Showing posts with label Pesanan. Show all posts
Showing posts with label Pesanan. Show all posts

Tuesday, 7 June 2016

Bazar dan Bufet: Persepsi Ramadhan Yang Sangat Salah

Tabiat orang Islam rata-rata sangat bercanggah dengan syariah dan tuntutan agama di masa bulan Ramadhan. Ini kerana persepsi yang salah terhadap ibadah di bulan berkenaan.
Bulan Ramadhan diwajibkan untuk berpuasa menahan lapar dan dahaga, tidak makan dan tidak minum selama 14 jam. Perut menjadi lapar dan tekak sangat dahaga. Terbayang-bayang di fikiran makanan yang lazat untuk berbuka bagi mengisi tekak dan perut. Terbayang makanan yang ada di bazar. Bermacam-macam aneka. Semuanya ingin dibeli.

Kebanyakan mereka akan menghabiskan sejumlah wang untuk membeli makanan di bazar. Dengan keadaan lapar urusan membeli menjadi sangat lancar tanpa berfikir dengan waras. beratus-ratus juadah dijual. Terjadilah pesta membeli belah di pasar Ramadhan. Suasana beratur panjang dan sesak biasa dilihat di semua bazar yang tumbuh seumpama cendawan selepas hujan. Belum lagi cerita pasal buffet Ramadhan di hotel dan restoran mewah. Belum lagi anjuran-anjuran berbuka besar-besaran.

Semasa berbuka pula seolah-olah suatu pesta makan diraikan. Makan dengan puas seumpama empangan yang pecah. Mengisi sepenuh-penuhnya perut yang lapar kerana puasa seharian. Oleh kerana kekenyangan solat maghrib dilewatkan. Tersandar seperti ular sawa menelan kambing. Hasilnya... mereka sukar untuk beribadah. Kalau solat terawih pun mungkin tidak selesa dan tidak khusyuk!

Selain pemakan dan pembeli, satu sudut bertentangan adalah peniaga bazar sendiri. Peluang berniaga sangat tinggi di bulan ini. Berniaga apa sahaja jenis kuih atau lauk atau sekurang-kurangnya minuman pasti untung. Terdapat 'demand' yang sangat tinggi menyebabkan peningkatan 'supply' serta 'market' menjadi sangat terbuka.

Bermula daripada karenah yang berbagai untuk mendapatkan tapak berniaga yang kadang-kadang terjadi insiden tidak diingini serta melunturkan roh Ramadhan. Peniaga akan bertungkus lumus untuk menghasilkan dan memasarkan jualannya setiap hari bermula seawal jam 3 petang lagi sampai jam 8 malam.

Melayan pelanggan selama 5 jam tenyata sangat meletihkan ditambah pula penyediaan makanan atau jualan sebelum itu menjadikan peniaga longlai dan lesu. Apakah mampu peniaga ini menunaikan ibadah puasa, solat wajib, solat sunat terawih dengan sempurna? Apatah lagi solat malam? Apatah lagi di malam-malam terakhir Ramadhan yang jualan menjadi meningkat dengan permintaan yang juga meningkat kerana sambutan raya?

Kedua-dua suasana ini sangat bertentangan dengan tuntutan Ramadhan sama ada di pihak pembeli dan penjual.

Apakah erti Ramadhan itu hanya nak dihayati ketika berbuka sahaja dengan sejumlah besar makanan? Apakah Ramadhan hanya peluang berniaga untuk mendapatkan keuntungan duniawi tanpa menghayati intipati Ramadhan?

Persepsi dan budaya ini perlu dirobah. Ibadah di bulan Ramadhan perlu dihayati dengan sesungguhnya. Tidak salah membeli juadah. Tetapi kuantiti yang sedikit sahaja. Lebih baik masak sendiri seperti hari-hari sebelum Ramadhan. Lauk yang biasa, minuman pun yang biasa. Ianya boleh mengelak pembaziran yang dilarang dalam Islam. Masaklah lebih sedikit untuk dihulurkan kepada jiran. Itulah budaya kita yang asal dan ia merupakan sedekah yang mudah.

Menghayati nilai puasa adalah dengan merasai kelaparan yang ditanggung oleh orang faqir dan miskin. Mungkin kita boleh bayangkan kedaifan umat Islam di Syria dan Palestin. Betapa bernilainya nikmat keamanan yang kita miliki. Betapa syukurnya nikmat rezeki yang Allah kurniakan kepada kita selama ini.

Pemakanan yang sederhana dengan mengikut sunnah mengambil kurma dan makanan sihat boleh memberi energi untuk melakukan solat terawih dan solat tahajud dengan sempurna. Terawih tidak terdapat di malam-malam di bulan yang lain. Amatlah rugi jika ketinggalan solat terawih dek kerana kekenyangan dan keletihan.

Jika persepsi pembeli atau pemakan sudah diubah, maka 'demand' sudah dapat dikawal atau dikurangkan, lama-kelamaan budaya bazar dan bufet Ramadhan akan dapat juga dikurangkan. Budaya gila berniaga sehingga menyebabkan tiada penghayatan Ramadhan, di kalangan umat Islam perlu diubah segera. Jangan sampai yang wajib diabaikan. Jangan jadi umat yang pentingkan dunia ketika Allah memberi peluang Ramadhan untuk meraih akhirat.

Saya mengharapkan budaya yang bertentangan ini dapat dikurangkan atau dihapuskan. Marilah kita kembali menghidupkan Ramadhan dengan semangat "imanan wahtisaban" atau "la'allakum tattaqun" sebagai mana umat Islam di Zaman Nabi Muhammad SAW. yang mana baginda jika datangnya bulan Ramadhan dihidupkan siangnya dengan berpuasa, sedekah dan membaca Quran. Manakala di malamnya pula berterawih, iktikaf, tahajjud dan sebagainya.

Wan Norhisyam
2 Ramadhan 1437
7 Jun 2016

Tuesday, 18 November 2014

Hidup Ini Sangat Menginsafkan!

Selawat dan Salam kepada junjungan Besar Nabi Muhammad SAW Penghulu segala Nabi-nabi. Salam sejahtera kepada semua yang ada di sini. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Apa yang ada di sekeliling kita ketika ini jika diperhatikan ianya sangat menginsafkan. Allah jadikan semua ini sebagai pengajaran dalam hidup. Dari kecil kita diasuh oleh orang tua. Tiba masa saatnya dia pergi meninggalkan kita. Menunjukkan dunia ini tidak kekal untuk selamanya. Sampai masa kita akan pergi jua. Harta yang kita ada kian habis dan ditambah lagi oleh Allah agar kita dapat uruskan keluarga. Setiap harta itu akan dihitung. Orang-orang di sekeliling kita kian membesar dan berusia... semuanya berubah. Ramai sudah yang telah pergi. Kadang-kadang kita rasa menyendiri dalam keriuhan dunia. Usia kita kian berlalu. Umur bertambah dari hari ke hari. Oh... Dunia ini sangat menginsafkan.

Jika terleka dengan apa yang kita ada di dunia ini maka nanti kita yang akan rugi. Seharusnya dan sewajarnya di setiap saat dalam kotak pemikiran kita ada Allah. Kerana Dia kita hidup dan untuk Dia kita hidup dan kepada Dia kita akan pergi. Apa yang Dia inginkan kepada kita adalah sebuah pengabdian. Perhambaan.

