun, sejak akhir-akhir ini, selepas hubungan silang agama semakin rapat dan akrab, ziarah menziarahi kerap berlaku, saling menjemput ke majlis jamuan dan kenduri kendara sudah menjadi kebiasaan.


Malah, seorang Islam atau bukan Islam mungkin berasa janggal jika tidak menjemput rakan bukan Islam ke majlis yang diadakan, terutama jiran satu taman dan rakan setempat kerja. Budaya dan interaksi seperti ini mungkin menimbulkan isu.

Keadaan lebih ketara pada ibadat aqiqah yang pada kebiasaannya dilakukan di rumah. Majoriti orang Islam di Malaysia berpendapat daging aqiqah haram diberi makan kepada orang bukan Islam. Seorang Muslim akan berasa serba salah, jika tidak menjemput jiran bukan Islam sebelah rumah.

Dianggap kurang manis jika tidak memberikan daging korban kepada jiran. sebaliknya, berasa bersalah kerana sudah melanggar hukum syarak yang mengharamkan daging aqiqah dan korban diberi makan kepada bukan Islam
.

Jiran bukan Islam juga akan tidak selesa berada di rumah dalam keadaan dia tidak dijemput. Biasanya mereka akan sengaja membuat helah untuk tidak berada di rumah pada masa majlis diadakan.


Keadaan seperti ini sebenarnya menimbulkan satu tanggapan bahawa Islam tidak mesra jiran. Apakah tidak ada cara bagi umat Islam mengatasi masalah ini. Apakah tidak ada pendapat lain, selain pendapat yang mengatakan daging korban dan aqiqah haram diberi makan kepada bukan Islam?

Pendapat umum dan amalan orang Islam di Malaysia mengatakan daging korban tidak boleh diberi makan kepada bukan Islam. Namun, kita boleh merujuk kepada pendapat dikemukakan ulama mazhab lain dalam isu ini. Kita dapat mengesan pelbagai pendapat dengan hujah masing-masing. Melalui pendapat itu umat Islam mungkin dapat menemui jalan keluar daripada isu ini.

Penulis Kitab Kasyf al-Qina menyatakan mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban kepada orang Yahudi dan Nasara. Mazhab Hambali pula mengharuskan memberi hadiah daging korban sunat kepada bukan Islam, tidak harus menghadiahkan daging korban wajib kepada mereka.


Dalam al-Bajrimi dinyatakan tidak harus memberi makan daging korban kepada bukan Islam. Dinyatakan juga dalam Kitab al-Majmu` disebutkan harus memberi makan daging korban sunat kepada fakir miskin ahli zimmah, tidak harus memberi mereka makan daging korban wajib.

Al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, disebutkan bahawa Ibn al-Munzir menyatakan ulama sepakat daging korban boleh diberi makan kepada fakir miskin Islam, namun mereka khilaf mengenai memberi makan daging korban kepada fakir miskin kafir ahli zimmah.

Imam Hasan al-Basri memberi keringanan mereka memakannya. Abu Thur juga berpendapat demikian. Disebutkan juga Imam Malik lebih suka ia diberi makan kepada selain fakir miskin bukan Islam. Al-Lith menganggapnya makruh, namun berpendapat jika dimasak harus diberi makan kepada mereka berserta fakir miskin Islam.

Ibnai Qudamah dalam al-Mughni wa al-Syarh al-Kabir dan al-Syarbini dalam al-Iqna' menyebutkan mazhab Maliki berpendapat makruh menghadiahkan dan memberi makan daging korban kepada orang Yahudi dan Nasrani.

Mazhab Hambali, al-Hasan, Abu Thur, berpendapat harus memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam, kafir zimmi daging korban sunat, tetapi daging korban wajib, seperti korban nazar tidak harus.

Hukumnya sama dengan hukum zakat dan kifarat sumpah. Mazhab Syafie pula berpendapat tidak boleh memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam daging korban sunat atau wajib.

Ibh Hazmin dari Mazhab Zahiriyah dalam kitabnya al-Muhalla menyatakan tuan punya korban boleh memberi makan kepada orang kaya dan orang bukan Islam atau dia menghadiahkan sedikit daripadanya.

Berdasarkan pendapat itu, kesimpulan yang boleh dibuat:

Mazhab Syafie berpendapat haram memberi makan daging korban sunat atau wajib kepada bukan Islam.

Mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban sunat kepada bukan Islam dan tidak harus (haram) memberi mereka makan daging korban wajib, seperti korban yang dinazarkan, sama seperti hukum zakat.

