Monday, 30 June 2008

Tahniah, Selamat Pengantin Baru


Selamat Pengantin Baru, Tahniah buat pasangan Fain dan Ahsanullah, kami doakan semoga bahagia sepanjang masa. Cepat-cepat la dapat anak.
Mintak maaf la sebab datang lewat. Tak sempat jumpa kawan-kawan yang lain. Menurut Fain, ramai jugak rakan-rakan COMRADE yang datang termasuk Nasif, Pok lan, kak Amy... Saya lewat, sebab hantar adik sepupu masuk UM. Lepas tu pulak, jem giler... pukul 4 petang baru sampai. Ingat dapat jumpa Fain je, dah kira ok la. Tapi rupanya tak la lambat sangat sebab makanan masih ada. Apa lagi... dengan rasa tak bersalah kami sekeluarga makan. Siap dapat gula-gula lagi.
Wah... cantiknya pengantin. Sesampainya kami kat dewan tu pengantin tengah posing, bergambar. Fain nampak lain sikit, makin berisi dan lawa. Tak lagi comot macam dulu. Maklum la dah berkerjaya. Suami pun kira sepadan la. Macam pinang dibelah dua. Apa pun, selamat datang ke alam rumah tangga... join the club! pandai-pandai handle any problem. Pohon hidayah dan berkat dari Allah SWT.
Babai...

Monday, 9 June 2008

Catatan Perjalanan (Bhg. 3)

Catatan Perjalanan
Kg. Habu Bhg. 3


Sedutan Catatan Perjalanan bahagian lepas…

2001, COMRADE mengadakan program masuk kampong di tiga kampong Susu, Tiji dan Habu, Cameron Highland. Seperti biasa, Program begini memang dinantikan. Seramai lebih 60 peserta dari kalangan ahli dan bukan ahli COMRADE. Mesyuarat memutuskan sebahagian peserta perlu menggunakan khidmat KTM untuk ke destinasi yang mana Abg. Zeli sebagai leader. Along selaku presiden dan pengarah program mengetuai sebahagian yang lain menaiki lori dan Leroba. Pada hari yang ditetapkan… kami berkumpul di parking kuliyyah Ekonomi. Setelah menaikkan barang-barang dan pelajar-pelajar ke atas lori, leroba… kami terus bergerak… dengan semangat dan tekad. Kenangan bakal tercipta antara kita…!

Imbas kembali:
Catatan Perjalanan Bhg. 1
Catatan Perjalanan Bhg. 2


Bgh. 3
Sejuknya Malam Di Cameron Highland!

Kami bertolak dari UIA selepas maghrib melalu jalan lama ke Utara. Ini bermakna kami tidak melalui highway. Aku naik Leroba dengan Pak Cik Mat (salah seorang driver land rover JOA). Kiranya aku ni jadi peneman dia la. Yang lain semua pompuan kat seat belakang. Campur yang baru dan lama. Macam-macam yang kami bualkan sepanjang jalan itu. Pak Cik Mat juga banyak bercerita pengalaman dia dengan orang asli.

Satu lagi leroba dipandu oleh Abg. Zukri. Bersama abg. Zukri ialah Along dan rakan-rakan.

Sedar tak sedar dah sampai kat Tapah, tempat biasa kami berhenti rehat, solat dan makan sebelum meneruskan perjalanan. Jalan mendaki yang banyak kona. Kalau takde yang muntah memang tak sah. Itulah istimewanya jalan Tapah ke Tanah Rata. Hehehe… tapi setakat ni mujur la aku tak pernah muntah pun! Pening-pening, mual-mual ada ler…

Setelah melalui jalan yang bersimpang siur itu, kami akhirnya tiba di Tanah Rata, Cameron Hingland lebih kurang pukul 12.30 tengah malam atau dah pagi pun. Kabus nipis menyelubungi suasana. Lampu-lampu nampak separuh terang. Rasa sejuk mula menusuk sehingga ke tulang hitam. Destinasi kami malam ini adalah ke rumah rehat JOA kat Sg. Ruil untuk merehatkan badan seketika menanti besok pagi menjelma lagi untuk memulakan aktiviti yang lebih besar besok nanti. Biasanya pelajar perempuan yang akan bermalam kat rumah rehat JOA. Manakala surau Sg, Ruil menjadi tempat penginapan dan tempat untuk membersihkan diri bagi hero-hero COMRADE. Sape-sape nak rasa mandi air batu boleh la kat sini. Tapi awas bagi yang nak buang air besar. Kebas woooo… Namun pada malam ini kami kena cari persinggahan baru sebab rumah rehat kat Sg. Ruil sudah berpenghuni. Setelah berbincang dengan En. Usop, dia mencadangkan kami tidur kat masjid Brinchang. En. Usop ialah pemandu JOA Cameron yang tinggal kat Sg Ruil, yang akan ikut serta kami masuk kampung besok.

