Monday, 13 October 2014

Syaitan... Musuh Yang Nyata!

Ada banyak ayat al-Quran yang menyatakan bahawa syaitan itu musuh yang nyata bagi manusia. Semua itu adalah amaran dari Allah SWT kepada kita supaya tidak mengikuti jejak langkahnya. Jika bukan Quran, apa lagi yang kita dapat ambil sebagai panduan? Mari kita semak dan kaji ayat-ayat Allah ini kerana semua ini ada kaitan dengan kehidupan kita.

Surah Al-A’raf ayat 22

"Dengan sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (dari) Syurga. Serta Tuhan mereka menyeru mereka: “Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu, dan Aku katakan kepada kamu, bahawa syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata?”

Dalam surah Yusuf ayat 5 Allah berfirman:-

Bapanya berkata: "Wahai anakku! Janganlah engkau menceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata."

Dalam surah Isra' ayat 53 pula, Allah menyatakan bahawa:-

Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia"

Firman Allah SWT lagi dalam surah yasin ayat 60;

Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah syaitan? Sesungguhnya dia musuh yang nyata terhadap kamu!

Manakala dalam surah Al-Baqarah ayat 168 Allah SWT berfirman:-

Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.

Surah Az-Zukhruf ayat 62 pula Allah berfirman:

Dan janganlah syaitan menghalang kamu (daripada menurut yang benar); sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.

Surah Al-Anam ayat 142; 

"Dan di antara binatang-binatang ternak itu, ada yang dijadikan untuk pengangkutan, dan ada yang untuk disembelih. Makanlah dari apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kamu, dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata."

Dalam surah Al-Qasas ayat 15 

"Dan masuklah ia ke bandar (Mesir) dalam masa penduduknya tidak menyedarinya, lalu didapatinya di situ dua orang lelaki sedang berkelahi, – seorang dari golongannya sendiri dan yang seorang lagi dari pihak musuhnya. Maka orang yang dari golongannya meminta tolong kepadanya melawan orang yang dari pihak musuhnya; Musa pun menumbuknya lalu menyebabkan orang itu mati. (pada saat itu) Musa berkata: “Ini adalah dari kerja syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh yang menyesatkan, yang nyata (angkaranya) “

Surah Fatir ayat 6 pula:

"Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka."

Allah mengajar kita membaca ayat ini untuk meminta perlindungan dari syaitan iaitu dalam surah Al-Mu'minun ayat 97:

"Dan katakanlah: Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan syaitan-syaitan"

Al-Baqarah ayat 208: 

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mamatuhi) segala hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata."

Sejarah manusia dengan syaitan ini bermula semenjak manusia dijadikan. Syaitan meminta dari Allah untuk menghasut manusia sehingga melakukan kejahatan dan derhaka pada Allah iaitu sehingga tidak melakukan kebaikan serta ibadah kepada Allah, meninggalkan suruhanNya dan melakukan laranganNya, sehingga manusia bermusuhan dan berbunuhan, sehingga berlaku perpecahan disebabkan hal-hal yang kecil dan sebagainya.

Kita lihat apa yang terjadi kepada Nabi Adam AS dan isterinya Siti Hawa. Syaitan beberapa kali berusaha untuk keduanya melakukan apa yang Allah larang tapi tidak berjaya. Kerana apa yang Allah pesan itu adalah secara jelas dan nyata. Maka syaitan menjelma dengan nyata dan pergi kepada Siti Hawa untuk menghasut dan mengelirukannya. Syaitan itu mengatakan bahawa sebenarnya Allah melarang kamu berdua makan buah khuldi kerana Dia hendak menghantarkan kamu ke dunia. Sedangkan jika kamu makan buah ini maka kamu akan hidup kekal di syurga. Maka Siti Hawa tergoda dengan hasutan dari syaitan yang menjelma sebagai makhluk yang nyata. Tidak terlintas sama sekali bahawa yang datang itu adalah syaitan. Akan tetapi yang nyata adalah godaan syaitan itu merupakan sesuatu yang bertentangan dengan apa yang Allah suruh. Jadi, segala apa yang bertentangan dengan apa yang Allah suruh itu sebenarnya dari bawaan syaitan.

