Showing posts with label Fiqh. Show all posts
Showing posts with label Fiqh. Show all posts

Wednesday, 16 November 2011

Majlis Fatwa: Syarat-Syarat Pelaburan Emas

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah membincangkan mengenai Parameter Pelaburan Emas. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

Setelah mendengar taklimat dan penjelasan daripada Y. Bhg. Prof. Dr. Ashraf Md. Hashim dan Y. Bhg. Ustaz Lokmanulhakim bin Hussain daripada Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA), Muzakarah bersetuju menerima dan memperakukan Parameter Pelaburan Emas seperti berikut:

Syarat Umum Jual Beli

1. Transaksi jual beli emas mestilah memenuhi semua rukun jual beli yang digariskan oleh Syarak, iaitu pihak yang berakad, item pertukaran, dan sighah menurut ’uruf yang diamalkan. Jika sekiranya suatu transaksi tidak memenuhi salah satu rukun jual beli, transaksi tersebut dikira tidak sah.

Pihak Yang Berakad

2. Pihak yang berakad mestilah orang yang mempunyai kelayakan melakukan kontrak (Ahliyyah al-Ta’aqud) iaitu dengan memenuhi kriteria berikut:

i. Baligh, berakal dan rasyid

Jika sekiranya pihak yang berakad seorang yang gila atau kanak-kanak samada mumayyiz atau tidak mumayyiz, maka jual belinya adalah tidak sah. Akad oleh kanak-kanak yang mumayyiz adalah tidak sah kerana jual beli ini melibatkan barang yang tinggi nilainya.

ii. Keredhaan

Akad jual beli mestilah dimeterai oleh dua pihak yang saling reda-meredhai, tanpa ada unsur paksaan, tekanan dan eksploitasi.

Harga Belian (al-Thaman)

3. Harga belian (al-Thaman) hendaklah diketahui dengan jelas oleh kedua-dua pihak yang berakad ketika sesi jual beli.

Barang Belian (al-Muthman)

4. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang wujud, dan dimiliki sepenuhnya oleh pihak yang menjual ketika berlangsungnya kontrak jual beli. Oleh itu, jual beli suatu yang tidak wujud secara fizikalnya dan juga jual beli suatu yang tidak dimiliki oleh pihak yang menjualnya adalah tidak sah.

5. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang boleh diserahkan kepada pembeli atau wakilnya. Jika barang belian tidak dapat diserahkan kepada pembeli, ataupun penjual mensyaratkan tidak menyerahnya kepada pembeli, maka akad tersebut tidak sah.

6. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang diketahui oleh kedua-dua pihak yang berakad ketika sesi jual beli. Ia boleh terlaksana melalui kaedah-kaedah di bawah:

i. Melihat sendiri barangan yang hendak dibeli ketika akad jual beli, atau sebelum akad jual beli dalam tempoh yang tidak menjejaskan sifat-sifatnya.

ii. Melihat sampel barangan yang hendak dijual beli. Ini biasanya berlaku semasa proses pemesanan sebelum akad dilaksanakan.

iii. Menentukan sifat-sifat dan kadar barang belian secara terperinci yang secara urufnya tidak menimbulkan pertikaian. Dalam konteks emas, penentuannya adalah dengan mengenalpasti tahap ketulenan emas samada mengikut standard lama berasaskan karat (seperti emas 24 karat), atau standard baru berasaskan peratusan (seperti emas 999). Penentuan sifat juga mestilah mencakupi bentuk emas, samada dalam bentuk syiling, wafer, jongkong dan sebagainya. Timbangan emas secara tepat juga adalah suatu yang disyaratkan dalam penentuan sifat emas.

Sighah

7. Sighah dalam jual beli adalah suatu yang menunjukkan kepada keredhaan kedua-dua pihak untuk memetrai kontrak jual beli. Ia boleh berlaku samada melalui pertuturan, atau suatu yang boleh mengambil hukum pertuturan seperti tulisan dan seumpamanya. Manakala jual beli secara Mu’ataah (serah-hulur) juga adalah dikira sebagai sighah yang muktabar oleh sebahagian fuqaha’.

8. Di dalam sighah jual beli tidak boleh dimasukkan unsur penempohan. Contohnya, seseorang mengatakan, ” Saya menjual barangan ini kepada kamu dengan harga RM100 untuk selama tempoh setahun”.

9. Ijab dan qabul mestilah bersepadanan dan menepati antara satu sama lain dari sudut ciri-ciri dan kadarnya.

Syarat Khusus Jual Beli Emas Yang Bercirikan Item Ribawi

10. Oleh kerana emas dan wang adalah dua item ribawi yang mempunyai illah yang sama, maka syarat tambahan bagi transaksi pembelian atau penjualan emas mestilah memenuhi syarat berikut:

i. Berlaku taqabudh (penyerahan) antara kedua-dua item yang terlibat dalam transaksi sebelum kedua-dua pihak bertransaksi berpisah daripada majlis akad.

ii. Jual beli emas hendaklah dijalankan secara lani, dan tidak boleh berlaku sebarang penangguhan.