Jadilah hamba kepada Tuhan. Bukan kepada selain Dia. Dia suruh kita hidup sebagai penghuni dunia. Dia suruh mentaati Dia dalam semua perkara. Dia suruh solat dan kita pun bersolat. Dia suruh kita bekerja mencari nafkah untuk diri dan keluarga maka kita bekerja. Dia suruh kita belajar memahami ayat-ayatNya maka kita pun belajar.

Jadilah hamba yang baik... malah yang paling baik. Hamba yang baik adalah yang banyak memberi manfaat kepada orang lain. Kalau tidak ada harta untuk diberikan pada orang maka bantulah dengan tenaga dan kata-kata sokongan. Ketika tiada apa-apa untuk diberikan maka jangan menyusahkan orang lain. Jangan dilawan kejahatan dengan kejahatan. Malah kejahatan yang didepankan kepada kita selalulah lawan dengan kebaikan. Itulah akhlak yang sangat mulia yang Nabi Muhammad SAW (insan contoh ikutan kita semua) tunjukkan kepada kita.

Niatkan selalu dalam hati, kita inginkan kebaikan di dunia dan kebaikan di Akhirat seperti yang kita selalu impikan dalam doa kita "Rabbana aatina fiddunia hasanah wafil aakhirati hasanah waqina 'azabannar". Orang yang inginkan dunia ini dipenuhi dengan kebaikan maka taburkan benih-benih kebaikan bermula dengan diri sendiri tanpa menunggu kebaikan itu datang dari orang lain yang memulakannya. Tanamkan juga benih-benih amal soleh untuk mendapat hasanah di akhirat.

Segala puji bagi Allah Tuhan Tuan Punya sekelian alam. Syukur padaMu yang memberi pada kami nikmat hidup ini. InsyaAllah di kesempatan ini kami akan menjadi hambaMu yang baik... yang paling baik... insyaAllah.


Wednesday, 1 October 2014

Doa dijauhkan dari hasutan syaitan

Salam alaik... mari kita sama-sama mengamalkan doa untuk berlindung dari hasutan syaitan yang menjadi musuh manusia selamnya. 

Kenali syaitan musuh kita semua agar kita mudah untuk menghindari, mengawal dan melawannya. Jangan mudah terpedaya. Musuh yang dikenali lebih mudah untuk kita uruskan berbanding musuh yang kita tidak ketahui.

Sila baca buku yang ditulis oleh Ust. Hafiz Firdaus
http://www.hafizfirdaus.com/ebook/Tipudaya/kandungan.htm

Semoga ada manfaat...

Friday, 7 February 2014

Tarbiyyah Berterusan

Sememangnya bukan mudah sesuatu nilai yang baik nak diterapkan ke dalam jiwa manusia. Anak-anak perlu dididik selama bertahun-tahun untuk menjadi pandai. Para pelajar memerlukan masa yang lama untuk mendalami ilmu. Begitu juga para pekerja memerlukan satu tempoh masa tertentu bagi menghasilkan pekerja yang berpengalaman.

Tarbiyyah atau pendidikan atau pembelajaran memerlukan masa yang lama. Ianya adalah syarat utama bagi mengubahan sikap dan daya fikir seseorang. Perubahan yang dimaksudkan adalah perubahan secara total yang mewakili sebuah falsafah dan akhlak.

Islam adalah agama yang turunkan dari langit. Ia merupakan satu-satunya cara hidup yang tepat untuk diikuti dan sesuai di setiap masa dan tempat. Sesiapa sahaja boleh mengikuti Islam tidak kira apa bangsa dan kaum sekalipun. Tidak kira di mana pun sama ada di Amerika, Africa, Asia, Kutub Utara, Kutub Selatan dan lain-lain.

Namun, mempelajari Agama Islam bukan semudah yang difikirkan dan bukan terlalu sukar. Pelajaran agama Islam perlu kepada tempoh dan proses yang panjang. Ini kerana selok belok agama terlalu luas menjangkau ke semua aspek kehidupan sama ada aspek sosial, ritual, politik, ekonomi, kerohanian dan sebagainya. Jika masa yang diambil terlalu singkat dibimbangi pelajaran Islam tidak dapat diserapi secara menyeluruh dan mungkin pemikiran akan tersudut pada satu-satu fahaman sahaja yang sempit dan jumud. Padahal Islam tidak sempit malah sangat luas.

Untuk menjadi muslim yang faham agama memang memerlukan pendidikan yang berterusan supaya agama itu boleh dihayati dan dijadikan rujukan atau panduan di setiap masa dalam keadaan apapun juga. Sesekali seorang muslim tidak boleh menggunakan akalnya sahaja untuk bertindak mendepani urusannya malah agama yang ditunjangi al-Quran dan as-Sunnah perlu dijelmakan dalam pemikirannya.

Muslim sejati yang mengalami tempoh panjang tarbiyyah sangat berbeza dengan muslim yang tidak belajar agama setempoh itu. Dia akan menjadi pekerja yang hebat dengan membawa nilai-nilai kental Islam ke dalam gerak kerjanya seharian. Tindakannya dan perkataannya akan terserlah kemusliman yang diajari oleh Nabi S.A.W.

Di rumahnya, dia adalah penanggung jawab utama dalam menyelesaikan rumah tangganya. Tidak akan dia abaikan semua yang ditaklifkan ke atasnya. Kerana dia sedar bahawa jika pengabaian berlaku maka dia tidak akan terlepas dari hukuman yang bakal dikenakan di akhirat nanti. Dia juga akan bertanggung jawab mentarbiyyah anak-anak dan isteri supaya mereka juga tidak mengingkari suruhan Allah dan NabiNya. Bersikap lemah lembut terhadap mereka sesuai dengan ajaran sifat Rasulullah S.A.W yang diimaminya. Supaya mereka, anak dan isteri dapat rasai rahmat Allah yang diturunkan kepada seluruh alam selari dengan kedatangan junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W.

Begitulah hendaknya sang isteri perlu menerima tarbiyyah sebaiknya dari kecil hingga bergelar isteri. Ketika menjadi isteri pun mereka perlu dididik dengan baik oleh suami mukmin sejati dalam rumahnya. Seorang isteri yang sudah faham agama akan lebih mudah melakukan tugasannya sebagai isteri. Ini kerana dia telah mengetahui apa sahaja yang dia lakukan mesti memohon reda dari suaminya. Statusnya di sisi agama dia adalah 'rakyat' kepada suami yang perlu patuh kepada pemimpinnya itu selagi mana perkara ittu tidak bercanggah dengan suruhan Allah. Perakuannya terhadap statusnya itu adalah kebenaran yang besar. Dan penentangan sepatutnya tidak berlaku sekiranya dia tahu carta organisasi kecil ini dan peranan masing-masing.

Tarbiyyah, pengajian, pembelajaran, pendidikan tidak terjadi dengan sepantas kilat. Sebaliknya berterus-terusan itu adalah terbaik dalam hal itu. Hari ini, esok dan selamanya tarbiyyah perlu diteruskan bagi menghasilkan muslim yang solid, kental dan mantap. Berhenti belajar atau mendidik menyebabkan terhenti sungai rahmat yang mengalir untuk kesejahteraan umat. Jangan jemu dan bosan untuk belajar dan mendidik selagi hidup seperti kita tidak jemu untuk makan dan minum setiap hari.