Mazhab Hambali berpendapat harus menghadiahkan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan haram menghadiahkan kepada mereka daging korban wajib.

Semua ulama mazhab sepakat (ijma') memberi atau memberi makan daging korban atau aqiqah wajib kepada bukan Islam adalah haram.

Ini bererti hanya ulama Mazhab Syafi`ie saja yang berpendapat daging korban sunat atau wajib tidak boleh (haram) diberi atau diberi makan kepada bukan Islam. Majoriti ulama lainnya berpendapat harus memberi mereka makan daging korban sunat, tidak harus jika korban wajib.

Dalam konteks Malaysia yang rakyatnya terdiri daripada penganut pelbagai agama, pendapat majoriti ulama yang mengharuskan orang bukan Islam diberi atau diberi makan daging korban sunat lebih baik diterima pakai.

Tujuannya adalah untuk menunjukkan kepada masyarakat bukan Islam bahawa Islam memang ada sistem yang mesra bukan Islam dan dapat memelihara perhubungan silang agama.

Di samping itu, menerima pakai pendapat majoriti dapat memberi ketenangan kepada orang Islam sendiri, kerana mereka tidak berasa bersalah untuk menjemput jiran kalangan bukan Islam menghadiri majlis kenduri mereka.

Prof. Madya Alias Othman

Penasihat Syariah JIM

Sumber: www.bharian.com.my

Tuesday, 17 November 2009

Shaykh al-Habib 'Umar bin Hafiz

Al-Habib ‘Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafiz bin Abd-Allah bin Abi Bakr bin ‘Aidarous bin al-Hussain bin al-Shaikh Abi Bakr bin Salim bin ‘Abd-Allah bin ‘Abd-al-Rahman bin ‘Abd-Allah bin al-Shaikh ‘Abd-al-Rahman al-Saqqaf bin Muhammad Maula al-Daweela bin ‘Ali bin ‘Alawi bin al-Faqih al-Muqaddam Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad Sahib al-Mirbat bin ‘Ali Khali‘ Qasam bin ‘Alawi bin Muhammad bin ‘Alawi bin ‘Ubaidallah bin al-Imam al-Muhajir ila Allah Ahmad bin ‘Isa bin Muhammad bin ‘Ali al-‘Uraidi bin Ja'far al-Sadiq bin Muhammad al-Baqir bin ‘Ali Zain al-‘Abidin bin Hussain (cucu Nabi S.A.W.), bin ‘Ali bin Abu Talib, suami Fatimah al-Zahra binti Nabi Muhammad S.A.W.
Beliau telah dilahirkan di Tarim, Hadramaut pada fajar Isnin 4 Muharram, 1383 AH, bersamaan 27 Mei 1963. Beliau telah membesar di sana. Dia telah menghafal al-Quran dan telah diasuh untuk mentaati agama, dibawah jagaan bapanya, dalam suasana ilmu, iman dan berbudi bahasa.
Untuk maklumat selanjutnya sila layari:
http://alhabibomar.com/
http://www.themodernreligion.com/profile/sh-Al-Habib-Umar.html
http://alhabibumar.com/
http://muslimvillage.com/forums/index.php?showtopic=50388

ALI ZAIN AL-ABIDIN AL-JIFRI

Habib Ali telah dilahirkan di Kota Jeddah, Saudi Arabia pada sebelum fajar hari Jumaat 20 Safar 1391 AH (16 April 1971), dari kedua ibubapa yang bersalsilah dengan Imam Hussein bin Ali RadhialLahu Anhum.

Salsilah

Ali Zain al-Abidin bin Abdul-Rahman bin Ali bin Muhammad bin Alawi bin Ali bin Alawi bin Ali bin Ahmed bin Alawi bin Abdul-Rahman Mawlah al-Arsha bin Muhammad bin Abdullah al-Tarisi bin Alawi al-Khawas bin Abu Bakr al-Jifri bin Muhammad bin Ali bin Muhammad bin Ahmed bin al-Faqih al-Muqaddam Muhammad bin Ali bin Muhammad Sahab Murbat bin Ali Khali` Qassam bin Alawi bin Muhammad bin Alawi bin Ubaidullah bin Ahmed al-Muhajir ila Allah bin Isa bin Muhammad al-Naqib bin Ali al-Uraidhi bin Jafar al-Sadiq bin Muhammad al-Baqir bin Ali Zain al-Abidin bin Hussein (cucu RasuluLlah S.A.W.) bin Ali bin Abu Talib KarramaLlahu Wajhah, suami Fatimah al-Zahra binti RasuluLlah SallaLlahu 'Alaihi Wasallam.