Syarat-syarat tersebut adalah khas bagi emas yang bercirikan item ribawi, seperti emas jongkong dan syiling emas. Syarat ini tidak termasuk barang perhiasan emas kerana ia telah terkeluar daripada illah ribawi.

Perincian taqabudh dan urusniaga lani adalah seperti berikut:

Syarat Pertama: Taqabudh

11. Taqabudh (penyerahan) hendaklah berlaku terhadap kedua-dua item jual beli iaitu harga dan juga barang belian (emas), dan ia hendaklah terlaksana sebelum kedua-dua pihak berpisah daripada majlis akad.

12. Penyerahan harga boleh dilakukan melalui kaedah-kaedah berikut:

a. Pembayaran secara tunai
b. Pembayaran secara cek yang diperakui (seperti banker’s cheque)
c. Pembayaran secara cek peribadi
d. Pembayaran secara kad debit
e. Pembayaran secara kad kredit
f. Pemindahan wang daripada akaun simpanan atau semasa.

Secara urufnya, kesemua bentuk bayaran di atas kecuali (c) adalah dianggap sebagai pembayaran tunai oleh penjual. Pembayaran melalui kad kredit masih lagi dianggap tunai kerana pihak penjual akan mendapatkan harga jualan secara penuh dari pihak yang mengeluarkan kad kredit tersebut. Hutang yang berlaku, jika ada, adalah di antara pemegang kad dengan pengeluar kad dan bukannya dengan penjual barangan.

Status tunai ini masih lagi diterima secara urufnya oleh penjual walaupun pada hakikatnya pihak penjual akan menerima secara fizikal atau dimasukkan ke dalam akaunnya beberapa hari selepas transaksi berlaku.

13. Penyerahan barang belian (emas) hendaklah berlaku secara penyerahan hakiki ataupun kaedah muktabar yang boleh menggantikan penyerahan hakiki. Penyerahan barang belian yang muktabar akan membawa kesan sama seperti penyerahan hakiki, iaitu:

a. Berpindah dhaman (tanggungjawab jaminan) daripada penjual kepada pembeli.
b. Kemampuan pembeli untuk mendapatkan barang beliannya pada bila-bila masa tanpa ada halangan.

14. Majlis akad di dalam transaksi jual beli boleh berlaku dengan pertemuan secara fizikal, ataupun secara maknawi. Contoh majlis akad secara maknawi ialah ijab dan qabul melalui telefon, sistem pesanan ringkas (sms), emel, faksimili dan lain-lain. Tetapi disyaratkan dalam semua bentuk majlis akad tersebut, hendaklah berlaku taqabudh ketika majlis akad, contohnya melalui penyerahan secara wakalah.

Perlu diberi perhatian bahawa majlis akad secara bertulis akan hanya bermula apabila ianya diterima oleh pihak yang berkontrak. Contohnya, pembeli menandatangani akad jual beli dan kemudian menghantarnya melalui pos kepada penjual. Selepas tiga hari, akad tersebut sampai ke tangan penjual. Maka majlis akad bermula pada waktu tersebut, jika pihak penjual bersetuju, maka akad tersebut perlu disempurnakan oleh penjual dengan menandatanganinya, dan barang belian hendaklah diserahkan kepada pembeli secara hakiki atau hukmi.

Syarat Kedua: Secara Lani

15. Transaksi jual beli emas hendaklah berlaku secara lani dan tidak boleh dimasuki sebarang unsur penangguhan, samada dalam penyerahan harga atau dalam penyerahan emas.

16. Penangguhan penyerahan harga yang tidak dibenarkan adalah meliputi pembelian secara hutang secara keseluruhannya atau pembelian secara bayaran ansuran.

17. Kelewatan penyerahan emas yang melebihi tempoh tiga hari selepas akad jual beli dimeterai adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Manakala bagi kelewatan penyerahan emas dalam tempoh kurang daripada tiga hari, Muzakarah mengambil maklum bahawa terdapat perbezaan pandangan ulama di dalam hal ini. Namun Muzakarah lebih cenderung untuk mengambil pakai pendapat yang tidak membenarkan berlakunya kelewatan walaupun tempohnya kurang daripada tiga hari. Dengan kata lain, penyerahan emas mestilah di lakukan di dalam majlis akad tanpa ada penangguhan. Ini adalah kerana di dalam urusniaga emas, kelewatan tiga hari bukanlah suatu uruf, berbeza dengan isu tukaran matawang asing.

Di dalam pertukaran mata wang asing, tempoh T+2 diperlukan kerana ianya melalui proses tertentu yang melibatkan tempoh masa bekerja yang berbeza antara negara, perpindahan wang elektronik, clearing house dan lain-lain lagi. Proses-proses yang disebutkan ini tidak terdapat di dalam perniagaan jual beli emas fizikal. Maka adalah tidak tepat untuk membuat qiyas ke atas proses pertukaran matawang asing.