Tanpa tarbiyyah yang cukup manusia akan tergelincir dari arus yang sepadan dengan agama. Natijah dari tergelincir itu maka banyak perkara buruk dan negatif akan terjadi umpamanya Islam akan menjadi lemah, budaya yang negatif akan mudah meresap dan mengambil alih budaya Islam yang diajar oleh Nabi S.A.W. dan sebagainya.

Marilah kita mulakan semula tarbiyyah agama kepada mereka yang kita sayang. Bersatulah untuk Agama. Semoga Allah membantu kita semua. Wallhu A'lam...

Wednesday, 2 January 2013

2013 Aku Masih Di Sini

Alhamdulillah... Syukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana aku  masih hidup sehingga tahun 2013. InsyaAllah di kesempatan masa yang diberikan ini akan aku gunakan untuk melakukan amal kebajikan sebagai bekal ke alam akhirat.

Ramai yang meraikan detik kiraan kedatangan tahun baru 2013 dengan berbagai cara. Ada yang pergi ke dataran-dataran berduyun-duyun dengan sahabat handai rakan taulan serta keluarga. Tidak kurang yang pergi ke sana bertemankan boyfriend girlfriend. Huh... sudah menjadi adat kebiasaan malam sambutan seumpama ini mereka jadikan sebagai masa untuk berpesta dan keramaian yang hanya menyajikan kepuasan diri tanpa memikirkan ianya baik atau buruk. Tambahan pula ramai di kalangan anak muda termasuk pelajar IPT yang leka berhibur di malam itu dengan sorak, tari, hilai tawa nyanyian yang agak melalaikan. Apalah sangat kiranya malam yang seumpama malam-malam yang lain ini juga dijadikan sebagai malam yang menginsafkan. Nabi menyebut, "sekiranya kamu mengetahui keadaan akhirat kamu tidak akan ketawa selamanya...". Sepatutnya malam itu disambut dengan syukur dan insaf dengan umur dunia yang semakin berusia dan hampir dengan qiamat.

Namun tidak dinafikan ada juga segolongan yang melaksanakan sambutan kedatangan tahun baru 2013 dengan cara yang berbeza. Mereka berjaya mengumpulkan anak muda remaja di satu padang dan mereka mandikan dengan hidayah Allah serta mendidik jiwa pada malam itu dengan kerohanian yang amat berfaedah kepada umat. Ceramah dan syarahan Islami berjaya menarik perhatian. Bacaan ayat-ayat suci al-Quran dapat meruntunkan jiwa. Sesuangguhnya cara ini lebih baik dari pesta liar yang tersimpang dari syarak.

Aku pula, pada malam itu hanya berkumpul dengan keluarga. Tidak ada apa yang lebih baik bagi aku selain daripada berada di tengah-tengah anak-anak yang masih memerlukan kasih sayang dari seorang bapa. Namun dalam hatiku perasaan bercampur baur menghadapi 2013. 2012 yang aku tinggalkan adalah masa yang sangat indah untuk dikenang dengan sejumlah nostalgia dan tragedi yang boleh dijadikan iktibar dan kenangan.

Biarpun sebesar mana ujian di tahun 2012 ianya sudah berlalu dan kini datang tahun baru yang lebih mencabar. Akan kuatkah lagi kakiku ini untuk berdiri dan masih kuatkah tanganku untuk menepis segala ujian yang datang? Harapan aku semoga jiwa dan mental serta fizikal masih segar untuk menghadapi semua itu.

Sekali lagi syukur pada Ilahi... Aku doakan semoga tahun ini lebih baik dan dirahmati oleh Allah SWT. Ya Allah... berikan aku kekuatan untuk menjadi hambaMu yang berguna pada agama, bangsa dan negara. Ya Allah berikan aku ilmu yang banyak dan ilham yang tidak putus-putus untuk urusan duniaku dan akhiratku. Ya Allah... bimbinglah aku dalam segala hal dan keadaan. Janganlah Engkau pesongkan niat dan tindakan aku sehingga tersasar dari agamaMu. Jauhi aku dari sifat yang buruk. Didiklah aku sebagaimana Engkau didik nabi dan rasulMu. Perhaluskanlah akhlak dan tuturkataku agar dapat berkomunikasi dan berinteraksi dengan masyarakat secara berhikmah. Hubungkan silaturrahim dan kasih sayang dengan semua manusia agar semua urusan berjalan dengan lancar dan mantap. Ya Allah ya Rabbi ya Karim... Amin.

Monday, 31 December 2012

Memahami Hakikat

Kelihatan ramai dari kalangan umat Islam kini tidak memahami hakikat. Mereka sering melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya dan kadang-kadang melanggari batas hakikat keadaannya yang sebenar. Bukan setakat tindakan sahaja yang melambangkan mereka tidak faham hakikat malah perkataan dan perasaan juga tersasar dari HAKIKAT. Adakah semua ini kesan daripada zaman yang berubah atau kita yang jauh dari hakikat?

Hakikat atau realiti adalah hal keadaan yang sebenar bukan sahaja benar pada pandangan tetapi juga pada logik dan rasionalnya. Hakikat perlu dibuktikan dengan nas atau hujah yang tepat. Sesuatu dikatakan benar bila dibuktikan benar atau kebenaran itu jelas.

Seorang lelaki yang bekerja keras untuk mendapatkan wang tanpa memikirkan halal dan haram adalah seorang yang tidak memahami hakikat kerana dia tidak melakukan hal yang betul. Bekerja adalah ibadah sekiranya pekerjaan itu harus dari hukum dan tidak mendatangkan bahaya pada orang lain. Seorang pekerja perlu mengelak dari melakukan apa yang dilarang oleh agama iaitu seperti mencuri, merompak, menipu, menindas. Tidak boleh juga menjalankan perniagaan yang dilarang contohnya menjual beli benda yang diharamkan oleh syarak, melibatkan diri dengan rasuah, riba dan penindasan. Untuk mendapatkan status ibadah memang sesuatu pekerjaan itu mestilah murni dari sebarang perkara yang dilarang seperti yang disebut di atas. Maksudnya, seseorang yang memahami hakikat diri akan melakukan kerja yang benar dan mendapat rezeki dengan cara yang betul seperti yang ditunjukkan oleh syarak. Benar atau salah sesuatu pekerjaan itu tidak boleh dinilai dengan akal kita sendiri tetapi dengan Syarak.

