Program balik kampung kami bermula pada pukul 1.30 pagi jumaat 18 september 2009, dari Gombak ke Tumpat. Bagi mengelakkan kesesakan jalan raya yang memang dijangka pada musim perayaan seperti ini kami sengaja menggunakan lebuh raya utara selatan menuju ke utara dan seterusnya kami akan melalui Gerik, Perak untuk ke Kelantan.
Kami konvoi 2 buah kereta sebab Abg. Lan ajak balik sekali. Dua buah kereta bergerak serentak. Kereta aku dinaiki oleh isteri, anak-anak, Nadhirah dan Syahirah, abah, ummi, Sebu dan Meklah. Manakala yang berada dalam kereta Abg Lan ialah Rafidah selain kak Nora dan anak-anak mereka Nisa dan Najmi.
Kami berhenti di Perhentian R&R Tapah pada jam 4.00 pagi untuk bersahur. Hanya minuman yang dibeli. Makanan kami dah sedia dari rumah lagi. Suasana agak meriah. Ramai jugak yang buat program singgah sahur kat situ. Sampaikan kena berebut tempat duduk. Terpaksa la kami bergilir makan dek kerana meja makan tak cukup, juga kerana perlu memberi perhatian pada syahirah yang masih kecil dan agak baru nak aktif.
Selesai makan, kami terus bergerak. Lebih kurang 6.30 pagi kami sekali lagi berhenti di hentian R&R Sg. Perak untuk menunaikan solat subuh. Sempat juga berjemaah dengan si musafir-musafir yang sama juga seperti aku. Seusai solat dan dalam keadaan pagi yang masih samar kami terus bergerak menuju ke destinasi. Lagu-lagu raya menemani sepanjang jalan. Wahhh… syahdunya. Layan je la…
Kami keluar melalui susur ke kuala kangsar menuju pekan gerik. Dari Kuala Kangsar ke pekan Gerik jaraknya adalah lebih kurang 100 km. Jalan clear je. Tak banyak kenderaan dan kami boleh memecut laju walaupun sekali sekala terpaksa memotong kereta tempatan yang agak perlahan.
Boring lagu raya kami mainkan pula bacaan Al-Quran yang dialunkan oleh Sheikh Moutasim Billah Al-Asali, imam terawih yang lunak merdu suaranya, didatangkan khas dari Syria. Beliau menjadi imam solat terawih sepanjang Ramadhan tahun ini. Sepanjang bulan Ramadhan ini jugalah kami berulang-alik ke Masjid Wilayah untuk berterawih. Betapa seronok dan bersemangat ummi dan abah memenuhi saf-saf di sana. Biarlah mereka rasa berjemaah dengan orang KL. Bagi aku, boleh dikatakan inilah Ramadhan paling manis sepanjang aku tinggal di KL kerana ummi dan abah sudi datang berpuasa di sini. Tugas aku cuma beli bahan mentah je. Selebihnya ummi dan abah yang selesaikan. Hujung minggu pula adik-adik datang. Buka puasa dan sahur menjadi lebih meriah berbanding ketika kami bersendirian. Belum pasti le aku nak bangun tiap-tiap malam untuk bersahur. Kalau bersahur pun liat, apa lagi kalau nak masak…
Jalan semakin berliku dan mendaki apabila kami melepasi pekan Gerik menuju ke Tasik Banding. Kenderaan bertambah banyak. Mat-mat motor pun kelihatan berkejaran untuk balik raya. Aku toleh ke belakang, semua lentok. Lena selena-lenanya… Aku cuba pula mencari kelibat Myvi SE warna perak milik Abang Lan melalui side mirror. Tadinya ada, sekarang dah tak ada. Agaknya aku terlalu laju dan meninggalkannya jauh ke belakang. Aku memperlahankan sedikit kelajuan dan membiarkan kenderaan lain memotong.
Sekali-sekala abah tersedar dan bercakap-cakap di belakang, tentang pemandangan, hutan, bukit, jalan yang semakin berliku, gajah dan entah apa-apa lagi yang diluahnya. Yang lain cuma menyampuk je.
Memang seperti dirancang kami berhenti untuk rehat di R&R Titiwangsa, atas bukit yang sejuk itu. Air dekat surau dan tandasnya pun sejukkk sangat. Masa ini dimanfaatkan untuk melepaskan rasa lelah dan mengembalikan kesegaran badan. Abah terus ke tandas. Aku pula berdiri di tepi cerung untuk merenung keindahan alam. Seketika kemudian, kabus nipis berarak menerpa setiap yang ada di situ. Betapa sejuk dan segarnya. Cuaca makin redup dan nyaman.