Ibunya pula bernama Marumah binti Hassan bin Alawi bin Hassan bin Alawi bin Ali al-Jifri.

Lebih lanjut sila layari http://www.alhabibali.com/en/bio/

Wednesday, 4 November 2009

Aku Kehilangan

Pada Jumaat Lalu, 30 Oktober 2009 saya sekeluarga kehilangan orang yang tersayang, Abd. Razab Che Ali, bapa saudara saya sebelah abah. Beliau adalah adik bongsu abah yang terdiri daripada 4 adik beradik.

Takziah diucapkan kepada Maksu Husniah (isteri arwah) dan adik-adik sepupu saya. Semoga kalian tabah menghadapi hari-hari mendatang. Sesungguhnya Allah lebih menyayangi arwah.

Al-fatihah!

Thursday, 29 October 2009

Sahabat Aku

Pagi Selasa lalu telefon bimbit aku berbunyi. Di skrin terpapar entah nombor siapa. Aku tak pernah simpan dan tahu nombor itu. Aku angkat dan letakkan di telinga. Bila terdengar suara itu memberi salam, aku sudah tahu siapa di talian. Bukan orang lain lagi. Sahabat karib aku, Jan (Shah Rizan).

“Syam, aku kat KL nih…”, Jan memberitahu lokasinya.

“KL…? Bila sampai?”, aku bertanya.

“Pagi ni, baru sampai”.

“Anak, isteri datang sekali?”.

“Tak, aku bawak anak murid aku”.

“Ooo… berapa hari kat sini?”.

“Besok malam kami balik”.

“Ok Jan, nanti petang aku call balik, aku ada meeting kejap”, aku memberitahu keadaan aku sekarang yang kebetulan pagi ni ada delegasi dari ILIM datang melawat Akademi.

“Ok ye… assalamualaikum”.

Aku menjawab salam sebelum mengakhiri perbualan singkat dan tidak dijangka itu.

Yang pastinya Jan sudah berada di KL. Inilah peluang untuk aku berjumpa dengan sahabat aku itu selepas aku tidak berkesempatan untuk berjumpa dengannya pada hari raya baru-baru ini. Walaupun rumahnya tidaklah seberapa jauh dari rumah aku, namun, timing sentiasa tidak betul ketika di kampung.

Setelah urusan pejabat beransur diselesaikan, petang itu aku kembali menelefoninya. Dari perbualan kami kali kedua dapatlah aku fahami lebih banyak tentang lawatannya ke KL. Lawatan itu terdiri dari 40 orang murid tahun enam dan diiringi 9 guru. Mereka menggunakan kereta api dari Tanah Merah Ke KL Sentral. Hari ini, Mereka akan melawat Pusat Sains Negara, KL tower dan Putrajaya. Malam ini mereka akan menginap di Hotel Maxico; berdekatan dengan KL sentral.

Aku segera memberi tahu dia bahawa aku akan berjumpa dengannya pada sebelah malam nanti iaitu selepas dia balik dari Putrajaya.

Malam itu, aku membawa isteri dan anak-anak sekali ke pusat Bandar. Dalam perjalanan, sekali lagi Jan menghubungi aku dan memberitahu Joe (Aziron Mohd Noor) dalam perjalanan ke Hotel tempat penginapannya.

Setelah berjumpa di KL Sentral, Jan bersama Joe serta isteri (Kak Zira) membuntuti kereta aku ke sebuah restoran di Lembah Pantai.

Di sinilah kami bertanya khabar dengan lebih-lebih terperinci dan bertukar-tukar cerita. Dari cerita diri sendiri, tentang kerja, anak, isteri dan aktiviti mereka semua sehinggalah kepada cerita-cerita pada masa dulu-dulu ketika kami sama-sama bergelar student.