Begitu juga dengan orang yang selalu menyakiti hati orang lain dan suka menyusahkan orang dengan menghina dan mengeji atau bergurau berlebihan dikatakan sebagai orang yang tidak memahami hakikat. Dalam agama kita, kita memang disuruh melakukan perkara yang baik. Malah lidah dan tangan kita perlu dijaga kerana dua anggota ini disebut sebagai dua lambang keislaman seseorang. Nabi Muhammad (SAW) menyebut "Muslim ialah seseorang yang mensejahterakan muslim yang lain daripada (kejahatan) lidah dan tangannya". Dalam apa-apa keadaan sekalipun seorang muslim tidak boleh mengeji dan menghina orang lain. Tidak boleh sesekali menyentuh keburukan orang lain sama ada keburukan rupa parasnya atau perbuatannya. Rupa paras adalah ciptaan Allah. Jika kita menghina rupa paras orang lain maka seolah-olah kita menghina Penciptanya. Tidak kira warna kulit atau kecacatan, itu semua ciptaan Allah yang dianugerahkan kepada seseorang. Begitu juga dengan kelakuan buruk seseorangpun tidak boleh sewenang-wenang kita sebut dan war-warkan kepada umum atau menghina si pelakunya denga kata-kata nista dan keji. Apa yang disuruh oleh Nabi Muhammad adalah menyekat kemungkaran sebagaimana kata Nabi Muhammad (SAW) "Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran maka cegahlah dengan tanganmu atau dengan lidahmu atau dengan hatimu (berdoa), mka ia adalah selemah-lemah iman". Apa yang dikehendaki oleh Nabi (SAW) adalah cegah kemungkaran dan bukannya menghina perbuatan buruk orang lain. Sekiranya kemungkaran telah berlaku maka kita perlu menyekat daripada berulang atau menyekat kemungkaran yang mungkin lebih buruk jika dibiarkan.

Sifat mengeji, menghina, mencela atau membuka keaiban orang tidak sangat membantu untuk mencegah kemungkaran malah ia akan menjadi kemungkaran kepada diri penghina atau pencela pula. Bukan mudah untuk menyekat keburukan orang. Strategi dan perancangan diperlukan dalam uslub dakwah Islamiyyah yang semakin mencabar. Niat yang baik tidak bererti sekiranya tidak disusuli dengan perbuatan yang betul yang boleh menyokong niat itu.

Selain itu juga, wanita hari ini ramai kelihatan tidak memahami hakikat. Ini dibuktikan dengan tindakan mereka dalam melalui kehidupan di zaman moden ini. Wanita adalah ciptaan Allah yang mempunyai hak-hak tertentu dalam masyarakat. Namun, wanita seperti juga lelaki ada keterbatasan tertentu yang ditetapkan. Perkara-perkara yang sering dikedepankan berkenaan dengan wanita adalah seperti pergaulan, aurat, hormat ibu bapa dan suami serta fungsi dalam masyarakat. Lelaki dipertanggung jawabkan untuk menjaga wanita. Manakala wanita dipertanggungjawabkan untuk menjaga diri dan maruahnya. Untuk menjaga dirinya, wanita perlu menjaga dirinya supaya tidak dirosakkan seperti yang dianjurkan dalam Quran dan Sunnah. Jika tidak ada Quran dan tidak ada Nabi maka kita tidak tahu macam mana penjagaan ke atas wanita. Syukurlah ada panduan yang diberikan kepada kita semua.

Wanita perlu ada toleransi kepada masyarakat. Toleransi yang paling wajar adalah hormat kepada lelaki yang bernama bapa atau suami. Bapanya yang membiayainya dari kecil dari segi keperluan diri dan pendidikannya maka sewajarnya diletakkan ditempat teratas dalam hierarki hormat sebelum dia mempunyai suami. Bila sudah bersuami maka hormat itu pula beralih kepada sang suami.

Semua yang difardhukan kepada wanita itu adalah suatu perintah daripada Ilahi. Suatu perintah yang diwajibkan kepada setiap wanita. Semua yang dilakukan itu adalah ibadah bukti perhambaan kita kepada Ilahi. Bukanlah suruhan menghormati suami itu sebagai melambangkan wanita itu rendah tarafnya tetapi ia adalah suatu nilai yang tinggi sebagai pengabdian kepada Allah. Wanita bukan hamba kepada suami tetapi wanita adalah hamba Allah yang bertugas sebagai isteri. Yang menilai kita semua adalah Allah. Dia jugalah yang memberi ganjaran nanti mengikut setiap amalan kita semua.

Wallahu A'lam

Tuesday, 27 March 2012

Berdoalah Sentiasa

Bila ingin memulakan sesuatu yang baik kita akan berdoa... "Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani... Aku mohon petunjuk dan redhaMu dengan apa yang bakal aku lakukan. Semoga dilindungi olehMu dari awal hingga akhir. Aku berharap ianya menjadi satu ibadah yang bakal dihitung olehMu di hari akhirat nanti".

Dengan doa itu kita melakukan suatu kebajikan dengan niat kerana Allah SWT. Kemudian apabila kita merasa masih kuat untuk melakukannya kita akan pula berdoa, "Ya Allah... aku berharap padaMu agar engkau memberi kekuatan kepada ku ini berpanjangan dan dapat aku meneruskan usaha aku ini dengan baik hingga sempurna... Engkaulah Yang Maha Kuat ya Allah..."

Jika kita merasa semakin lemah kita segera berdoa kepada Allah SWT, "Ya Allah... berikanlah kekuatan kepadaku untuk meneruskan usahaku ini. Aku berlindung denganMu dari segala sifat lemah... Ya Allah... aku ini insan biasa dan tidak dapat lari dari sifat lemah... oleh itu... aku sangat mengharapkan pertolongan Engkau ya Allah untuk memberikanku sedikit kekuatan..." Inilah rintihan kita pada Allah.

Begitu juga bila kita dilanda rasa lalai, resah dan tidak dapat fokus pada usaha kita, dengan segera kita akan memohon kepada Allah untuk mengembalikan tumpuan dan fokus kita pada usaha kita itu selain memohon keampunan dariNya dari kelalaian kita. Kemudian jika kita berjaya menyelesaikan usaha itu kita akan juga berdoa kepada Allah semoga usaha itu menjadi manfaat kepada semua manusia dan semoga Allah memberikan kejayaan yang lebih besar dari kejayaan itu di masa akan datang.

Jika kita gagal menyudahkan usaha itu pula kita akan berdoa pada Allah, "Ya Allah... aku gagal dalam usahaku... berilah aku kekuatan untuk menghadapi kegagalan ini. Janganlah Engkau jadikan kegagalan ini sebagai pematah semangatku untuk aku lebih berusaha di masa hadapan. Ya Allah... aku sangat yakin ada hikmah di sebalik kegagalan ini. Ya Allah... walaupun usahaku ini gagal tetapi aku mengharapkan keredhaan Engkau sepanjang usahaku ini kerana aku juga yakin suatu amalan tidak hanya dikira pada natijahnya atau hasilnya akan tetapi pada usahanya juga."

Ketika kita merasa tersesat dan tersalah langkah dalam usaha kita, selain dari kita sedaya upaya kembali kepada misi dan visi serta niat yang asal kita juga hendaklah segera berdoa pada Allah "Ya Allah... aku mengharapkan petunjuk dariMu ya Allah..." atau " Ya Allah... tunjukkanlah yang benar itu benar supaya dapat aku mengikutinya dan tunjukkan aku yang bathil itu bathil supaya dapat aku menghindarinya..."

Manakala ketika kita diganggu oleh syaitan dan manusia, kita diajar untuk memohon perlindungan dari Allah dari semua itu. Allah Maha Kuasa. Mohon sahaja padaNya dengan syarat jangan hanya berdoa tetapi berusaha kerana Allah tidak akan memberi jika kita tidak mencari seperti burung yang senantiasa terbang di waktu pagi keluar mencari makanan.