Namun secara praktikal, pihak penjual akan menyerahkan emas selepas amaun bayaran yang dibuat melalui cek dan sebagainya dikreditkan ke dalam akaunnya. Proses ini biasanya akan mengambil masa tiga hari bekerja. Di dalam menangani tempoh antara penyerahan cek dan penerimaan emas, maka pihak penjual dan pembeli bolehlah mengambil pakai aturan berikut:

Pihak pembeli akan hanya membuat pesanan (order) kepada penjual dengan dinyatakan jenis dan berat emas yang ingin dibelinya. Pesanan ini akan disertai dengan pengiriman wang ke akaun penjual. Pada tahap ini, perkara berikut perlu diberi perhatian:

i. Pada peringkat ini, akad jual beli emas masih belum berlaku.

ii. Wang yang berada di dalam akaun penjual masih lagi bukan milik penjual tersebut. Ianya masih milik pembeli dan disimpan sebagai amanah oleh penjual. Di dalam hal ini, adalah lebih baik jika satu akaun khas yang bersifat amanah (trust account) dibuka oleh penjual.

iii. Emas masih lagi kekal menjadi milik penjual dan ia bertanggungjawab penuh ke atas emas milikannya itu.

iv. Di dalam peringkat ini, pembeli masih boleh membatalkan pesanan yang dibuat dan penjual hendaklah memulangkan wang kepada pembeli. Namun, jika berlaku kerugian sebenar disebabkan pembatalan tersebut, bolehlah dibuat syarat bahawa ia perlu ditanggung oleh pembeli. Contohnya, pembeli membuat pesanan 100gm emas 999 dengan harga RM20,000. Ketika ini, pihak penjual telah menyimpan emas tersebut dan tidak menjualkannya kepada pihak lain yang telah bersedia untuk membelinya. Selepas tiga hari, apabila penjual bersedia untuk membuat akad jual beli dan seterusnya menyerahkan emas tersebut kepada pembeli, pembeli membatalkan pesanannya. Pada hari tersebut harga emas telah jatuh kepada RM19,000. Dengan kata lain, penjual akan kerugian RM1,000 jika menjualnya kepada pihak lain. Di dalam hal ini, kerugian sebenar adalah sebanyak RM1000.

Apabila wang pesanan sudah diberi clearance oleh bank, maka akad jual beli perlu dilakukan. Wang di dalam trust account (jika ada) bolehlah dipindahkan ke akaun penjual dan emas hendaklah diserahkan kepada pembeli.

Akad Dan Unsur Sampingan

18. Penglibatan hibah dalam transaksi jual beli samada hibah dalam bentuk barangan ataupun wang tunai adalah dibenarkan jika mencukupi syarat-syarat hibah, dan tidak melibatkan unsur-unsur yang bercanggah dengan syarak. Perlu diberi perhatian bahawa hibah secara hakikatnya adalah akad sukarela dan ia bukanlah di dalam bentuk lazim. Dengan kata lain, jika janji hibah ini tidak ditunaikan oleh penjual, maka pembeli tidak boleh memaksanya memberi hibah tersebut.

19. Penglibatan wadiah dalam pelan pelaburan emas hendaklah menepati hukum hakam wadiah, yang antara lain ialah pegangan wadiah adalah berasaskan kepada Yad Amanah.

20. Seseorang yang membeli emas bebas mengendalikan (tasarruf) emasnya, termasuklah memberi pinjaman (qardh) kepada orang lain. Tetapi hendaklah memenuhi kriteria qardh yang dibenarkan syarak, yang antara lain tidak boleh membawa unsur faedah, tidak wujud unsur ”salaf wa bay” iaitu hutang yang diikat bersama dengan jual beli.

21. Seseorang yang membeli emas bebas mengendalikan (tasarruf) emasnya termasuk menjadikannya sebagai pajakan untuk wang secara hutang, selagi konsep al-Rahn yang digunakan adalah bertepatan dengan hukum syarak. Namun secara teorinya, perkara ini seharusnya tidak digalakkan kerana secara tidak langsung ia menggalakkan aktiviti berhutang di dalam keadaan yang tidak perlu.

22. Wa’d boleh dimasukkan dalam pelaburan emas, selagi mana ia adalah wa’d dari sebelah pihak dan bukannya muwa’adah dari kedua-dua belah pihak. Contoh aplikasi wa’d dalam konteks ini ialah membuat purchase order, iaitu pelanggan membuat perjanjian untuk membeli emas dengan harga tertentu. Perjanjian pembelian ini dinamakan ’kunci harga’. Sekiranya proses kunci harga adalah menyamai proses akad jual beli, ia tidak dibenarkan kerana akan berlaku penangguhan.