Masjid tu terletak kat atas bukit. Lori dan leroba membelah kesunyian dalam kesejukkan malam itu. Bergema perkarangan masjid itu menerima kehadiran musafir dari UIA ini. Rumah pak imam kami tuju terlebih dahulu. Pak imam yang dah tidur waktu itu pun terjaga dikejutkan oleh deruman enjin lori. Setelah diberi penerangan serba ringkas kami diberi kebenaran untuk tidur dan menggunakan kemudahan yang ada. Secara tidak terlalu bising kami yang kepenatan dan kemualan menurunkan barang-barang keperluan masing-masing. Macam biasa… hawa sejuk pagi itu menusuk seluruk rongga dan liang-liang roma menyebabkan aku sedikit gigil menahan rasa.

“Joe, kau macam mana, okey ke…?”, soalku pada sahabat aku yang kelihatan agak penat dan mengantuk.
“Okey je…”, jawabnya lambat-lambat.
“Macam mana kawan-kawan atas lori?”.
“Ada yang tak biasa, pening la, yang muntah pun ada. Biasa la, kalau dah muntah sorang tu semua lah muntah. Aku pun hampir-hampir. Tapi dah stand-by plastik.”.
“Patut la bau masam je …”.
“hehe… ye la…, tapi seronok gak. Sepanjang jalan kami masing-masing bercerita, ada yang bagi teka-teki, budak-budak baru ni kuat gelak rupanya”, terang Jeo serba sedikit.
“Budak mana Joe…?”.
“Hehh… nanti aku tunjuk besok”.
“Okey la… jom mandi…”.
“Malas aku… sejukkkk…”, sengaja Joe menggetarkan suaranya.
“Kau tu kena mandi… bau masam, kena muntah sape ntah…”.
“Takpe la… masam ke masam lah… mati aku kalau mandi.”
“Suka hati kau lah Joe… tapi jangan tidur dekat aku dah ler…”.

Rakan-rakan semuanya sibuk menyiapkan diri masing-masing. Ada yang dah mandi, dah bersiap-siap untuk rehat. Ada yang masih malas-malas nak bergerak. Ada yang masih asyik bercerita. Aku pulak baru lepas mandi… bagi aku… best sangat bila lepas mandi air sejuk nih. Segar serta merta.

Selesai semunya… kami diminta berkumpul. Ada taklimat atau meeting ringkas je. Masa tu jam menunjukkan pukul 2 pagi. Along memulakan bicara bertanya khabar semua peserta. Alhamdulillah setakat ini perjalanan lancar. Tidak ada yang sakit perut ataupun pening kepala. Setakat mengantuk tu biasa la…

“Besok pagi kita akan bertolak dari sini pukul 7.30 pagi. Kita akan terus ke Ringlet untuk bersarapan. Kita akan tunggu rakan-rakan yang naik kereta api di sana. Kalau tiada apa-apa masalah kita akan terus berjalan kaki ke destinasi…”, terang presiden.

Kami mengambil tempat masing-masing untuk landing badan kami yang agak letih dan mengantuk. Dalam kesejukan itu, dibungkus sleeping bag, aku lena diulit bunyi dengkur kawan-kawan… berakhirlah hari ini… besok akan menjelma. Hari baru di tempat yang baru bakal melakar warna baru dalam hidupku.

Bersambung…

Bahagian seterusnya akan menyaksikan Kak Ja hampir pengsan. Mujur penyelamat ada di situ… (rupa-rupanya itulah jodoh Kak Ja)

Wednesday, 21 May 2008

Catatan Perjalanan (Bhg. 2)

Catatan Perjalanan
Kg. Habu, Cameron Highland 2001
Bhg. 2

Kereta api
Mesyuarat telah membahagikan peserta-peserta dan kg. Masing-masing. Kg. Susu diketuai oleh Along (Presiden). Kg. Tiji dipimpin oleh Zeli (ketua biro Pendidikan). Kg. Habu pula diketuai oleh Mohd. Anis (ketua Biro Dakwah).