Kita lihat pula apa yang terjadi kepada Nabi Yusof AS. Ketika Nabi Yusof AS menceritakan tentang apa yang dia nampak dalam mimpi kepada ayahandanya Nabi Yaakob AS, ayahandanya itu berpesan supaya jangan diceritakan kepada adik-beradiknya yang lain kerana bimbang perkara buruk akan berlaku kepada Nabi Yusof AS. Dalam al-Quran menceritakan bahawa:-

"Bapanya berkata: "Wahai anakku! Janganlah engkau menceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata."

Disebut dalam ayat itu kekhuatiran akan berlaku rancangan jahat dari kalangan anak-anaknya kerana dia tahu bahawa anak-anak ada hasad dengki dan rasa tidak puas hati kepada Nabi Yusof. Mereka sering beranggapan bahawa ayah mereka lebih kasihkan kepada Nabi Yusof dari mereka. Di akhir ayat itu disebut bahawa syaitan adalah musuh yang nyata. Ayat itu menunjukkan bahawa rasa perasaan hasad dengki itu dipadu oleh syaitan yang sentiasa mencari jalan untuk melakukan perpecahan di kalangan manusia.

Memang syaitan itu tidak nampak tetapi sifat yang tidak baik seperti hasad itu adalah dari syaitan dan perkara ini adalah nyata lagi jelas. Syaitan itu sentiasa menghasut dan membisikkan api perbalahan di kalangan manusia. Dengan adanya hasad dalam hati maka syaitan akan lebih mudah masuk dalam hati.

Islam adalah agama yang menyeru kepada kebaikan dan kesejahteraan. Agama yang bersumberkan daripada Allah. Manakala Syaitan pula menyeru kepada kejahatan dan kederhakaan kepada Allah SWT. Matlamat Allah SWT utuskan nabi-nabi untuk menyampaikan ajaran dari Allah iaitu perintah-perintah dan larangan-larangan agar manusia dapat hidup dengan harmoni sesama manusia. Manakala matlamat syaitan pula adalah untuk menyesatkan manusia dan berusaha membawa manusia ke neraka. Manusia yang mengikuti syaitan akan bersama syaitan di dalam neraka. Manakala untuk orang yang mengikut ajaran Allah dan nabi akan masuk syurga. InsyaAllah.

Pada kisah Nabi Yusof AS itu diceritakan bahawa saudara-saudaranya berbincang untuk membuat rencana jahat kepada Nabi Yusof. Namun dalam perbincangan tersebut mereka tidak menemukan jalan terbaik untuk memisahkan Nabi Yusof dan ayah mereka. Berbagai cadangan diutara namun tidak ada satu yang sesuai. Ketika itu datang syaitan yang berupa orang tua memberi cadangan. Cadangan syaitan itu diterima oleh semua saudara mereka. Ya, syaitan menjelma secara jelas untuk menyusahkan para nabi dan orang-orang soleh. Syaitan sentiasa mencari jalan untuk memesong perhatian manusia kepada hidup mengabdikan diri kepada Allah serta membuatkan manusia rasa taat kepada nafsu dan perasaannya sendiri. Sering kali manusia hanya mengikut rasa dan fikirannya. Apa yang betul dengan nafsunya dia akan buat dan apa yang bercanggah dengan nafsu dan perasaannya akan segera ditolak tanpa memikirkan sudut syariah dan akhlak yang Nabi ajar.

Begitu juga dengan kisah yang terjadi kepada Junjungan Besar kita Nabi Muhammad SAW ketika sebelum berlaku hijrah. Nabi SAW dipersetujui oleh kaum musyrikin quraisy supaya dibunuh oleh pakatan kabilah-kabilah arab. Semasa perbincangan kaum tersebut juga mereka didatangi oleh syaitan yang berupa manusia dan mengajar mereka supaya melakukan pembunuhan oleh pemuda-pemuda dari setiap kabilah supaya tidak ada pertanggungjawaban kepada hanya satu-satu kabilah sahaja malah semua mengambil bahagian. Dengan cara yang demikian mudah-mudahan kes pembunuhan itu tidak dibawa ke muka pengadilan kerana semua mereka bersetuju untuk membunuh Nabi SAW.