23. Transaksi jual beli hendaklah bebas daripada unsur-unsur riba, perjudian, gharar yang berlebihan, dan kezaliman. Jika sekiranya terdapat unsur-unsur tersebut, transaksi jual beli adalah dikira tidak memenuhi kriteria syarak.

Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/parameter-pelaburan-emas

Tuesday, 15 March 2011

Sentuh Bukan Muslim Tidak Batal Wudhu'

Perkara yang membatalkan wudhu' ada 4 perkara, iaitu:

  1. Keluar sesuatu dari dua lubang (qubul dan dubur) iaitu kencing, berak, angin (kentut), mani, mazi dan wadi.
  2. Bersentuhan dengan perempuan atau sebaliknya yang bukan muhrim.
  3. Hilang akal, termasuk pengsan, mabuk, pitam gila atau tidur dengan tidak tetap papan punggung.
  4. Menyentuh kemaluan (qubul dan dubur) dengan tapak tangan atau perut jari tanpa berlapik sama ada kemaluan sendiri atau orang lain.
Mungkin ramai yang menganggap bahawa orang kafir itu fizikalnya najis sehingga boleh membatalkan wudhu', Allah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ

"wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (jiwa) orang-orang musyrik itu najis" - (surah al-Taubah: 28).

Dari segi hukum menyentuh najis tidaklah membatalkan wudhu' sama ada najis itu mukhaffafah, mughalazhoh atau mutawassithoh. Hanya perlu membersihkan tempat terkena najis itu sahaja dan terus boleh melakukan ibadah solat dan sebagainya.

Syiekh Ibn Utsaimin r.a. menyatakan bahawa "orang kafir adalah najis" dengan bermaksud najis ma'nawi. Dikatakan najis kerana aqidah mereka tidak sahih. Mereka hanya akan menjadi "suci" apabila memeluk agama Islam.

Maka, hukum bersentuhan dengan orang kafir dan orang Islam sama sahaja hukumnya. Jika di dalam Mazhab Syafie batal wudhu' bersentuhan di antara lelaki dan wanita tidaklah dikira sama ada kafir atau Islam, hukumnya tetap batal. Begitu juga dengan mazhab yang mengatakan tidak batal bersentuhan di antara lelaki dan wanita maka tidak kiralah sama ada kafir ataupun Islam salah satu wudhu'nya tidak terbatal.

Wallahu a'lam!

Thursday, 2 September 2010

Hari Raya ‘Idul Fitri


Simbol Hari raya
Simbol terkenal bagi perayaan Hari Raya di Malaysia ialah ketupat. Ketupat adalah juadah istimewa yang masih dihidangkan pada hari ini. Ketupat adalah nasi yang dikukus di dalam anyaman daun kelapa atau daun palas dan selalunya dihidangkan bersama dengan rendang. Juadah-juadah yang lain termasuklah lemang, lontong, dodol, dan kuih raya
Persiapan
Di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri disambut dengan meriah. Berminggu-minggu sebelum perayaan tersebut menjelma, suasana persiapan menjelang Aidilfitri telah dirasai. Pusat-pusat membeli-belah akan mengadakan jualan murah dan dihiasi dengan perhiasan secara besar-besaran. Lagu-lagu raya juga akan diputarkan di radio dan di televisyen. Rancangan-rancangan yang berkisarkan Aidilfitri akan ditayangkan. Bank, sekolah, dan premis-premis perniagaan akan ditutup selama beberapa hari sehingga seminggu sempena Aidilfitri.
Di jalan raya utama dan lebuh raya di seluruh negara, kesesakan akan berlaku akibat kebanjiran warga bandar yang pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri bersama-sama sanak saudara dan kaum keluarga. Fenomena ini juga dikenali sebagai Balik Kampung.
Amalan Lazim
Antara amalan yang dilakukan pada Hari Raya Aidilfitri ialah amalan berziarah. Amalan ini adalah bertepatan dengan suruhan agama Islam itu sendiri. Pada pagi Hari Raya, umat Islam yang telah kehilangan saudara-mara akan mengunjungi pusara mereka dan menghadiahkan Surah Al-Fatihah atau bacaan surah Yaasin. Kemudian mereka akan berkunjung ke rumah sanak saudara dan rakan taulan. Mereka akan bermaaf-maafan dan melupakan kesilapan yang lampau. Pada asasnya, Hari Raya adalah hari untuk bergembira, bermaaf-maafan, dan hari untuk mengeratkan tali persaudaraan di kalangan umat Islam di samping meraikan kejayaan beribadah kepada Allah.
Amalan memberi wang kepada kanak-kanak juga amat popular pada Hari Raya. Duit raya selalunya diberikan oleh orang dewasa kepada kanak-kanak melalui sampul duit yang selalunya berwarna hijau dan kuning. Sampul duit raya diadaptasi daripada amalan orang Cina yang memberi sampul merah berisi wang ataupun "Ang Pau". Pada Hari Raya, sampul selalunya berwarna selain daripada warna merah, iaitu hijau atau kuning. Terdapat pelbagai saiz sampul yang dikeluarkan oleh bank-bank dan syarikat-syarikat perniagaan, antaranya saiz yang bersesuaian dengan saiz wang kertas polimer RM 5.
Pada malam Tujuh Likur, pelita atau lampu minyak tanah akan dinyalakan terutamanya di kampung-kampung. Kadangkala pelita akan digantikan dengan penggunaan lampu elektrik kerana ia lebih bersih dan praktikal, namun keaslian sambutan Hari Raya selalunya akan berkurang dengan penggunaan ini.
Rumah-rumah terbuka akan diadakan pada Hari Raya itu sendiri ataupun sepanjang bulan Syawal. Kemeriahan Hari Raya Aidilfitri selalunya akan berpanjangan sehingga sebulan, dan kemeriahan itu akan hilang dengan sendirinya apabila semua orang pulang ke bandar setelah cuti tamat.
Pakaian
Baju Melayu adalah pakaian tradisi kaum Melayu yang dipakai oleh kaum lelaki di Malaysia pada Hari Raya. Pakaian ini dilengkapi dengan songkok dan lilitan songket di bahagian pinggang. Pakaian yang menjadi kebiasaan kaum wanita pula ialah Baju kurung dan Baju kebaya. Setiap tahun pelbagai fesyen diperkenalkan bagi mempelbagaikan rekaan baju-baju tradisi ini. Pada tahun 2005, pemakaian batik, songket, dan baju kebaya nyonya semakin meningkat hasil promosi dan komersialisasi
Pendahuluan
AIDILFITRI adalah hari raya khusus untuk orang yang bertakwa selepas sebulan berpuasa. Hal ini menunjukkan hubungan dengan Allah semakin dekat dan kesan puasa seperti kesucian dan kematangan jiwa, kekuatan mental, ketinggian moral dan akhlak dapat dikembangkan dalam kehidupan masyarakat.