Kami (aku, Jan dan Joe) adalah rakan satu sekolah, iaitu sekolah Sekolah Menengah Arab Meheliah Geting, Tumpat. Selepas SPM (1998) kami berhijrah ke Sekolah Menengah Arab Ar-Rahmah Kenali, Kubang Kerian bersama empat lagi rakan lain iaitu Zek (Mohd Nazri Hassan), Badrul (Badrul Hisham), Che Othman Abdullah dan Roney Ibrahim. Kami bertujuh menyewa rumah kayu yang ala-ala pondok berdekatan dengan kawasan sekolah. Tiga bulan kami di sekolah baru, Joe, Jan dan Zek mendapat tawaran untuk menyambung pengajian di Matrikulasi UIA. Badrul pula pindah ke sekolah lain (sekarang sudah lost contact). Tinggallah kami bertiga di Ar-Rahmah Kenali. Selama dua tahun kami di situ. Tahun pertama kami mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Ugama (STU) dan tahun kedua (STPM). Semasa di tingkatan enam atas, Roney pula mendapat tawaran Maktab Perguruan di Batu Rakit, Terengganu. Tetapi dia masih menghadiri peperiksaan STPM walaupun pada masa itu dia dan bergelar student Maktab Perguruan. Jadi hanya kami bertigalah yang tinggal di situ sehingga akhir.

Tahun 2000, Che Othman mendapat tawaran UKM dan aku UIA. Di UIA sekali lagi aku berjumpa dengan Zek, Joe dan Jan. kami sempat melalui Taaruf week (Minggu Sua Kenal) bersama di Main Camp (UIA Gombak).

Semasa di UIA, aku tidak ada ramai kawan. Boleh dikatakan mereka bertigalah yang selalu bersama aku. Banyak aktiviti yang kami buat bersama seperti; jalan-jalan di Bandaraya, berkelah dekat air terjun belakang UIA, menangkap atau memancing ikan, lepak-lepak dan lain-lain kegiatan yang luar kebiasaan student UIA. Malah kami sering balik kampong bersama. Kami juga adalah anggota persatuan COMRADE yang sering masuk kampong orang asli setiap kali cuti pengajian. Cuma bidang pengajian kami agak berbeza yang menyebabkan aktiviti akademik kami tidak dilakukan bersama.

Kini, Joe dan Jan dah jadi ustaz masing-masing di Cheras Dan Tanah Merah. Che Othman bertugas di Jabatan Kaunseling di UKM. Zek dan Roney jadi guru masing-masing di Terengganu dan Sabah. Semua sudah ada kerjaya.

Tentang anak-anak pula, Joe, Jan dan Othman sudah ada anak satu masing-masing. Zek dan aku masing-masing dua. Roney juga dah ada anak, tapi entah berapa orang (sebenarnya aku sudah lama tak jumpa Roney). Alhamdulillah, kami sudah ada anak dan isteri.

Pertemuan pada malam itu merupakan pertemuan yang agak meriah memandangkan banyak cerita yang ingin ditanya dan disampaikan. Sambil-sambil menikmati makanan, satu demi satu kisah dirungkaikan yang diselangi berbagai-bagai gurauan. Ternyata kami masih orang yang sama. Masih mahu kebudak-budakan dan masih boleh ketawa. Cuma sedikit berbeza pada susuk tubuh yang masing-masing melebar. Zira, isteri Joe yang nampak kurang sihat (kesihatannya terganggu selepas melahirkan anak pertama) hanya mahu menjadi pendengar, jawab bila ditanya sahaja. Mungkin disebabkan faktor kesihatan itu juga anaknya kini dijaga oleh emaknya di kampung. Manakala isteri aku pula hanya mencelah ketika perlu, kerana sibuk melayani dua puteri kami, Nadhirah dan Syahirah.

Jan juga menceritakan prihal anak lelakinya yang seusia Syahirah, setahun lebih, yang sedang lasak. "dah tak boleh pegang sekarang ni, kalau gi shopping dia hanya mahu berlari je, tak larat nak kejar. kat rumah pulak, bukannya reti berjalan, berlari...!", sambil menunjukkan isyarat tangan ke kiri dan ke kanan.

Melalui perbualan kami itu juga, aku mendapat tahu sedikit sebanyak perkembangan rakan-rakan yang lain. InsyaAllah kami akan membuat pertemuan reunion dalam masa terdekat. Cuma sekarang aku akan berusaha untuk menghubungi semua rakan-rakan aku itu.

Tuesday, 27 October 2009

Anak Jantan

Bahasa puitis tradisional tentang anak jantan – manusia ideal bagi orang melayu


Apa tanda si anak jantan

Anak jantan matinya di tengah gelanggang

Tidurnya di puncak gelombang

Makannya di tebing panjang

Langkahnya menghentam bumi

Lenggangnya mengipas semak

Tangisnya terbang ke langit

Esaknya ditelan bumi

Yang tak kenal air mata

Tak kenal tunduk terkulai

Siapa Malcolm X

Malcolm X dilahirkan di Omaha pada tahun 1925 dalam sebuah keluarga besar – 10 orang adik beradik. Bapanya adalah penganut agama kristian yang kuat. Sejak kecil hidupnya berpindah randah mengikut ibu bapanya.