Alamak... ketika kami dah nak meneruskan perjalanan, aku diberitahu Nadhirah terkencing atas kereta. Apa lagi, mula la aku bersyarah dan tarik muka. Aduh, penat la kali ni. Mahunya aku mengamuk dan memecut melulu… nak marah pun ada. Seketika kemudian rasa marah reda bila tengok kenderaan semakin bertambah. Agak bahaya kalau marah-marah.
Telefon berdering, nama Abang Lan di skrin. Dia bagi tahu ada kemalangan dekat Bukit Bunga. Rupanya dia dah mendahului. Mungkin dia tak berhenti rehat dan terus saja.
Kami tersangkut. Kenderaan semakin perlahan berbaris entah berapa kilometer ke hadapan.
Setelah lebih sejam terperangkat kami lihat ada kenderan yang mengalami kemalangan dan bunyi siren van ambulan berkejaran ke hospital membawa pesakit. Jalan semakin baik dan lancar selepas kawasan kemalangan tadi sehingga kami selamat tiba di rumah di tengah hari itu.
Maziyyah, adik bongsu yang balik awal dengan kereta api selepas selesai exam pada awal minggu menyambut kami. Wahhh, penatnya… rasa nak tidur dan rehat… kalau boleh, nak sangat rasanya tidur dalam buaian di bawah pokok ru di tepi pantai bagi merehatkan badan yang dah keletihan…
Sebelum tertidur… aku menyelesaikan apa yang dah Nadhirah hadiahkan tadi. Apa lagi, terpaksa aku bukak kusyen, basuh dan jemur. Cuaca panas elok. Moga-moga cepat kering dan sempat digunakan pada hari raya lusa nanti.
Petang itu, kami buka puasa ala kadar je. Tak sempat nak cari bahan. Makan je apa ada. Lagi pun semua sibuk mengemas.
Hari Sabtu pula tiba. hari akhir puasa ini amat bermakna. Tengah hari itu aku, isteri bawak anak-anak sekali serta Maziyyah keluar cari bahan mentah dan barang dapur untuk puka puasa dan untuk hari raya. Dalam perjalanan kami singgah di rumah Mek Yoh, nenek saudara aku yang tinggal di Chabang Empat untuk mengambil ketupat yang kami pesan. Seratus biji ketupat daun palas berharga RM40. Seterusnya kami menuju ke pasaraya Salamku Pasir Pekan. Hampir semua keperluan dapur kena beli kerana abah dan ummi tinggalkan rumah kampong dah lebih sebulan. Sambil pulang pula aku singgah beli 4 kg daging. Ketupat daun palas sangat sedap dimakan dengan gulai ayam atau daging goreng. Meleleh air liur aku!
Satu lagi benda yang aku teringin sangat di bulan puasa iaitu ‘tuak’ (nira kelapa). Demi terpandangnya gerai yang menjualnya aku terus buat U turn walaupun dah terlepas beberapa meter. Aku beli 5 bungkus dengan harga RM2 setiap satu. Meleleh lagi air liur aku!
Setibanya aku di rumah, abah sedang buat unggun untuk bakar ikan-ikan yang diberikan oleh Abg Lie. Kata abe Lie tokey dia bagi ikan-ikan tu. Macam-macam ikan ada. Ikan kerapu, gelama, kerisi dan lain-lain. Wahhh… ummi siap buat air pencicah lagi.
Petang itu, keluarga kami berkumpul, termasuk keluarga pak saudara aku, paksu Karim, diajak berbuka puasa sama-sama. Suasana meriah sekali. Anak-anak juga buatkan suasana itu lebih meriah lagi. Nadhirah dan Syahirah masing-masing sibuk ingin dilayan.
Hidangan sudah disediakan. Yang agak dahsyat ialah minuman. Lebih 5 jenis minuman dihidangkan. Entah mana satu hendak diteguk. Aku minum semuanya dengan harapan tidak mabuk dan tidak cirik. Takpe lah, besok dah raya. Sungguh meriah sekali hari ini.