Doa adalah motivasi terbesar dalam hidup muslim-mukmin. Orang yang senantiasa berdoa akan merasai kekuatan yang Allah berikan padanya dan dia tidak akan rasa baawa kekuatan itu berpunca dari dirinya sendiri. Seseorang yang berdoa, dia akan mendapat rangsangan dari doanya itu kerana ketika berdoa dia menyebutnya misinya atau sesuatu yang bakal dilakukan itu di depan Tuhannya Yang Maha Agung dan pastinya doanya itu akan didengari oleh Allah, kerana Allah berfirman:
{وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ}

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya padamu mengenai aku maka (beritahu kepada mereka) sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa padaKu"

Marilah kita berdoa pada Allah SWT pada setiap masa, ketika senang ataupun sudah, ketika berjaya atau gagal dan ketika sibuk atau lapang. Mintalah apa sahaja dari Allah SWT walaupun sekecil-kecil benda seperti pesan Nabi SAW;

"Mintalah pada Allah walaupun sebuku garam."

Doa bukan sahaja sebagai motivasi atau pencetus kepada usaha kebajikan tetapi juga sebagai senjata untuk orang Islam. Sabda Nabi Muhammad SAW;

الـدعـاء ســلاح الـمـــؤمـــن

Betapa kuatnya orang Islam dari segi mental dan fizikal serta spritualnya jika benar-benar sentiasa mengamalkan doa. Wallahu a'lam... (Ya Allah... semoga tulisan ini menjadi manfaat kepada semua dan ada ganjaran di sisiMu... Amin)

Thursday, 8 March 2012

Minda Yang Merdeka

Haji Ma tersenyum mendengar pertanyaan Ma Ho. Dia berkata, "Kehebatan ilmu mantik akan menjadikan seseorang itu lebih pintar daripada orang lain."

Dahi Ma Ho berkerut, seolah-olah meneliti maksud kata-kata ayahnya. Dia berkata, "Bukankah pakaian indah, rupa paras yang cantik dan segak seseorang membuat seseorang lebih disukai daripada yang berpakaian compang-camping dan rupa paras yang buruk?"

Haji Ma menjawab. "Aspek luaran hanya salah satu daripada ciri-ciri bagi menilai sesuatu."

Ma Ho bertanya, "Bukankah kemampuan menilai keindahan fizikal juga menunjukkan kehebatan ilmu mantik seseorang?"

Haji Ma tersenyum lagi lalu berkata, " Dia hebat hanya apabila dia menilai keindahan fizikal itu dengan kesedaran, di sebalik keindahan itu ada penciptanya."

"Maksud ayah semua penafsiran perlu berlandaskan keesaan Tuhan?"

"Ya benar, malah seluruh kehidupan kita perlu berpaksikan pengabdian kepada Tuhan."

"Bagaimana dengan perhambaan manusia kepada manusia? Adakah manusia yang diperhamba itu berdosa sedangkan dia tidak mempunyai pilihan?"

"Seseorang itu menjadi hamba kepada makhluk yang lain apabila mindanya tidak merdeka, walaupun dia bukan seorang hamba kepada manusia."

"Adakah seseorang hamba kepada manusia dianggap merdeka apabila fikirannya bebas?"

"Selagi seseorang insan itu dapat berfikir tanpa minda terbelenggu, maka dia bebas berfikir. Namun begitu kebebasan berfikir perlu sentiasa berlandaskan tauhid kepada Tuhan."

Ma Ho berkata, "Ertinya seorang hamba kepada maharaja pun pada hakikatnya seorang yang merdeka selagi dia tidak mahu mindanya diperhamba?"

"Bahkan selagi dia menganggap dia hamba Tuhan semata-mata, maka walaupun dia seorang tawanan perang ataupun hamba kepada maharaja China sekalipun, maka selagi itulah pada hakikatnya dia seorang yang merdeka."

"Ayah, adakah seseorang boleh menjadi hamba kepada dua orang tuan?"

Haji Ma berkata, "Tidak mungkin! mustahil! Apabila seseorang dimiliki oleh dua orang tuan, maka satu daripadanya mempunyai tuntutan yang lebih kuat. Sebagai contoh seorang hamba kepada maharaja, juga adalah hamba Tuhan. Tetapi pada hakikatnya hamba maharaja adalah hamba Tuhan semata-mata. Maka tuntutan maharaja ke atas hamba itu dengan sendirinya terbatal kerana Tuhan jua memiliki sekelian alam."

Petikan dari Novel Laksama Cheng Ho: Pemimpin Armada lautan Barat, Imran Yusuf, PTS Litera Utama, 2011, ms 21-22.

Tuesday, 3 January 2012

Tahun Baru Semangat Pun Baru

Menyambut tahun 2012 ini tidak seperti kebiasaan menyambut tahun-tahun baru yang sudah. Aku lebih banyak berfikir dan menajamkan rencana yang bakal aku hadapi sepanjang tempoh tahun baru ini. Seandai aku tidak membijakkan diri menghadapi cabaran-cabaran baru maka nahas lah aku.

Selonggokan tanggungjawab dan komitmen sudah diterima dan diamanahkan. Bebanan yang bakal dipikul akan menjadi lebih berat sekiranya aku berleka-lekaan dengan permainan duniawi. Aku sedar bukan mudah untuk mengharungi dunia yang kian cepat berputar. Kalaupun kita tidak pening mungkin kita akan terasa loya dan pinar mata.

Yang pastinya Tahun baru ini aku mesti setidak-tidaknya menjadi lebih baik dari tahun lepas. Ayuh sahabat-sahabat kaum muslimin kita mesti tunjukkan prestasi yang cemerlang dari orang bukan Islam. Usah terleka dengan ulitan dunia ini. Kembara kita belum berakhir. Bekal apa yang mahu kita bawa kalau bukan amal terbaik yang soleh dan solid untuk dibawa serta dipersembahkan kepada Rabbul Jalil, Tuhan Semesta Alam.

Saturday, 31 December 2011

Selamat Tinggal 2011

Terlalu banyak cerita di tahun 2011. Ada suka dan dukanya. Ada berjaya dan gagalnya. Semuanya mematangkan diri supaya lebih maju di masa hadapan.

Tahun 2011 juga merupakan tahun yang mencabar. Alhamdulillah aku dapat harungi dengan tabah. Sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah swt. aku bersyukur kerana Allah masih membimbing aku. Segala kesilapan yang aku lakukan Allah terus tunjuk jalan yang sebenarnya. Allah masih sayangkan aku.

Selamat tinggal tahun 2011. Tahun yang pernah aku hidup di dalamnya. Yang menjadi sebahagian sejarah hidup ini. Segala apa yang berlaku bolehlah dijadikan iktibar, tauladan yang berguna. InsyaAllah... kita akan jadi lebih baik. Cahaya yang benderang akan menerangi jalan kita setelah mendung berlalu. Ayuh kita kejar cita-cita yang masih tertinggal.

Ya Allah... aku memohon agar masa yang Engkau berikan ini menjadi nikmat yang akan aku gunakan sebaik mungkin dan jauhkanlah aku dari kelalaian diri ini supaya dapat aku syukuri nikmat masa yang Engkau berikan ini...

Tuesday, 20 December 2011

KARNIVAL HIJRAH 2011, PADA 22, 23 & 24 DISEMBER 2011

Karnival Hijrah 2011 anjuran bersama Jabatan Perdana Menteri, Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman dan TV AlHijrah buat pertama kalinya akan menemui rakyat Pantai Timur khususnya rakyat negeri Terengganu Darul Iman dan negeri-negeri berdekatan pada 22 – 24 Disember 2011 nanti.

