30 tahun adalah suatu jangka masa yang agak lama. Ramai di kalangan kita yang sudah berjaya dalam umur sebegitu. Mereka sudah ada aset yang berbagai seperti rumah, kereta, perniagaan yang berjaya, pekerjaan yang mantap dan sebagainya. Namun ada juga di kalangan kita yang tidak mempunyai apa-apa aset atau pun simpanan.
Umur yang makin meningkat ini adalah motivasi yang besar dalam diri untuk memburu impian yang belum kesampaian. Masa seakan semakin laju mengejar. Di manapun kita berada seakan terasa tidak ada masa yang cukup untuk melakukan sesuatu sehingga mengorbankan masa-masa yang diperuntukkan untuk rehat, santai dan masa riadah.
Nampaknya tanpa perancangan yang rapi dan pelaksanaan terhadap apa yang dirancangkan itu maka segalanya akan jadi kelam. Jika berterusan begitu, masa yang ada akan berlalu tanpa sesuatu hasil pun. Maka jadilah hidup ini walau beribu tahun pun akan hanya sia-sia.
Maka, oleh kerana kesedaran terhadap masa yang amat berharga itu, kita tidak boleh lagi secara sengaja membuang masa. Yang berlalu biarlah berlalu. Kita cuba buka lembaran baru selepas beberapa masa dulu kita bazirkan. Kita cuba menjadi seorang insan yang tidak rugi lagi... "Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian, melainkan orang-orang yang beriman dan mereka yang telah melakukan pekerjaan yang baik, dan mereka yang berpesan-pesan tentang kebenaran dan mereka yang berpesan-pesan tentang kesabaran".