Thursday, 28 May 2009

Tujuh Gunung

“Maka barangsiapa berharap berjumpa Tuhannya dengan keredhaanNya di akhirat, Maka hendaklah ia mengerjakan amal yang saleh dan janganlah mempersekutukan Dia dengan sesuatu jua pun”. - al-Kahfi : 110.

Kata Imam Ghazali

Tiada dapat seseorang itu beramal akan yang makbul sebelum ia dapat menaiki gunung yang tujuh”.

1- Gunung Taubat

Dosa kepada Allah
- Meninggalkan yang wajib
-Mengerjakan yang haram

Dosa kepada makhluk
-Menganiaya diri mereka
-Menganiaya harta mereka
-Menganiaya ahli mereka
-Menganiaya agama mereka

2- Gunung Ilmu

Usuluddin- Ilmu untuk mengenal Allah
Feqah- Ilmu untuk mengetahui hukum-hakam Allah pada diri dan harta
Tasauf - Ilmu untuk mengetahui hukum-hukum Allah pada batinnya yakni di dalam hati

3- Gunung Penghalang Ibadah

Dunia - Hendaklah zuhud
Manusia - Hendaklah diasingkan
Syaitan - Hendaklah diperangi
Nafsu - Hendaklah dikekang dengan taqwa kepada Allah

4- Gunung Perintang Ibadah

Rezeki - Hendaklah tawakal yakni tetap di atas janji Allah
Khatir - Ertinya gerak hati kepada yang ditakuti atau kepada yang diharap hendaklah berserah kepada Allah
Qada/takdir - Hendaklah redha
Bala dan musibah - Hendaklah sabar

5- Gunung Peningkat Ibadah

Khauf - Takut kepada Allah dengan mengingatkan seksaNya di dalam neraka
Raja’- Harap kepda Allah dengan mengingatkan nikmatNya di syurga

6- Gunung Pencacat Ibadah

Riak – Hendaklah ikhlas semata-mata kerana Allah
Ujub- Hendaklah ingat petunjuk Allah dan pertolonganNya

7- Gunung Syukur

Hendaklah memalingkan segala nikmat yang dikurniakan itu kepada mentaati Allah yang mengurniakannya.

Wednesday, 13 May 2009

Boleh Jamak Solat Tanpa Musafir dan Uzur

Islam adalah agama yang syumul dan sesuai pada setiap tempat, setiap masa. Islam juga agama yang mengajar manusia cara ibadat yang betul kepada Pencipta, Pemilik sekelian alam. Ibadah yang dilakukan oleh manusia itu tidaklah menjadi suatu bebanan yang tidak tertanggung, sebaliknya disesuaikan mengikut keadaan manusia itu sendiri.

Solat adalah ibadah yang paling penting dalam Islam. Ia merupakan tiang agama. Ia juga pembeza antara muslim dan kafir. Ia adalah ibadah wajib harian dan berbentuk praktikal yang melibatkan anggota badan, masa (subuh, zohor, asar, maghrib dan isyak) dan mengikut prosedur yang telah ditentukan (rukun-rukun solat).

Solat wajib sebanyak lima kali sehari adalah fardhu secara ‘aini yang digalakkan dilakukan secara berjemaah. Manakala solat sunat pula terdapat berpuluh-puluh jenis umpamanya solat sunat mutlak, hajat, tahajjud, rawatib, dhuha, wuduk, istikharah, tahiyyatul masjid, terawih, witir, tasbih, ‘aidain (hari raya), awwabin, taubat, khusufain (gerhana bulan atau matahari), istisqa’ (minta hujan) dan lain-lain.

Istimewa ibadah solat adalah wajib dilakukan pada apa jua keadaan manusia. Keuzuran dan katakutan atau kesempitan manusia tidak akan menjadi alasan untuk meninggalkan solat kecuali uzur syari'e. Apa jua keadaan pun, solat perlu dilakukan walaupun ketika hanya boleh duduk atau hanya boleh berbaring, atau hanya ketika ia mampu mengerdipkan mata. Selagi seorang muslim termasuk dalam ahli taklif maka selagi itulah solat perlu dikerjakan.

Solat boleh diringkaskan (qasar) daripada 4 rakaat kepada 2 rakaat ketika seseorang muslim sedang musafir sejauh 2 marhalah. Dan harus diingat bahawa hanya alasan musafir sahaja yang memboleh solat diqasarkan, tidak ada sebab yang lain lagi. Solat juga boleh digabungkan 2 kali dalam satu waktu, sama ada dalam waktu pertama atau dalam waktu kedua, iaitu jamak taqdim atau takkhir pada gabungan solat Zohor-Asar dan Maghrib-Isyak. Antara sebab yang membolehkan solat dijamakkan ialah pada ketika musafir, sakit, hujan dan takut.