Satu sesi taklimat tentang perjalanan program diadakan kepada semua peserta sebagai panduan umum semasa masuk kampong. Peluang pertemuan ini juga digunakan untuk membuat perbincangan dalam kumpulan masing-masing. Dalam sesi inilah peserta diberi tugasan dan peranan dalam kumpulan. Kesempatan inilah juga dimanfaatkan untuk berkenalan.

"Ana akhukum Fillah… nama saya Mohd. Nazri Hassan, kawan-kawan panggil Zek, IRK, tahun satu, bukak semesta depan kalau lulus semua masuk tahun 2.", Zek perkenalkan diri. Sahabat aku ni seorang yang periang dan baik budi. Sebab tu ramai peminat. Pemuda harapan pemudi ler katakan… (Ya Ampunnn… Jangan marah aku Zek).

Lepas sorang demi sorang perkenalkan diri, barulah kami memulakan perbincangan sedikit sebanyak. Orang lama memberi tunjuk ajar. Orang baru hanya ternganga mendengar. Orang seperti aku… heh, sedang menikmati setiap detik bersama itu, yang aku sedari ianya akan menjadi kenangan indah dalam hidupku.

"Satu yang kita kena ingat, bila masuk kampong, pertama sekali perlu jumpa Tok Batin dulu. Cerita kat dia serba ringkas. Kalau dia terima, mudah la kerja kita seterusnya. Kalau tak, pujuk la dengan apa cara… buatlah dengan berhikmah". Terang Abang Ardi kepada semua.

"Lagi satu jangan mudah berjanji dengan orang asli, kalau janji tu agak susah kita nak tunaikan baik tak payah. Sebab orang Asli ni akan ingat sampai bila-bila," Tambahnya lagi.

Kebanyakkan ahli COMRADE pada masa ini didominasi oleh pelajar dari kuliah IRKHS (IRK/BARB/HS) . Ini tidak bermakna tiada pelajar dari kuliah lain. Tapi jarang-jarang. Zeli selaku senior COMRADE dari kuliah HS telah membawa ramai pelajar-pelajar HS untuk menyertai Program Masuk Kampung kali ini. Manakala pelajar-pelajar BARB dan IRK pula ramai dari kalangan kawan-kawan Along. Dan misi kali ini boleh dikatakan disertai bukan ahli lebih ramai dari ahli COMRADE. Okey lah… macam meriah je… Cuma masalah sikit sekarang ni ialah pengangkutan. Dua buah lori dan dua buah Leroba (land rover) tidak cukup untuk membawa seramai lebih 60 pelajar dengan barang-barang ke destinasi kami- Cameron Highland .

Mesyuarat sebulat suara memutuskan sebahagian pelajar mesti menggunakan pengangkutan kereta api dari KL ke Tapah. Dan dari Tapah mereka perlu guna bas pulak untuk sampai ke Tanah Rata Cameron Highland . Zeli juga lah yang jadi ketua untuk bawa peserta-peserta naik keta api. Mereka akan sampai kat tapah sebelum subuh, so… kena tidur ler dulu kat stesen Tapah sebelum bas pertama bergerak ke Cameron, lebih kurang pukul 7 pagi.

Sebahagian pelajar lagi… apa lagi kalau bukan naik lori keramat abg. Zahar dan leroba abg Zukri… satu lori lagi untuk muat barang-barang. Aku antara mereka yang naik leroba. Sesungguhnya dua orang pemandu ni masing-masing mempunyai karektor yang banyak membantu COMRADE semenjak zaman Abg. Anas lagi. Mereka berdua ni participate secara langsung bersama-sama menjayakan misi. Abg. Zukri selalu guide dalam bab masak-memasak. Malah ketika masuk kg. kampung Husin, dia la yang masak gulai kijang hasil buruan orang asli. Dia juga yang selalu bancuh Nescafe buat kami semua. Abang Zahar pulak… seorang yang cool… macho (lebih macho dari orang asli kiranya) dan suka sembang (sembang yang ada faedah). Banyak juga kenangan aku bersamanya, antaranya… masa kat Husin dulu kami keluar dengan lori Abang Zahar cari kayu api kat satu kebun getah untuk buat kenduri. Kami yang hero-hero ni masuk kebun getah ambik batang dan dahan kayu yang dah mati. Kiranya okey ler… sambil-sambil ambik kayu boleh le bersihkan kebun getah tu sekali. Ntah kebun getah siapa pun aku tak tahu. Abang Zahar tunggu kat lori dia sambil tengok-tengokkan kami… tiba-tiba… datang sorang pak cik ntah dari mana. Dari jauh dia meluru ke arah Abang Zahar dengan sebilah parang kat tangan kanan dan sebatang kayu di tangan kiri lagak macam geram nak pukul abang Zahar. Terkejut besar Abang Zahar…

"Pak cik, sabar pak cik …!!!", jerit Abang Zahar .

