Sunday, 3 May 2026

Penderitaan.

Penderitaan membuat orang berubah. Fizikal atau mental. Menjadi lemah atau semakin kuat. Kadang-kadang menjadi semakin kurus. 

Macam orang sakit. Doktor suruh berpantang itu dan ini selama bertahun. Sudah tentu akan menjadi kurus. Sembuh dan sihat. 

Begitu juga orang yang jatuh susah maka kesusahannya itu membuat dia jadi lebih tabah dan terpaksa belajar untuk menghadapinya. Lama kelamaan dia menjadi mahir dan beroleh kehidupan baru dengan ketabahannya yang akhirnya membawa dia keluar dari kesusahannya. 

Begitu juga dengan orang yang derita jiwa. Saat ditinggalkan orang yang dia sayang tentunya sakit di dalam jiwanya. Kita pernah dengar keadaan yang paling teruk tentang kekecewaan. Sehingga sanggup membunuh dan sanggup mati. Terjun bangunan atau jambatan. Ada yang menangis sehingga buta. Ada yang tidak makan. Ada yang menjadi gila. Hidup rasa kosong. Rasa tidak ada guna untuk teruskan hidup. Dan berbagai-bagai lagi hal yang lebih dahsyatnya tentang sebuah penderitaan. 

Bagi aku pula berbeza. Aku guna konsep penderitaan untuk mengubah fizikal dan kehidupan aku. Bagaimana? Begini saja...

Dulu aku mengalami berat badan berlebihan. Makan tak tentu. Aku terkena penyakit gout. Sakitnya usah ceritalah. Paling sakit. Aku ambil treatment di klinik. Ada ubat, ada pemantauan berkala. So, sudah terkawal. Namun aku tak puas hati. Aku nekad mengubah situasi. Aku mesti sihat. Jadi pertama aku mesti turunkan berat sehingga mencapai berat ideal. Pada masa itu berat aku 78kg. Berat ideal adalah 56-64kg. 

Step pertama tak berjaya. Iaitu senaman. 2 tahun aku kayuh basikal secara berkala namun tidak berjaya sama sekali. Berat tetap sama. Aku terus mengkaji. Aku jumpa pakar diet. Ada beberapa nasihat yang aku boleh ambil. Dan melalui video-video di internet aku menjumpai keywordnya iaitu cut sugar. 

Step kedua digabung dengan step pertama barulah berjaya. Bulan Mei 2024 aku memulakan kisah penderitaan aku. Bukan senang nak istiqamah. Aku total stop gula dalam minuman dan makanan. Antara makanan dan minuman kegemaran yang aku terpaksa berhenti adalah, satay, apam balik, roti canai dengan kuah kacang dal tambah gula, teh tarik, air batu cendol, bubur kacang, segala jus yang ada tambahan gula, kuih yang ada inti manis seperti pau dan kuih tradisional. 

Aku makan nasi dengan lauk simple. Ada ayam dan sayur. Atau ikan dengan sayur. Dan istiqamah buat intermittent fasting 12 - 16 jam. Terpaksa tahan lapar. Perut kosong. Minum air kosong. Pagi-pagi minum kopi o. 

5 bulan melalui keadaan itu fizikal aku mengalami perubahan sedikit demi sedikit. Daripada 78kg jadi 75... 74... 73... 69... 65... Dan setahun aku dapat capai 62kg. Berjaya sampai ke berat ideal melalui penderitaan tahan nafsu makan dan tahan lapar. Aku punya pegangan, lebih baik menahan nafsu makan dengan hati tenang daripada menahan makan sebab menghidap penyakit kronik. Orang yang ada darah tinggi, jantung juga menahan makan tapi dalam keadaan susah hati kerana telah menghidapi penyakit. Aku happy saja tahan lapar kerana aku tahu selepas menahan lapar resultnya pasti gempak. Seronok giler bila timbang. Dan happy dapat result medikal yang bagus. 