Kebanyakan para muslim dan muslimat sudah arif hal jamak dan qasar yang dinyatakan di atas. Quran dan hadis sudah diteliti oleh umum tentang perkara tersebut. Namun tidak ramai yang tahu bahawa solat jamak boleh atau harus dilakukan tanpa ada sebab seperti musafir, takut, hujan atau sakit. Solat jamak ini dinamakan sebagai solat jamak hajat. Untuk memberikan kefahaman yang lebih jelas eloklah kita teliti hadis Rasulullah saw. yang disedut dari kitab fiqhul Ibadat, yang disusun oleh Husammudin al-Soifi p:153-154:

Diriwayatkan oleh Imam Muslim bahawa Ibnu Abbas berkata: Rasulullah s.a.w. telah menjamakkan di antara zohor dan Asar, maghrib dan Isyak ketika berada di madinah pada ketika tiada takut dan tiada pula hujan. Maka ditanya kepada Ibnu Abbas: Apakah tujuan peristiwa itu? Dia berkata: tujuannya adalah supaya tidak menyusahkan umatnya.

Diriwayatkan juga oleh al-Bukhari dan Muslim bahawa Nabi saw. Telah sembahyang ketika berada di Madinah tujuh rakaat dan lapan rakaat (secara jamak): Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak.


Dua hadis tersebut menunjukkan asas kepada hukum harus menunaikan solat jamak tanpa musafir, takut, hujan atau sakit. Tujuan pensyariatan salat jamak hajat adalah untuk tidak menyusahkan umat Islam. Hukum harus jamak hajat ini diakui oleh Ibnu Sirin dan kalangan mazhab Maliki dan Khathobi dari mazhab Syafie serta ahli-ahli hadis yang diriwayat oleh Abi Ishak al-Marwazi dari al-Munzir.

Antara sumber lain yang boleh diteliti adalah buku Asas-asas Fardu Ain tulisan Allahyarham Ustaz Sulaiman Endut di bawah tajuk Orang Yang Boleh Sembahyang Jamak, halaman 115:
…Jamak kerana hajat. Menurut An-Nawawi dalam Syarah Muslim: Segolongan imam membolehkan jamak ketika berada dalam hadar (negeri) kerana hajat, asalnya tidak menjadi kebiasaan. Dan hanya dikerjakan jamak takhir sahaja.

Daripada Ibnu Abbas, katanya: “Pernah Rasulullah saw mengerjakan sembahyang Zohor dan ‘Asar secara jamak di Madinah. Bukan kerana ketakutan dan bukan kerana Musafir.”

Ketika masih menuntut di Universiti Islam Antarabangsa, saya pernah bertanya kepada Ustaz Soleh Qadir Az-Zanki mengenai hal solat jamak tanpa ada apa-apa sebab (solat jamak hajat), tanya saya kepada ustaz: “Apakah hakikat solat jamak tanpa ada sebarang sebab?” Jawabnya:
“Allah sudah tahu keuzuran manusia dalam kehidupan ini. Lihatlah kesibukan manusia. Kamu akan dapati bahawa pada zaman ini kadang-kadang ketika memandu dan tersekat dalam lalu lintas, sedangkan waktu zohor kian berlalu, atau waktu Maghrib yang singkat itu akan habis. Apakah hukum ketika itu? Jika berlalunya waktu solat zohor atau maghrib dalam keadaan begitu adakah perlu diqada’? maka di sinilah perlunya memakai hukum solat jamak tanpa ada sebab musafir, sakit dan sebagainya tanpa melazimkan perkara tersebut. Tanpa melazimkan solat jamak maksudnya tidak boleh dilakukan setiap hari. cukup sekadar waktu-waktu tertentu sahaja seperti sebulan sekali”.

Kesimpulannya, Solat itu wajib dan tiada alasan untuk tidak mengerjakan solat walau apa jua keadaan. Di samping itu juga Islam memberi kelonggaran untuk melakukan solat jamak dan qasar pada waktu-waktu dan alasan-alasan tertentu seperti musafir.

Selain itu, Islam mengharuskan solat jamak (jamak hajat) tanpa pergi musafir sejauh 2 marhalah, tanpa ada uzur, takut dan hujan. Untuk solat jamak ini hanya solat jamak takhir sahaja yang diharuskan. Namun tidak boleh membiasakan solat jamak hajat pada setiap hari. Ianya boleh dilakukan hanya pada waktu-waktu tertentu sahaja seperti tersekat dalam kesesakan lalu lintas, menunggu seseorang atau sesuatu, menyiapkan sesuatu tugasan penting dan sebagainya yang mana perkara tersebut bolehb menyebabkan solat Zohor atau Maghrib tidak sempat dilakukan.

Manakala hikmah di sebalik Solat jamak hajat ini adalah supaya tidak menyusahkan umat Islam dan kita seharusnya sentiasa bersyukur kepada Allah swt atas nikmat yang diberikan.

Wallahu A’lam…

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...