Karnival Hijrah yang akan diadakan di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu selama tiga hari ini akan dilancarkan pada hari Khamis 22 Disember 2011 jam 3 petang.

Dengan tema “HIJRAH 1 TRANSFORMASI”, Karnival yang menggabungkan 44 agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Kerajaan Negeri Terengganu ini menjangkakan satu fenomena baru di dalam penglibatan agensi-agensi Kerajaan Malaysia untuk membawa kepada rakyat pelbagai inovasi dan kemajuan yang telah diperkenalkan oleh agensi masing-masing.

Tema HIJRAH 1 TRANSFORMASI bersesuaian dengan hasrat Kerajaan untuk menerapkan nilai-nilai kecemerlangan melalui perubahan yang menyeluruh dalam pentadbiran Islam yang akan memberi kebaikan kepada rakyat serta membawa negara ini mencapai kemajuan khususnya dalam bidang keislaman di negara ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Bin Hj. Baharom,
“Karnival Hijrah 2011 ini bertujuan untuk memberi ruang kepada seluruh rakyat Malaysia memahami dan mendapat pendedahan mengenai pencapaian pembangunan Islam di Malaysia dan peranan yang telah dan sedang giat dimainkan oleh Kerajaan serta semua pihak termasuk Kerajaan Negeri.

“Antara empat belas Agensi-Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri yang akanterlibat secara menyeluruh bagi menjayakan Karnival Hijrah ini ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Lembaga Tabung Haji Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Yayasan Waqaf Malaysia, International Zakat Organization (IZO), Yayasan Taqwa dan TV AlHijrah sebagai penganjur bersama.
Selain daripada agensi-agensi tersenarai, Karnival yang bersifat terbuka dan secara langsung ini turut melibatkan penyertaan badan-badan penyiaran seperti TV Alhijrah dan IKIM FM bersama Salam FM dan Manis FM.

FAMA juga akan turut serta dengan mini MAHA dengan membawa hasil-hasil pertanian seperti buah-buahan tempatan dan produk-produk makanan yang dihasilkan dari tanaman tempatan.

Menyentuh lebih lanjut tentang aktiviti yang bakal disediakan kepada tetamu-tetamu yang hadir, Dato’ Seri Jamil Khir mengulas,“ Pelbagai aktiviti termasuk pameran yang akan berjalan di sana nanti. Antaranya ialah PAMERAN DETIK-DETIK KEGEMILANGAN ISLAM yang julung kalinya akan membawa beberapa artifak dan replika kegemilangan Islam seperti Lampu Masjid Mamluk, Astrolab, Sfera Bintang, dan Papan Lapis yang tertera perkataan “Bismillahirrahmanirrahim”.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pula akan mempamerkan kepada pengunjung Alatan Penentu Tarikh Lahir Islam manakala JAKIM pula akan menganjurkan KLINIK AL-QURAN dan juga pameran tentang HALAL HUB.” kata beliau.

Pengunjung ke Karnival Hijrah juga akan dapat melihat sendiri alat menguji emas dikhemah pameran YAPEIM dan Tabung Haji pula akan menyediakan perkhidmatan dan urusan haji yang menjadi tanggungjawab utama agensi tersebut.

Sebagai tambahan, TV AlHijrah yang bertindak sebagai penganjur bersama Karnival Hijrah ini diamanahkan untuk membawa siaran secara langsung dari Dataran Shahbandar Kuala Terengganu program seperti bual bicara ASSALAMUALAIKUM dan KONSERT ULANG TAHUN TV ALHIJRAH yang membariskan artis terkemuka seperti Yasin, Nora, Opick, Rabbani, Aishah, Badri dan ramai lagi.

Tidak ketinggalan, rakaman program 30 MINIT BERSAMA USTAZ DON, TERENGGANU BERSELAWAT dan DIALOG HARMONI akan turut diadakan.

Sesi perkenalan dengan penyampai-penyampai TV AlHijrah seperti Amin Idris, Ustaz Don Danial, Irma Hasmie dan Munif Isa juga akan diadakan.

Karnival yang menganggarkan kunjungan seramai 200,000 pengunjung ini turut tidak ketinggalan menyiarkan program Forum Perdana bertajuk “Hijrah Satu Transformasi ”serta program Adik-Adikku terbitan RTM.

IKIM FM, Manis FM serta Salam FM akan turut memeriahkan Karnival besar-besaran ini dengan menyiarkan siaran lintas langsung melalui frekuensi radio masing-masing.

Dengan adanya karnival ini juga kesempatan terbaik untuk rakyat negeri Terengganu datang beramai-ramai bersama keluarga sempena musim cuti sekolah untuk berada di khemah pameran agensi-agensi yang menyediakan pelbagai pameran dan aktiviti sesuai untuk seisi keluarga.

Sumber: www.manis.fm

Thursday, 10 November 2011

Dilanggar dari Belakang: Apa Anda Perlu Buat???

Saja je nak kongsi sedikit maklumat ini sekiranya perkara ini berlaku pada anda... Sekiranya kereta anda dilanggar dari belakang, perkara yang anda perlu lakukan adalah:

1) Jangan panik dan marah, sila ketepikan kenderaan anda, jangan berhenti di tengah jalan kerana ia akan menyusahkan pengguna jalan raya yang lain dan pastikan semua berada dalam keadaan selamat.

2) Sila catatkan maklumat penting seperti masa, tempat kejadian dan nombor serta jenis kenderaan yang melanggar kereta anda. Lebih senang kalau anda ada telefon berkamera. Ambil sahaja gambar kereta yang melanggar kereta anda. Dari situ anda dapat catat masa dan tempat kejadian.

3) Anda tidak payah susah-susah nak ambil maklumat pemandu yang melanggar kereta anda. semua itu tidak perlu dan akan menyusahkan dia.

4) Jangan marah-marah. kemarahan tidak dapat kembalikan bentuk asal kenderaan anda.

5) Sekiranya kenderaan anda masih boleh bergerak sila ke balai polis berdekatan untuk membuat aduan *nota penting: Jangan pergi ke balai polis yang berada diluar daerah kejadian kerana salinan report akan dikeluarkan hanya oleh pegawai penyiasat bahagian trafik, balai polis dalam daerah berkenaan sahaja.

6) Jika kenderaan anda tidak boleh bergerak sila dapatkan khidmat kereta tunda yang dicadangkan oleh insuran anda untuk ke balai polis berdekatan.

7) Buat pengaduan dengan tepat mengikut apa yang telah terjadi.

8) Aduan anda ini berguna untuk claim insuran. walaupun nampak dari luaran kerosakan kereta anda tidak serius tetapi jangan terkejut bila mekanik meletakkan harga yang tinggi untuk membaikinya. Itulah gunanya insuran yang kita bayar setiap kali nak memperbaharui cukai jalan.

Nota: Sekiranya perlanggaran itu melibatkan 4-5 buah kenderaan, saman akan dikeluarkan kepada pemilik kereta yang berada di belakang sekali. Begitu juga dengan insuran, insuran kereta yang berada di belakan sekali akan cover semua kerosakan kereta yang berada di hadapan.

Akhir kata; sila hati-hati ketika memandu dan amat-amatlah penting anda menjaga jarak anda bagi mengelakkan terjadi hal-hal demikian.