Aidilfitri juga hari perayaan iman. Bagi setiap orang yang benar-benar memahami serta menghayati Islam akan menginsafi dan merasai bahawa betapa gembiranya mereka pada hari ini.

Allah menetapkan Aidilfitri sebagai hari kegembiraan dan kemenangan bagi orang beriman. Kita perlu merasakan hakikat nikmat Allah yang lengkap dan sempurna ketika menyambut hari lebaran ini.

Betapa agungnya Aidilfitri jelas dilihat apabila Rasulullah saw melarang umatnya (haram) daripada berpuasa pada hari itu.
Rasulullah menyarankan agar umat Islam menyambut hari raya ini dengan banyak memuji kebesaran Allah. Nabi Muhammad bersabda bermaksud: “Hiasilah hari raya (Aildilfitri dan Aldiladha) kamu dengan takbir, tahlil, tahmid dan taqdis (mengingati dan mengagungkan Allah)." (Hadis riwayat al-Thabrani).

Laungan takbir yang berkumandang di seluruh pelusuk tanah air, pasti menyejukkan jiwa. Ia akan kembali menenangkan fikiran, melapangkan hati untuk bermaafan, menjalin dan mengukuhkan ikatan persaudaraan yang lama terjalin sesama umat Islam.
Takrif
Pengertian 'Idul Fitri (Kembali kepada Fitrah)
Kalimah 'Id (Bukan Aid) ialah kalimah bahasa Arab yang bermaksud perayaan atau hari ulang tahun.
Fitri pula bermakna berbuka atau makan minum. Maksudnya, pada Hari Raya (tanggal 1 Syawal) umat islam dikehendaki berbuka dan haram berpuasa.
Pengertian Fitri
Fitri juga bermaksud tabiat semual jadi. Maksudnya orang-orang Islam setelah menjalani ibadah puasa selama sebulan disertai dengan ibadah-ibadah lainnya seperti solat Tarawih pada malam-malam Ramdhan, bertadarus al-Quran, Quyamullai, Zikrullah dan berdoa, bersedekah dan sebagainya. Amalan-amalan ini telah meleburkan dan membersihkan segala dosa sehingga keadaan diri mereka seolah-olah kembali seperti bayi yang baru dilahirkan.
Dengan penjelasan tadi maka kita dapat mengambil kesimpulan bahawa 'Idil Fitri adalah hari kemenangan bagi umat Islam yang telah berjaya menundukkan nafsu ammarah sepanjang bulan Ramadhan. Apabila muncul anak bukan Syawal, diri mereka telah bersih daripada dosa dan mereka septutnya benar-benar menjadi orang yang takwa.
Sejarah Idil Fitri
1 Syawal bagi bangsa arab zaman Purba adalah pesta yang diraikan dengan aneka ragam permainan malah berlanjutan hingga permulaan hijrah Rasul saw.
Mafhum Hadis saw
Rasulullah SAW bersama Saidatina Aishah ra menyaksikan tarian perang yang dilakukan oleh Bani Arfidah dihalaman Masjid Nabawi pada bulan Syawal (budaya menyambut hari Raya bangsa arab). (Riwayat Bakhari)
Mafhum Hadis Saw
Di hari lain di rumah Nabi saw Saidatina Aishah dan hamba wanita menyanyi di hari raya sehingga Saidina Abu Bakar melarang Aishah dan memanggilnya seruling Syaitan disisi Nabi saw. (Riwayat Bakhari)
Adab-adab Hari raya Idil Fitri
Pakaian Pada saat mendirikan shalat kedua hari raya disunnahkan memakai pakaian yang paling bagus. (berwarna warni)
Sabda Rasul SAW
Diriwayatkan dari Ibnu Umar ra. ia berkata : Umar mendapati pakaian tebal dari sutera yang dijual, lalu beliau mengambilnya dan membawa kepada Rasulullah saw. lalu berkata : Yaa Rasulullah belilah pakaian ini dan berhiaslah dengannya untuk hari raya dan untuk menerima utusan sebagimana yang engkau nyatakan. Maka beliaupun menjawab : Sesungguhnya pakaian ini adalah bahagian orang-orang yang berpuasa dengan penuh keimanan. (HR Bukhary dan Muslim)
Sunat Dilakukan Di Aidil Fitri
  • Membersihkan diri seperti memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan sebagainya (sesuai dibuat pada sehari sebelum Syawal).
  • Mandi sunat hari raya.
  • Memakai minyak wangi.
Bertasbih/Tahmid/Takbir Dan Bertahlil
(DiHari Raya)
Diriwayatkan dari Azzuhri, ia berkata : Adalah manusia (para sahabat) bertakbir pada hari raya ketika mereka keluar dari rumah-rumah mereka menuju tempat shalat 'ied sampai mereka tiba di mushalla (tempat shalat 'ied) dan terus bertakbir sampai imam datang, apabila imam telah datang, mereka diam dan apabila imam ber takbir maka merekapun ikut bertakbir. (HR Ibnu Abi Syaibah)
Mendengungkan takbir
Pada hari raya aidil fitri, takbir didengungkan sejak keluar dari rumah menuju ke tempat shalat dan sesampainya di tempat shalat terus dilanjutkan takbir didengungkan sampai shalat dimulai. (Takbir Mutlak)