Biarpun demikian, sama ada kisah Nabi Yusof AS dan Kisah Nabi Muhammad SAW Allah Maha Kuasa di atas setiap Makhluknya. Perancangan Allah lagi bijaksana. Allah akan menjadikan kesulitan menjadi kemudahan kepada hamba-hambanya yang Dia inginkan demikian. Kita sebagai hambaNya mesti berpegang teguh dengan penuh tawakkal pada Allah di samping berusaha bersungguh-sungguh supaya tidak sedikitpun hilang waktu kita dengan tidak beribadat kepadaNya dan tidak melupaiNya. Apa pun yang berlaku kita mesti teguh beriman pada Allah. Allah akan beri yang terbaik untuk hamba-hambaNya yang sentiasa berdoa.

Syaitan itu kuat tetapi Allah lagi Kuat. Kita sebagai makhlukNya dan hambaNya mesti percaya bahawa Allah boleh melindungi kita dari kejahatan dan godaan syaitan. Pintalah selalu dari Allah perlindungan dari kejahatan syaitan. Amalkan ayat-ayat quran yang diajarkan oleh Nabi SAW seperti 3 Qul, ayat kursi dan lain-lain. InsyaAllah Allah dan malaikatNya akan membantu.

Dalam kehidupan kita banyak sekali gangguan dan bisikan syaitan yang menyuruh melakukan hal-hal kerosakan dan maksiat. Syaitan akan mengelirukan kita dengan membawa kepada sifat-sifat yang buruk dalam diri iaitu seperti ujub, takabbur, sum'ah, hasad dan macam-macam lagi. Kesan dari godaan syaitan dapat dilihat pada anak-anak yang tidak taat pada ibu bapa dan tidak menghargai mereka. Anak-anak lebih menuruti perasaan dari menurut ajaran agama. Kadang-kadang berlaku derhaka kepada orang tua kerana anak-anak pentingkan diri sendiri. Lebih mencari kepuaasan sendiri. Padahal. Mentaati orang tua itu wajib berbanding mengikut hawa nafsu sendiri. Tawaduk atau sifat untuk tunduk taat pada Allah yang menyuruh kita menghormati ibu bapa hilang kerana kita digoda oleh syaitan yang mengawal perasaan kita. Kita jangan lupa peranan syaitan di situ. Begitu juga perempuan yang tidak mentaati suami padahal Allah yang meyuruhnya mentaati suami. Melanggar arahan Allah adalah haram dan berdosa. Awas syaitan sentiasa berusaha untuk menceraikan pasangan yang berkahwin kerana Allah. Lelaki-lelaki pula sering melakukan maksiat dan dosa dalam kehidupannya. Jika kita menghayati kehidupan berugama maka kelalaian itu menjadi peluang untuk syaitan memandu hidup kita. Maka perbanyakan ibadah. Jika kita sedar apa yang sedang kita lakukan adalah perkara buruk maka ketahuilah semua itu dari godaan syaitan yang menyesatkan. Sentiasalah menambah ilmu agama dan mendekatkan diri dengan orang-orang soleh supaya mereka boleh menyedarkan kita.

Kesimpulannya, apa yang penting kita mesti mesti mengenali musuh kita yang disebut oleh Allah dalam al-Quran iaitu iblis dan syaitan. Kita mesti sentiasa menginginkan keredhaan Allah dan ingin sentiasa mentaati Allah dan Rasulullah SAW. kerana tujuan kita di dunia ini hanya untuk mendapatkan keredhaanNya dan SyurgaNya. "Allahumma inna nas'aluka ridhaka wal jannah, wana'uzubika sakhatika wannar".

Wallahu a'alam!

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...