Mereka akhirnya menetap di Lancing, Machigan. Kedua-dua ibu bapanya meninggal ketika Malcolm X masih remaja.

Malcolm X membesar sebagai anak kulit hitam yang lain, yang menghadapi diskriminasi dan tekanan daripada golongan kulit putih. Malcolm X meninggalkan sekolah lebih awal dan mencari kerja di New York. Dia bekerja sebagai pelayan di Harlem.

Kehidupan yang sukar menyebabkan dia mula menjual dadah – Marijuana dan menjadi penagih kokain. Beliau kemudiannya menjadi perompak dan pada tahun 1946 dia ditangkap dan dipenjara.

Di dalam penjaralah Malcolm X mengenal Islam melalui pemimpin kulit hitam Elijah Muhammad. Selain Islam, Malcolm X juga mendapat Ilmu dari buku-buku yang dibacanya. Di sinilah Malcolm X mengasah bakat kepimpinan dan daya intelektualnya. Elijah memperjuangkan Islam dengan pandangan yang penuh perkauman dan dendam terhadap kulit putih. Itulah pandangan Malcolm terhadap Islam yang dianutinya.

Malcolm X keluar dari penjara pada tahun 1952. Beliau menjadi pendakwah Islam sepenuh masa dan memperjuangkan Islam serta hak kesamaan kulit hitam dan kulit putih.

Kepintarannya berhujah dan memberikan idea menjadikan Malcolm X lebih popular dari daripada Elijah. Publisiti yang diterimanya dari akhbar dan TV menjadikan Malcolm X dicemburui oleh banyak orang termasuk Elijah.

Pada tahun 1963, Elijah menyingkirkan Malcolm X daripada gerakan Muslim kulit hitam. Malcolm menubuhkan kumpulan protesnya sendiri – Pertubuhan Perpaduan Afro-Amerika (PPA-A).

Pandangan Malcolm X terhadap Islam dan fahaman perkauman berubah apabila beliau mendapat peluang mengerjakan haji ke Mekah pada tahun 1964. beliau mula memahami betapa indahnya konsep kesejagatan perdamaian dan keamanan yang diutarakan oleh Islam. Di Mekahlah juga Malcolm X menginsafi bahawa bukan semua orang kulit putih itu kejam dan bukan semua orang kulit hitam baik.

Malcolm X kembali ke Amerika dengan nama baru iaitu Al-Hajj Abdul Malik Al-Shabazz dan semangat baru memperjuangkan Islam. Pertubuhan Perpaduan Afro-Amerika yang diasaskannya membawa pendekatan yang lebih diplomatik dan sederhana, tidak lagi perkauman dan penuh dendam terhadap kulit putih.

Kumpulan ini bagaimanapun hanya dapat mengumpulkan sejumlah kecil penyokong pada saat Malcolm X dibunuh dengan kejam pada 1965.


Wasiat Hassan Al-Banna

Saudaraku,

Seandainya kau tangisi kematianku

Dan kau siram pusaraku

Dengan air mataku

Maka di atas tulangku yang hancur luluh

Nyalakanlah obor buat ummat mulia ini

Dan teruskanlah perjalanan ke gerbang jaya.


Kematianku adalah suatu perjalanan

Mendapatkan kekasih yang sedang merinduiku

Taman-taman di syurga

Bangga menerimaku

Burung-burung berkicau

Riang menyambutku

Bahagialah hidupku di alam abadi.


Puaka kegelapan pasti akan hilang

Dan alam ini akan disinari fajar lagi

Biarlah rohku terbang

Mendapatkan rindunya

Janganlah gentar berkelana di alam abadi

Nun di sana fajar sedang memancar!

  • wasiat terakhir As-Syahid Al-Imam Hassan Al-Banna sebelum digantung oleh rejim Thaghut Jamal Abdul Nasser-
  • Perjuangannya menjadi ikutan para Mujahid dan Mujaddid kini.
  • Peribadinya menjadi idola insan-insan yang ingin syahid.
  • Gerakan yang diasaskannya terus hidup dan mendapat sokongan seluruh pejuang Islam di seantero dunia JIKA MUSLIMIN TERUS BERGERAK DENGAN PANJI-PANJI ISLAM MESKIPUN KEKANGAN SERIBU KEKANGAN DAN TENTANGAN DATANG BERTUBI-TUBI DARI PIHAK THAGHUT KUFFAR!!!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...