Malam raya yang penuh syahdu itu aku sempat membisikkan selamat hari raya pada isteri tersayang. Selepas berbincang dengan Abg. Lie, kami konvoi 2 buah kereta ke KB menuju ke wakaf Che Yeh. Konon-konon nak shopping barang lelong. Belum pun sampai KB, jalan dah start jem. Kami cuba beberapa jalan pintas, namun tak juga berjaya. Manusia ramai sangat sangat yang berfikiran seperti kami. Akhirnya aku surrender… balik macam tu je. Sampai kat rumah jam 2.00 pagi dengan tangan kosong. Penat je dapat. Patutnya aku dah serik sebab dua tahun lepas aku dah terkena.
Malam raya itu aku terlena dengan ucapan syukur kepada Ilahi atas kurniaanNya yang tidak terhingga...
Wednesday, 30 September 2009
Wednesday, 16 September 2009
Tuesday, 15 September 2009
Tanda-tanda Lailatul Qadar
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Qur'an) pada malam al-Qadar. Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadar?. Iaitu malam yang padanya lebih baik dari seribu bulan. Turun para malaikat dan Jibril pada malam itu dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Sejahteralah malam itu hingga terbitnya fajar. -Al-Qadr, 1-5.Antara tanda-tanda zahir yang dapat dilihat pada malam al-Qadar (Lailatul-Qadar) dan pada siangnya ialah sebagaimana yang diceritakan oleh Nabi s.a.w dalam hadisnya; “Lailatul-Qadar; malamnya cuaca/udara menyenangkan iaitu tidak panas dan tidak dingin, pada paginya matahari terbit dengan cahaya yang lemah dan kemerahan” (HR Imam Thayalisi dan al-Baihaqi dari Ibnu ‘Abbas r.a.. Hadis ini menurut as-Suyuti; hasan. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 7728).
Namun para ulamak menjelaskan; Tidak semestinya orang yang tidak nampak tanda-tanda (Lailatul-Qadar) ia tidak mendapat malam tersebut. Barangkali seorang yang bangun pada malam Lailatul-Qadar itu ia tidak memperolehi dari malam itu melainkan peluang beribadah dan tidak ada sebarang tanda yang dilihatnya. Dia lebih baik dan lebih mulia di sisi Allah dari orang yang melihat tanda-tandanya sahaja (tetapi tidak beribadah pada malam itu)” (Lihat; Faidhul-Qadier, Imam al-Minawi, syarah hadis no. 7728).
Sepuluh akhir sudah bermula...
10 akhir sudah bermula, jangan lepaskan peluang beribadat, solat terawih dan qiamullail. Jangan pandang remeh saat-saat bernilai akhir Ramadhan sebab mungkin ini peluang terakhir kita... Yang paling utama ialah beruntungnya kita kalau dapat beribadat di malam lailatul qadar.
So, kawan-kawan, sahabat-sahabat sekelian, saya ajak dengan ikhlas untuk sama-sama memeriahkan malam-malam terakhir ini dengan ibadah. Kalau tak mampu buat banyak buat sikit. Solat 2 rakaat sebelum makan sahur lebih baik dari tidak buat langsung. Korbankanlah sedikit masa dan tenaga. Biarlah kita mengantuk sedikit di siang harinya dek kerana ibadah asalkan tidak kita menyesal di kemudian hari. Biarlah kita melangkah ke hari raya Aidil Fitri sebagai seorang yang benar-benar gembira dengan pencapaian di bulan Ramadhan kali ini.... Barakallahu fikum!
So, kawan-kawan, sahabat-sahabat sekelian, saya ajak dengan ikhlas untuk sama-sama memeriahkan malam-malam terakhir ini dengan ibadah. Kalau tak mampu buat banyak buat sikit. Solat 2 rakaat sebelum makan sahur lebih baik dari tidak buat langsung. Korbankanlah sedikit masa dan tenaga. Biarlah kita mengantuk sedikit di siang harinya dek kerana ibadah asalkan tidak kita menyesal di kemudian hari. Biarlah kita melangkah ke hari raya Aidil Fitri sebagai seorang yang benar-benar gembira dengan pencapaian di bulan Ramadhan kali ini.... Barakallahu fikum!
Sheikh Moutasim Billah Al-Asali
Anda berpeluang untuk menunaikan solat sunat terawih berjemaah di Masjid Wilayah, Jalan Duta, diimami oleh Syeikh Muktasim Billah Al-Asali dari Syria sepanjang bulan Ramadhan ini. Barakallahu Fi Kum.
Subscribe to:
Posts (Atom)