Aku terlupa, aku ada cerita pasal gabungan step kedua dan yang pertama. Selain daripada diet yang ketat, jaga makan, stop gula terutamanya aku juga menjalani senaman yang bagi aku agak berat iaitu kayuh basikal. Aku ambik masa 1 jam sehari pada waktu pagi sebanyak 3 kali seminggu. Kadang-kadang lebih 3 kali. Dulu aku pakai basikal MTB lama aku iaitu Raleigh Diablo pro yang dibeli pada tahun 2008 tayar bersaiz 26 inci. Tahun lepas 2025 aku beli basikal second hand RB bertajuk Raleigh Sojourn. Jenama biasa dan kualiti biasa-biasa saja. Bolehlah pakai untuk senaman. 

Untuk menjaga aktiviti ini supaya sentiasa berjalan setiap masa tanpa gagal aku memakai apps strava. Aplikasi ini boleh merekodkan jarak setiap kali kita kayuh. Selain itu, kita juga boleh menyertai challenge yang diadakan dalam aplikasi ini. Biasanya aku join 200km challenge, 10x aktif sebulan, 400 minit senaman sebulan. Untuk tahun 2024 aku berjaya mencapai jarak 1,800km, 2025 jarak 2,200km dan untuk tahun 2026 aku target 3,000km. Setakat bulan April memang mencapai target. So, aplikasi strava memudahkan kita untuk monitor pencapaian kita sekali gus memberi motivasi untuk terus mantain berkayuh. 

Pada saat ini berat aku adalah di bawah 60kg. Kadang-kadang mencapai 58kg sahaja. Aku target tahun ini boleh cecah 55kg. Itu target akhir aku. Kena struggle dan lebih menderita. 

Monday, 9 June 2025

Semangat menulis

2025... semangat menulis datang kembali. insyaAllah akan dilakukan sedikit masa nanti. kita luahkan apa sahaja secara bebas di lembaran ini sebagai kenangan masa hadapan. dan mungkin juga menjadi tatapan kepada anak cucu nanti.

Tuesday, 17 July 2018

Menelusuri Denai-Denai Kehidupan

Selama berhenti kerja di tempat lama saya tidak lagi aktif menulis. Fokus utama saya adalah menjadi pengusaha. Sudah banyak yang diusahakan namun, kejayaan belum tiba. Saya hanya berjaya menghabiskan modal sahaja. Dan saya belajar benda besar dalam hidup. Hidup ini bukan seperti yang kita impikan. Kadang-kadang ia terjadi serentak dengan mimpi. Kadang ia melebihi apa yang diimpikan dan kadang-kadang pula ia menjadi lebih buruk dari apa yang kita buru. Kita hanya merancang dan Tuhan yang menentukan. Setiap orang tidak akan sama bentuk pemberian Tuhan. Ada yang lebih dan ada yang kurang. "Ia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dialah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa".

Dengan kefahaman yang kuat tentang keupayaan diri dan kelebihan yang ada saya menukar arah mengambil pusingan u turn ke jalan yang lebih terarah menuju destinasi mimpi-mimpi yang kian terpadam. Saya perlu akur dan akui yang jalan-jalan kehidupan bukan satu arah dan sentiasa satu arah. Kekadang jalan yang kita sukai itu tidak semestinya akan sampai pada titik akhir. Manakala jalan yang sukar dan tidak kita sukai itu akan lebih baik pengakhirannya. Allah berkata: Tidakkah Kami telah menjadikan baginya dua mata dan lidah serta dua bibir (sebagai kejadian yang sempurna untuk keperluannya)? dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan. Maka kenapa kamu tidak memilih jalan yang susah?".

Dalam kita Al-Hikam ada menyebut bahawa sememangnya di dunia ini memang susah. Selagi kita di dunia ini memang kena akur dengan kesusahan kerana sebabnya adalah kita belum sampai di akhirat. Memang patut susah sebab kita ini masih di dunia bukan akhirat. Bagi orang mukmin memang ini cabarannya. Tapi bagi yang suka bersenang lenang di dunia awaslah. Kesenangan itu akan diragut di akhirat jika tidak kena dengan syariatnya. Nabi SAW ada berkata yang mafhumnya "jika kamu tahu apa yang aku tahu nescaya kamu tidak akan ketawa selama-lamanya".