Pada hari raya aidil adhha, takbir boleh didengungkan sejak Shubuh hari Arafah (9 Dzul Hijjah) hingga akhir hari tasyriq (13 Dzul Hijjah).(Takbir Muqayyad)
Sebelum berangkat ke tempat solat
Makan
Sebelum berangkat shalat hari raya fitri disunnahkan makan terlebih dahulu, jika terdapat beberapa butir kurma , jika tidak ada maka makan apa saja.
Sebaliknya pada hari raya aidil adhha, disunnahkan tidak makan terlebih dahulu sampai selesai shalat aidil adhha.
Dalil Hadis SAW
(Makan Sebelum Pergi Ke tempat Solat)
Diriwayatkan dari Anas bin Malik ra. ia berkata : Adalah Nabi saw. tidak berangkat menuju mushalla kecuali beliau memakan beberapa biji kurma, dan beliau memakannya dalam jumlah bilangan ganjil. (HR Al-Bukhary dan Muslim)
Diriwayatkan dari Buraidah ra. ia berkata : Adalah Nabi saw keluar untuk shalat aidil fitri sehingga makan terlebih dahulu dan tidak makan pada shalat aidil adhha sehingga beliau kembali dari shalat 'ied. (HR Ibnu Majah, At-Tirmidzi dan Ahmad)
Berkhutbah
Diriwayatkan dari Abu Said, ia berkata : Adalah Nabi saw pada hari raya aidil fitri dan aidil adhha keluar ke mushalla (padang untuk shalat), maka pertama yang beliau kerjakan adalah shalat. Kemudian setelah selesai beliau berdiri menghadap kepada manusia sedang manusia masih duduk tertib pada shof mereka, lalu beliau memberi nasihat dan wasiat (khutbah ). Apabila beliau hendak mengutus tentara atau ingin memerintahkan sesuatu yang telah beliau putuskan,beliau perintahkan setelah selesai beliau pergi. (HR: Al-Bukhary dan Muslim)
Telah berkata Jaabir ra: Saya menyaksikan shalat 'ied bersama Nabi saw. Beliau memulai shalat sebelum khutbah tanpa adzan dan tanpa iqamah Setelah selesai beliau berdiri bertekan atas Bilal, lalu memerintahkan manusia supaya bertaqwa kepada Allah, mendorong mereka untuk taat, menasihati manusia dan memperingatkan mereka. Setelah selesai beliau turun mendatangai shaf wanita dan selanjutnya beliau memperingatkan mereka. (HR Muslim)
Perintah wanita uzur hadir ke tempat solat
Diriwayatkan dari Ummu 'Atiyah ra. ia berkata : Rasulullah saw. memerintahkan kami keluar pada aidil fitri dan aidil adhha semua gadis-gadis, wanita wanita yang haidh, wanita-wanita yang tinggal dalam kamarnya. Adapun wanita yang sedang haidh mengasingkan diri dari mushalla (tempat shalat 'ied), mereka meyaksikan kebaikan dan mendengarkan da'wah kaum muslimin (mendengarkan khutbah). Saya berkata: Yaa Rasulullah bagaimana dengan kami yang tidak mempunyai jilbab? Beliau bersabda : Supaya saudaranya meminjamkan kepadanya dari jilbabnya. (H.R : Jama'ah)
Diriwayatkan dari Ibnu Abbas ra. ia berkata : Bahwasanya Nabi saw. keluar untuk shalat aidil fitri dua raka'at, tidak shalat sunah sebelumnya dan tidak pula sesudahnya. (HR Bukhary dan Muslim)
Diriwayatkan dari Jaabir ra. ia berkata : Adalah Nabi saw apabila keluar untuk shalatb 'ied ke mushalla, beliau menyelisihkan jalan (yakni waktu berangkat melalui satu jalan dan waktu kembali melalui jalan yang lain). (HR : Bukhary)
Diriwayatkan dari Amru bin Syu'aib, dari ayahnya, dari neneknya, ia berkata: Sesungguhnya Nabi saw. bertakbir pada shalat 'ied dua belas kali takbir. dalam raka'at pertama tujuh kali takbir dan pada raka'at yang kedua lima kali takbir dan tidak shalat sunnah sebelumnya dan juga sesudahnya. (HR Amad dan Ibnu Majah)
Diriwayatkan dari Samuroh, ia berkata : Adalah Nabi saw. dalam shalat kedua hari raya beliau membaca: Sabihisma Rabbikal A'la dan hal ataka haditsul ghosiah. (HR Ahmad)
Diriwayatkan dari Abu Waqid Allaitsi, ia berkata : Umar bin Khaththab telah menanyakan kepadaku tentang apa yang dibaca oleh Nabi saw. waktu shalat 'ied. Aku menjawab : beliau membaca surat (Iqtarabatissa'ah) dan (Qaaf walqur'anul majid). (HR Muslim)
Diriwayatkan dari Zaid bin Arqom ra. ia berkata : Nabi saw. mendirikan shalat 'ied, kemudian beliau memberikan ruhkshah / kemudahan dalam menunaikan shalat jum'at, kemudian beliau bersabda : Barang siapa yang mahu shalat jum'ah, maka kerjakanlah. (HR Imam yang lima (Ahli Hadist) kecuali At-Tirmidzi)
Diriwayatkan dari Abu Hurairah ra. bahwasanya Nabi saw. bersabda pada hari kamu ini, telah berkumpul dua hari raya (hari jum'ah dan hari raya), maka barang siapa yang suka shalat jum'ah, maka shalatnya diberi pahala sedang kami akan melaksanakan shalat jum'ah. (H.R : Abu Daud)