Sila tambah sekiranya maklumat ini tidak mencukupi dengan meninggalkan komen anda...

Monday, 26 September 2011

Pengorbanan

Assalamualaikum
Sudah lama aku tidak menulis... skill menulis semakin berkarat. Tak tahu nak mula dari mana. Hampir sebulan lamanya aku tidak mengisi apa-apa bahan di blog kesayangan aku ini. Aku menjadi terlalai dengan persekitaran yang mempengaruhi diri untuk seketika lalai dari menulis. Padahal menulis adalah kegemaran, kesukaan yang membawa kenyamanan serta ketenangan untuk aku sendiri.

Menulis sebenarnya menjadi terapi yang sangat berkesan ketika jiwa memerlukan penawar. Menulis atau meluahkan sesuatu melalui tulisan boleh melegakan walaupun tulisan itu hanya sekadar untuk diri sendiri tanpa orang lain ketahui. Dan kadang-kadang melalui tulisan juga membuat orang lain memahami isi hati apa yang nak disampaikan. Mungkin juga melalui medium penulisan juga segala persoalan akan terjawab. Segala cadangan boleh diajukan kepada orang ramai atau perseorangan supaya hidup lebih baik.

Menulis memerlukan semangat yang tinggi untuk kekal istiqamah dengan kehidupannya sebagai penyampai dan pemberi maklumat. Ilmu mesti ada dan ditambah dari masa ke semasa. Betapa maklumat yang tepat dan berguna sahaja akan menjadi manfaat kepada orang ramai. Justeru, diri sendiri perlu berkorban masa dan tenaga untuk mempersembahkan yang terbaik melalui karya supaya ianya bukan sahaja menjadi bahan tatapan malah menjadi pengubat untuk jiwa orang lain dan juga menjadi penawar kepada segala kesakitan...

Sunday, 8 August 2010

Tidak Harus Terlalu Gemuk

Orang Islam tidak seharusnya terlalu gemuk sehingga membebankan diri sendiri seperti membebankan diri dengan berat badan yang terlebih, memudahkan penyakit-penyakit berbahaya hinggap, lemah fikiran, lesu badan, mudah mengantuk, cepat lupa dan berbagai bebanan yang lain.

Sebenarnya, jika seseorang Islam mengamalkan ajaran Islam dengan betul dan tepat, dengan sendiri mentalnya bagus dan fizikalnya sihat. Ini kerana ada beberapa amalan Islam yang mengarahkan dan menggalakkan orang Islam supaya menggerakkan badan dan menjaga pemakanan dengan betul misalnya Solat, Puasa dan Haji.

Semua orang Islam tahu bahawa Solat adalah tiang Agama Islam. Tiang adalah sesuatu yang penting dalam struktur bangunan. Jika tiada tiang maka sesebuah bangunan mudah rosak dan mudah runtuh. Begitulah gambaran Islam kepada Solat. Islam adalah bangunan dan solat pula adalah tiangnya. Maka Solat wajib didirikan oleh semua orang Islam. Perintah wajib ini banyak terkandung dalam rujukan utama Islam iaitu al-Quran dan hadis yang berbunyi, "Aqimu al-sholah" 'dirikanlah solat'.

Seseorang yang melakukan solat dengan penuh penghayatan insyaAllah akan memperolehi kekuatan dari sisi fizikalnya dan mentalnya. Ini kerana solat mempunyai pergerakan-pergerakan yang sangat terkesan dari segi kesihatan badan. Solat mengandungi pergerakan berdiri (qiam), ruku', i'tidal, dua kali sujud, duduk antara dua sujud dan duduk tasyahud. Pergerakan ini mesti dilakukan 17 kali sehari kecuali duduk tasyahud (9 kali sahaja). Semua pergerakan-pergerakan itu boleh merehatkan otot-otot, meregangkan urat saraf, menyegarkan organ-organ, melancarkan pengaliran darah dan mengalirkan oksigen ke otak dengan baik. Disamping itu juga, pergerakan solat dalam saf-saf ketika berjemaah boleh meneutralkan cas-cas nagetif pada badan dan dengan itu terhasil keseimbangan mental dan wujud ketenangan setiap kali bersolat. Kebenaran ini telah dibuktikan oleh pakar-pakar kesihatan dan ahli psyikologi.

Di samping pergerakan-pergerakan itu, dalam ibadah solat terdapat unsur lain yang melengkapkannya iaitu khusyu'. Khusyu' adalah keadaan di mana seseorang yang tidak lari niatnya dari awal hingga ke akhir solat. Dengan kata lain, khusyu' adalah fokus dalam solat. Dari awal niat hingga ke akhir solat mestilah ditetapkan dalam hati dan dikawal perasaan bahawa dia sedang berhadapan dengan Allah Yang Maha Kuasa. Tuhan Yang Maha Besar, Yang Memerintah alam semesta.

Tidak cukup dengan solat 5 kali sahari iaitu 17 rakaat, setiap muslim juga disuruh melakukan solat-solat sunat antaranya solat sunat qabliyyah ba'diyyah, solat sunat hajat, tahajjud, taubat, mutlak, witir, dhuha, tahiyyatul masjid, whuduk dan bermacam-macam lagi. Kita sedia maklum bahawa solat sunat amat digalakkan dalam banyak-banyak amalan sunat lain. Jikalaulah seseorang boleh melazimkan diri melakukan solat-solat sunat ini insyaAllah fizikal dan mental akan kuat, sihat sepanjang hayat.

Betapa Solat itu penting dalam Islam dan boleh menyihatkan rohani jasmani begitulah juga halnya kepada ibadah puasa. Puasa adalah ibadah penting dalam dalam Islam dan terkandung dalam rukun Islam. Puasa diertikan sebagai menahan diri dari makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa dari masuk waktu subuh hingga masuk waktu maghrib. Puasa diwajibkan kepada umat Islam yang cukup umur dan berakal selama sebulan pada bulan Ramadhan setiap tahun.

Kebaikan-kebaikan puasa sebenarnya sudah dikaji oleh pakar kesihatan dan merupakan cara diet yang penting. Namun bagi orang Islam, puasa bukanlah cara berdiet tetapi diet itu ada terkandung dalam amalan puasa. Apa yang sangat penting dalam ibadah puasa adalah puasa tersebut merupakan ibadah disuruh atau perintah daripada Allah SWT.

Selain daripada puasa wajib dalam bulan Ramadhan, terdapat beberapa jenis puasa sunat seperti puasa sunat pada enam hari di bulan Syawal, puasa sunat Isnin dan Khamis, puasa sunat pada hari asyura dan lain-lain lagi yang mana puasa tersebut digalakkan dalam Islam.

Ibadah haji pula merupakan ibadah yang memerlukan kekuatan fizikal dan mental. Haji diwajibkan kepada orang Islam yang mampu untuk melakukannya. Perkataan MAMPU itu merangkumi kemampuan dari sudut fizikal dan kewangan. Oleh itu, Islam menggalakkan penganutnya sentiasa bersedia dari segi kesihatan fizikal dan kewangan. Ini kerana setiap Muslim bercita-cita untuk mengerjakan ibadah Haji, ibadah yang kelima dalam rukun Islam.