"Sabar Pak cik…!!!", jeritnya berkali-kali.

Kami dari jauh tergamam melihat keadaan itu. Setelah pak cik tu dekat dengan Abang Zahar… Abang Zahar dah readyReady nak lari!… rupa-rupanya pak cik tu kejar kambing yang masuk kebun dia. Takut punya pasal tak perasan pak cik tu lari dengan kambing tadi. Lepas tu kami gelak punya la kuat.

"HA…HA…HA…!!!", Bergema satu kebun getah… Abang Zahar pun gelak sama. Suspense betul. Gelak itu bersambung-sambung sampai la kami balik ke Kg. Husin.

"Ceh… aku ingatkan tuan kebun getah, ingat dia marah kita ambik kayu dia… rupa-rupanya orang gila…", komen Abang Zahar.

Peristiwa itu buat aku tersenyum bila terjumpa dengan Abang Zahar. Ayat standard dia bila jumpa aku, "kau bila nak datang rumah aku, nak tunggu aku mati dulu ke baru nak ziarah…". Rasa kesal juga di hati kerana belum sempat aku berkunjung ke rumah dia. Hanya ketika dia masih tinggal dekat kuarters Batu 12 je aku pernah berkunjung di hari raya tidak lama dahulu. InsyaAllah free-free nanti sampai la aku sekeluarga ke rumah dia. (Sedikit selingan je nih!)

Hari yang ditunggu telah tiba. Semua pelajar berkumpul kat bangunan kuliah Econ petang itu. Aku menyertai pelajar-pelajar lelaki yang sibuk mengangkat barang-barang masuk lori. Beras, susu dalam tin, sardin, gula, serbuk teh, kopi, Nescafe, biskut disediakan oleh JHEOA. Bekalan makanan kali ni agak banyak. Alhamdulillah, kami selalu dapat support dari JOA. Selain untuk makanan kami semua selama berada di sana, bekalan ini juga adalah untuk bantuan kepada orang asli termasuklah untuk buat kenduri yang biasanya dibuat pada hari akhir. Bekalan makanan berupa sardin, susu, gula dan lain-lain itu banyak membantu misi kami. Korang tahu saja la apa orang asli suka. Sanggup berebut-rebut semata-mata nak dapat ikan kurung masak gulai, telur goreng hancur-hancur time buat kenduri (ikan kurung adalah panggilan orang asli untuk sardin dalam tin). Hal ini terjadi kepada orang asli yang tinggal kat pendalaman je. Orang asli kat batu 12 Gombak tak termasuk ler…

ehhh dah panjang sangat dah nih, bersambung lagi lah…!

Catatan Perjalanan

Catatan Perjalanan : Aku Budak COMRADE

Kg. Habu, Cameron Highland , 2001.
(Bhg. 1)

Setiap kali ada program masuk kampong setiap kali itu juga hati aku macam berbunga. Entah… perasaan pelik apa ini?! (rasanya korang pun sama macam aku, itu pun kalau korang betul-betul budak COMRADE sejati ler, sampai sekarang pun perasaan ini datang ketika teringatkan kampung orang asli, bila tengok gambar kenangan). Rasa tertunggu-tunggu. Sering menghitung detik waktu tiba. Buat perancangan itu dan ini. Semuanya mesti beres. Daripada paper work, pengumpulan ahli yang nak menyertai program masuk kampung, cari bajet dan sponsor, deal dengan JHEOA, beli barang keperluan… semua kena clear dulu.

Ketika semua warga UIA balik kampong selepas selesai exam, kami pulak tunggu hari nak naik lori. Semacam seronok je. Mujur ler mak ayah faham. Kekadang walaupun exam habis awal tapi aku setia menanti dan masa diisi bantu kengkawan buat kerja, persiapan akhir.

Misi kali ni kami nak masuk 3 kampung serentak. Kampung Susu, kampong Tiji dan kampong Habu. Senarai yang nak pegi dah ada. Ramai pulak budak UIA yang nak masuk kampung. Ini mungkin pameran COMRADE kat Confest 2000 menjadi tarikan yang kuat.