Thursday, 3 December 2009

Hukum agih daging korban kepada bukan Muslim

ISU yang sering ditimbulkan dalam ibadat korban ialah amalan korban dalam masyarakat berbilang atau silang agama. Dalam konteks masyarakat silang agama, yang penting ialah usaha meletakkan Islam di tempat dapat dilihat oleh semua pihak sebagai satu sistem yang mampu memesrakan hubungan dalam kehidupan seharian.

Melihat amalan ibadat korban di Malaysia, pendapat yang menjadi pegangan majoriti umat Islam di negara ini ialah daging korban tidak boleh diberi makan kepada orang bukan Islam. Pada peringkat sebelum berlaku interaksi sangat rapat antara orang Islam dan bukan Islam di Malaysia, pegangan seperti itu memang tidak menimbulkan apa-apa isu.

Namun, sejak akhir-akhir ini, selepas hubungan silang agama semakin rapat dan akrab, ziarah menziarahi kerap berlaku, saling menjemput ke majlis jamuan dan kenduri kendara sudah menjadi kebiasaan.


Malah, seorang Islam atau bukan Islam mungkin berasa janggal jika tidak menjemput rakan bukan Islam ke majlis yang diadakan, terutama jiran satu taman dan rakan setempat kerja. Budaya dan interaksi seperti ini mungkin menimbulkan isu.

Keadaan lebih ketara pada ibadat aqiqah yang pada kebiasaannya dilakukan di rumah. Majoriti orang Islam di Malaysia berpendapat daging aqiqah haram diberi makan kepada orang bukan Islam. Seorang Muslim akan berasa serba salah, jika tidak menjemput jiran bukan Islam sebelah rumah.