Selain daripada ibadah-ibadah khusus yang diwajibkan dalam Islam itu, terdapat beberapa peringatan dan pengajaran Islam yang menggalakkan umat Islam hidup secara sihat. Umpamanya Islam menggariskan panduan dalam pemakanan. Dalam al-Quran terdapat ayat yang menyuruh makan makanan yang halal dan baik serta diberi senarai makanan yang halal dan tidak halal supaya orang Islam akan sejahtera kerana sejahtera itu adalah objektif utama Islam.

Bukan sahaja setakat senarai makanan yang halal lagi baik ditunjukkan dalam al-Quran, diajarkan oleh Nabi S.A.W. tentang adab-adab makan. Antaranya; memulakan makan dengan Basmalah dan doa. Basmalah dan doa adalah suatu cara berzikir kepada Allah yang boleh mengingat Muslim bahawa makanan yang bakal dimakan itu hanyalah sebagai penguat badan untuk melakukan ibadah dan bukannya untuk makan sekenyang-kenyangnya.

Nabi S.A.W. juga mengajar kita untuk makan bila lapar dan berhenti sebelum kenyang, banyakkkan makan buah dan berbagai-bagai adab makan yang lain. Sekali gus umat Islam tidak digalakkan makan makanan tidak halal dan makan secara berlebihan, mengikut nafsu selera sehingga memudharatkan diri.

Dengan kenyataan-kenyataan di atas maka tidak seharusnya seseorang Islam itu berbadan gemuk dan didatangi penyakit berbahaya disebabkan kegemukan. seharusnya seseorang bertanggungjawab pada jasadnya. Tidaklah boleh membebankan jasad dengan bebanan yang tidak sewajarnya.

Sesungguhnya kita amat beruntung kerana diberi Agama Islam oleh Allah sebagai panduan hidup. Islam mengajar segala-galanya. Tidak ada tujuan lain hanyalah untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Marilah sama-sama mengamalkan Islam. Islam best...

Saturday, 31 July 2010

Membantu Menyempurnakan Ibadah

Sokongan, galakan dan dorongan diperlukan dalam sesuatu organisasi bagi menempah kejayaan yang sama-sama diimpikan. Ahli dalam organisasi perlu memainkan peranan sebaik mungkin sebagai anggota organisasi. Bukan sahaja tugas individual perlu dilaksanakan tetapi setiap anggota mesti juga peka kepada anggota lain dalam pelaksanaan tugas-tugas mereka. Begitulah juga dalam menyempurnakan ibadah- setiap orang perlu bantu-membantu dan ingat memperingati dalam melaksanakan ibadah.

Nabi S.A.W. diutuskan untuk memberi pelajaran dan tauladan kepada setiap orang untuk melakukan ibadah dengan cara yang betul. Percayalah bahawa Agama Islam bukan hanya agama untuk Nabi Muhammad S.A.W. dan para Sahabat sahaja. Allah S.W.T. tidak hanya menyuruh Nabi S.A.W. untuk melakukan ibadah tetapi Allah Memerintahkan Nabi S.A.W. untuk memperingatkan kepada setiap orang untuk melakukan ibadah yang sama kepada Allah S.W.T..

Perintah untuk menyampaikan atau dakwah tidak hanya terhenti apabila Nabi Muhammad S.A.W. wafat. Perintah dakwah akan terus mengalir kepada umat Islam yang sentiasa mengikuti Sunnah Nabi S.A.W..

Jika di zaman awal Islam, dakwah dibuat dengan pelbagai cara yang berkesan untuk zaman itu. Namun setelah beberapa masa dan zaman berlalu dakwah sudah perlu diubahsuai dengan keadaan semasa. Namun kandungan dan objektif asas dakwah tidak akan berubah sama sekali iaitu untuk memperkenalkan dan meninggi Kalimah Allah.

Manusia sepatutnya tidak boleh hanya sibuk melakukan ibadah sendirian sedangkan ahli organisasi lain tidak melakukan hal yang sama dan tidak ada usaha untuk mengajak serta membantu untuk membawa kepada ibadah yang sempurna.

Adakah seseorang akan rasa selamat apabila hanya dia seorang selesai melakukan solat sedangkan orang lain sekitarnya tidak mendirikan solat atau melakukan solat dengan tidak sempurna? Ingatlah bahawa bala bencana akan menimpa kepada sesuatu kaum yang majoriti derhaka kepada Allah. Walaupun dalam kaum itu ada yang beribadat kepada Allah S.W.T namun bencana akan tertimpa kepada semua.

Oleh sebab itu, marilah kita sama-sama membantu rakan-rakan, saudara mara, adik-adik, anak-anak serta pasangan kita untuk melakukan ibadah. Yang tidak tahu tolonglah ajar-ajarkan. Yang kurang tolong mempertambahkan. Yang melambat-lambatkan tolong mempercepat-cepatkan. Percayalah... Syurga lebih nikmat didiami bersama ahli kelurga, teman-teman semasa hayat di dunia...

Dalam al-Quran, Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: "tolong-menolonglah kamu di atas perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah tolong-menolong di atas perkara dosa dan kerosakan". Semoga kita dapat sama-sama membantu dalam menyempurnakan ibadah kepada Allah S.W.T.

Wednesday, 30 June 2010

Yang Lebih Bermanfaat

Manusia yang berkualiti dinilai dari segi manfaat yang diberikan kepada manusia lain. Rasulullah s.a.w. menyebut bahawa; "sebaik-baik manusia adalah yang memberi lebih manfaat kepada orang lain".

Kehidupan ini bukan hanya bererti untuk diri sendiri sahaja. Bukan hanya tertumpu pada kebajikan diri dan bersifat peribadi. Hidup ini sebenarnya akan lebih bererti sekiranya kebaikan yang kita ada itu ditebarkan kepada orang lain. Inilah keindahan ajaran Islam. Betapa kehidupan bermasyarakat secara harmoni dan sejahtera dituntut secara berleluasa. Islam juga mengajar betapa kehidupan ini bersifat perlu dan memerlukan. Bukan sahaja wang ringgit, makan minum yang perlu dikongsi dan dibahagi-bahagi. Malah yang jauh dari itu juga perlu dikongsi seperti saling memberi dan meminta nasihat, berkongsi perasaan serta kebahagiaan.

Begitulah pula ilmu yang dimiliki juga perlu dikembangkan kepada semua orang supaya semua dapat merasai manfaat ilmu tersebut.

Walaupun hakikatnya orang miskin memerlukan kepada si kaya namun sebenarnya si kaya juga memerlukan si miskin iaitu ketika berhadapan dengan Tuhan Yang Maha Esa. Ketika itu Allah Azza wa Jalla akan bertanya; apa yang kamu lakukan kepada si miskin ini semasa di dunia? Si kaya akan mendapat pahala yang banyak dari Allah sekiranya dia mendapati bahawa si miskin itu memperolehi manfaat daripada kebaikannya semasa hayat di dunia. Begitulah adanya putaran kehidupan sebagai seorang muslim sejati.

Kepentingan dunia bukan hanya ukuran untuk dipakai dalam melakukan segala kebaikan. Keuntungan di sini tidak sebesar mana pun sekira dibandingkan dengan keuntungan di Akhirat.

***Orang yang paling baik adalah orang yang paling bermanfaat kepada orang lain dan sebenarnya bukanlah orang paling baik jika hanya pandai mengambil manfaat daripada orang lain.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...