Tentunya saya tidak akan sekali-kali menyerah kalah, walau sudah tiada apa yang tinggal saya tetap bangkit menerusi semangat anak jantan pantang tunduk walau dipijak namun misai jangan sekali-kali mencecah tanah. Yang digenggam itu biarlah dilepas walau sangat dicintai dan merupakan perjuangan awal. Mungkin tiada lagi rezeki saya diarena itu. Perjalanan ini saya doakan lebih baik dan lebih bermanfaat. InysaAllah... doakan saya dan saya aminkan doa-doa kalian. 

Saturday, 28 January 2017

Berhenti Kerja

Pada disember lepas saya telah menghantar surat kepada majikan untuk berhenti dari yapeim. Tarikh kuat kuasa berhenti itu adalah pada 1 feb 2017. Ini bermaksud sudah genap 11 tahun saya berhidmat di situ iaitu bermula pada feb 2006.

Saya mengambil keputusan ini setelah lama berfikir tentang masa depan yang saya inginkan dan keadaan semasa di persekitaran.

Semoga insyaAllah akan berjaya segala perancangan dan usaha. Doakan saya dan keluarga saya baik-baik saja.

Friday, 23 December 2016

Sekadar Nasihat

Insaflah...
Dunia ini sementara
Umur hanya sementara
Kesihatan hanya sementara
Kuasa hanya sementara
Kedudukan hanya sementara
Jawatan hanya sementara
Bahagia hanya sementara
Yang kekal hanyalah Rabb Al-Jalal Wal-Ikram
Yang memberimu umur berlanjutan
Yang memberimu kesihatan dan kewarasan
Yang memberimu kuasa dan daya
Yang memberimu Kedudukan dan kesenangan
Yang memberimu segala-galanya

Muhasabahlah...
Kau sentiasa buat silap
Kau kira kau betul
Kau kira kau boleh perbetul
Kau kira kau menguasai
Kau kira kau hebat
Kau kira kau takkan mati
Padahal... tiada daya tiada upaya
Melainkan Tuhan Yang Maha Kuasa

Hayatilah...
Ketika kau berdepan dengan manusia
Kau campurkan emosi dengan kuasa
Lalu kau canangkan kemarahan
Lalu kau campakkan kegeraman
Lalu kau cambahkan keegoan
Lalu kau camtumkan dengan keangkuhan
Lalu apakah tujuan hidup?
Lalu apakah pesanan Nabi SAW?
Lalu apakah suri tauladan terbaik?
Lalu apakah kita bukan sama-sama hamba?
Lalu apakah kita lupa?
Betapa Nabi menyayangi umat
Betapa Nabi tidak berdendam kesumat
Betapa Nabi tidak akan berhasad
Betapa Nabi sedia memberi syafaat

Ubahlah...
kita umat Muhammad
Baginda ikutan
Baginda Tauladan
Berbahgialah mengikutinya
Berbuatlah kebaikan
Bertindak adil dan saksama
Jauhi sikap acuh tak acuh sambil lewa
Jauhi sikap buruk sangka
Pimpinlah tangan menuju jaya
Bimbinglah hati menuju syurga

Fikirkanlah...
Jangan bertuhankan pemikiran dan perasaan
Apa hak kita untuk menyembah apa yang kita fikirkan
Apa hak kita sujud pada perasaan
Padahal yang wajib disembah Allah
Padahal yang wajib bersujud hanya padaNya

Renungkanlah...
Takkan ke mana orang yang angkuh
Menganggap diri bijak
Menafikan hak yang berhak
Mengenepikan kebebasan pemikiran
Memisahkan orang yang nak bersatu
Menyusahkan orang yang sedia membantu
Memenangkan orang yang berseteru
Menepis orang yang tak sebulu
Meminggirkan orang yang hebat
Membuat keputusan yang tidak tepat

Marilah sahabat...
Marilah berpakat
Carilah berkat
Carilah muafakat
Carilah rahmat
Belum terlambat
Belum lagi jauh tersesat
InsyaAllah masih sempat
Semoga semuanya selamat

Wan Norhisyam | 23 Disember 2016
GSA Jalan Pahang, KL

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...