"Ramai jugak kali ni Along", kata aku pada Along (Mohd. Khairul Nizam Awang Kechik, Presiden COMRADE ketika itu).

"Bagus, hampir 60 orang, campur ahli COMRADE dan bukan ahli, termasuk jugak ahli lama, kali ni kita open. Dan mungkin akan bertambah last-last minit," terang Along.

Time mesyuarat pulak macam biasa, masing-masing ceria. Ceria... exam dah habis!. Masing-masing luah perasaan rindu sebab agak lama tak jumpa. Dua minggu tumpu pada exam dan dua minggu juga takde mesyuarat. Cuma takers untuk program dah diberi awal-awal. Kalau ada mesyuarat pun antara biro masing-masing je.

"kita akan masuk kampong yang pernah COMRADE masuk, iaitu Kg Susu, Kg. Tiji dan Kg. Habu. Kita akan bahagikan kepada 3 kumpulan", antara ucapan Along masa mesyuarat.

Orang yang terawal jelajah kampong-kampung ni ialah Abg. Anas (presiden generasi kedua COMRADE, aku pulak pada masa tu generasi ke 4). Bukan sedikit jasa abang Anas pada orang kampung. Macam-macam abang Anas buat. Dakwah directly dan indirectly. Tapi abang Anas lebih kepada indirect. Satu contoh yang boleh aku kata kat sini ialah ketika abang Anas masuk Kg. Susu pada musim durian, dia sendiri tolong orang asli angkat durian dari kampong ke luar untuk dijual pada peraih. Dia buat macam sedara sendiri. Itu yang sampai sekarang pun orang asli masih ingat kat abang Anas.

Setelah perbincangan dibuat, aku kena kampong Habu. Bersama aku antaranya ialah Mohd. Anis, Abang Zulfikar, Nazri, Mat Joe, Kak Nora, Syakirah dan lain-lain seramai 20 orang.

…bersambung…!

Tuesday, 13 May 2008

Biar hati ummi terhibur! (Bhg. II)

Ummi pernah kata, tak terlintas pun di hatinya dulu dia boleh datang KL. Sekarang ni, hampir 3 bulan sekali juga dia datang KL. Ummi dah pandai naik bas sorang-sorang pergi atau balik KL-KB ketika aku tidak dapat menghantar atau menjemput ummi dari kampong. Sama ada abah ikut sekali, selalunya ummi akan mengikuti aku setelah kami ingin pulang ke KL. Harap-harap ummi tak boring la dengan cucu-cucunya. Kalau ikutkan sekarang ummi seronok dengan cucu-cucunya. Cuma untuk melayan secara keseluruhan tak lah ummi termampu. Tapi ummi suka tolong isteri. Lebih-lebih lagi ketika isteri pantang anak kedua, ummi la yang banyak korbankan masa jaga anak aku yang masih kecil. Sebulan lamanya. Isteri aku pulak ditatangnya macam anak ummi sendiri. Nak makan apa semua ummi masak. Nak ubat apa, herba tradisional melayu kelate semua ummi sediakan. Punyala suka isteri aku dibelai macam itu sekali.

Gaji aku taklah banyak sangat. Namun menjadi kewajipan anak, aku hulurkan duit pada ummi dan abah buat belanja sekadar aku mampu. Ada lebih aku bagi lebih, ada sikit aku hulur sedikit. Hal ini menuntut kefahaman ummi dan abah akan keadaan aku sekeluarga. Kalau aku out-station maka wajib la aku beli sesuatu kepada ummi sebagai buah tangan dari anak yang dia jaga dari hari pertama hingga sekarang dengan susah payahnya. Biar ummi terhibur dengan telatah aku. Ada sekali tu, aku out-station ke Langkawi, aku belikan kain batek jawa sedozen. Aku bagi-bagikan pada ummi, isteri, sedara-sedara terdekat. Aku belikan coklat banyak-banyak. Kalau aku ke Sarawak, aku rela bawak balik ikan terebuk masin. Bila ke sabah pulak aku bawak balik mutiara, kristal dan juga ikan serta udang kering. Untuk abah pulak aku belikan kain palekat, baju. Setakat ini itu lah yang termampu aku berikan untuk menghiburkan mereka. Yang penting aku tidak lupakan mereka. Pantang sekali-kali ketika aku ke mana-mana out-station, aku belikan sesuatu pada isteri tanpa aku belikan sesuatu juga pada ummi. Bila tiba hari raya pula, isteri aku akan belikan kain baju untuk ummi, adik-adik untuk dipakai di hari raya.

Setakat ini, itulah yang menghiburkan hati ummi. Kalau aku tersilap dengan ummi cepat-cepat aku mohon maaf. Kalau ummi ada masalah, cepat-cepat aku bisikkan kata-kata yang menyenangkan. Aku biarkan ummi luah perasaannya. Dan aku akan perbetulkan sana sini. Kalau ada apa-apa hajat, aku minta ummi doakan. Hei… doa ibu untuk anaknya akan maqbul. Hati seorang ibu akan lapang jika didahulukan. Hati ibu akan terluka jika dibelakangkan. Walaupun mendahulukan ibu untuk meminta satu doa. Ibu akan rasa dihargai… bukan susah sangatpun kan! Kadang-kadang agak kurang senang mendengar seorang anak mendahulukan isteri dari ibu. Menyembunyikan segala-gala dari pengetahuan ibu demi kepentingan si isteri. Hei… ini ibumu. Demi isteri segalanya diturutkan… untuk ibu diberi berbagai alasan. Mana nak dapat berkat dalam kehidupan. Menghormati ibu bukan secara adat dan budaya. Tapi itu suruhan dan tuntutan agama.

Kenapa aku terdidik begini?... inilah hasil didikan ummi dan abah. Abah hantar ke sekolah agama untuk mendidik diriku jadi lebih baik. Di sekolah agama dari darjah satu hingga tingkatan 6 aku belajar akhlak Islamiah. Bagaimana selayaknya melayani ibu bapa… al-Quran mengungkapkan segala-galanya…

“Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibu yang telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir penyusuannya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibupapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)”. Luqman :14

Al-Quran mengiktiraf kesakitan ibu sebagai sebab membuat budi kepada ibubapa. Allah SWT menyuruh kita bukan hanya bersyukur kepadanya malah boleh bersyukur kepada ibu bapa. Betapa besarnya pengibaratan ini. Ibubapa diletakkan sebagai tempat seorang anak untuk bersyukur.

Selain itu Allah SWT berfirman:

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibubapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-dua sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Hah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)”. Al-Isra’ : 23

Dalam ayat ini Allah SWT menggandingkan ayat tentang aqidah dengan suruhan berbuat baik kepada ibu bapa. Ini menunjukkan keseriusan dalam melayan baik ibubapa dengan baik.

Dalam hadis pula terdapat kisah seorang sahabat bertanya kepada Baginda Rasulullah SAW; katanya; “kepada siapakah lebih afdal aku berbuat baik? Jawab Baginda SAW: “Ibumu”. Tanya sahabat lagi “kemudian siapa?”. Jawab Baginda. “Ibumu”, Sahabat bertanya lagi, “Kemudian siapa?”, jawab Rasulullah SAW “Ibumu”. Sahabat bertanya lagi soalan yang sama,“Kemudian Siapa” jawab Rasulullah SAW “Bapamu dan orang-orang yang dekat denganmu”.

Pepatah Arab ada mengatakan: Syurga dibawah telapak kaki ibu. Allah SWT akan meredhai seseorang bila mana ibu meredhainya.

Gembirakanlah ibu dengan membawa mereka bersiar-siar, memberi hadiah, tutur kata dan ucapan yang baik, menghiburkan hati, beri perhatian dan layanan kepadanya.

Jangan jadi seperti Al-Qomah, salah seorang sahabat Nabi SAW. Yang menderhaka kepada ibunya. Ruh sahabat yang sedang nazak itu tidak mahu keluar dari badan sehingga ibunya memaafkan kesalahannya.

Akhir sekali, berfirman Allah SWT:

“Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil”. Al-Isra’ : 24.

Doakanlah untuk kesejahteraan ibubapa… anak yang soleh akan sentiasa mendoakan rahmat ilahi kepada keduanya di atas jasa mereka memelihara kita dari sekecil-kecilnya hingga menjadi manusia yang sempurna. Kenangilah mereka… jasa mereka tak terbalas oleh mu.

Terima kasih ummi… terima kasih ummi… terima kasih ummi, terima kasih abah untuk segala-galanya. Minggu depan kita jumpa lagi. Anakmu akan pulang untuk kesekian kalinya untuk bermanja denganmu.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...