Dianggap kurang manis jika tidak memberikan daging korban kepada jiran. sebaliknya, berasa bersalah kerana sudah melanggar hukum syarak yang mengharamkan daging aqiqah dan korban diberi makan kepada bukan Islam
.

Jiran bukan Islam juga akan tidak selesa berada di rumah dalam keadaan dia tidak dijemput. Biasanya mereka akan sengaja membuat helah untuk tidak berada di rumah pada masa majlis diadakan.


Keadaan seperti ini sebenarnya menimbulkan satu tanggapan bahawa Islam tidak mesra jiran. Apakah tidak ada cara bagi umat Islam mengatasi masalah ini. Apakah tidak ada pendapat lain, selain pendapat yang mengatakan daging korban dan aqiqah haram diberi makan kepada bukan Islam?

Pendapat umum dan amalan orang Islam di Malaysia mengatakan daging korban tidak boleh diberi makan kepada bukan Islam. Namun, kita boleh merujuk kepada pendapat dikemukakan ulama mazhab lain dalam isu ini. Kita dapat mengesan pelbagai pendapat dengan hujah masing-masing. Melalui pendapat itu umat Islam mungkin dapat menemui jalan keluar daripada isu ini.

Penulis Kitab Kasyf al-Qina menyatakan mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban kepada orang Yahudi dan Nasara. Mazhab Hambali pula mengharuskan memberi hadiah daging korban sunat kepada bukan Islam, tidak harus menghadiahkan daging korban wajib kepada mereka.


Dalam al-Bajrimi dinyatakan tidak harus memberi makan daging korban kepada bukan Islam. Dinyatakan juga dalam Kitab al-Majmu` disebutkan harus memberi makan daging korban sunat kepada fakir miskin ahli zimmah, tidak harus memberi mereka makan daging korban wajib.

Al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, disebutkan bahawa Ibn al-Munzir menyatakan ulama sepakat daging korban boleh diberi makan kepada fakir miskin Islam, namun mereka khilaf mengenai memberi makan daging korban kepada fakir miskin kafir ahli zimmah.

Imam Hasan al-Basri memberi keringanan mereka memakannya. Abu Thur juga berpendapat demikian. Disebutkan juga Imam Malik lebih suka ia diberi makan kepada selain fakir miskin bukan Islam. Al-Lith menganggapnya makruh, namun berpendapat jika dimasak harus diberi makan kepada mereka berserta fakir miskin Islam.

Ibnai Qudamah dalam al-Mughni wa al-Syarh al-Kabir dan al-Syarbini dalam al-Iqna' menyebutkan mazhab Maliki berpendapat makruh menghadiahkan dan memberi makan daging korban kepada orang Yahudi dan Nasrani.

Mazhab Hambali, al-Hasan, Abu Thur, berpendapat harus memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam, kafir zimmi daging korban sunat, tetapi daging korban wajib, seperti korban nazar tidak harus.

Hukumnya sama dengan hukum zakat dan kifarat sumpah. Mazhab Syafie pula berpendapat tidak boleh memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam daging korban sunat atau wajib.

Ibh Hazmin dari Mazhab Zahiriyah dalam kitabnya al-Muhalla menyatakan tuan punya korban boleh memberi makan kepada orang kaya dan orang bukan Islam atau dia menghadiahkan sedikit daripadanya.

Berdasarkan pendapat itu, kesimpulan yang boleh dibuat:

Mazhab Syafie berpendapat haram memberi makan daging korban sunat atau wajib kepada bukan Islam.

Mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban sunat kepada bukan Islam dan tidak harus (haram) memberi mereka makan daging korban wajib, seperti korban yang dinazarkan, sama seperti hukum zakat.

Mazhab Hambali berpendapat harus menghadiahkan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan haram menghadiahkan kepada mereka daging korban wajib.

Semua ulama mazhab sepakat (ijma') memberi atau memberi makan daging korban atau aqiqah wajib kepada bukan Islam adalah haram.

Ini bererti hanya ulama Mazhab Syafi`ie saja yang berpendapat daging korban sunat atau wajib tidak boleh (haram) diberi atau diberi makan kepada bukan Islam. Majoriti ulama lainnya berpendapat harus memberi mereka makan daging korban sunat, tidak harus jika korban wajib.

Dalam konteks Malaysia yang rakyatnya terdiri daripada penganut pelbagai agama, pendapat majoriti ulama yang mengharuskan orang bukan Islam diberi atau diberi makan daging korban sunat lebih baik diterima pakai.

Tujuannya adalah untuk menunjukkan kepada masyarakat bukan Islam bahawa Islam memang ada sistem yang mesra bukan Islam dan dapat memelihara perhubungan silang agama.

Di samping itu, menerima pakai pendapat majoriti dapat memberi ketenangan kepada orang Islam sendiri, kerana mereka tidak berasa bersalah untuk menjemput jiran kalangan bukan Islam menghadiri majlis kenduri mereka.

Prof. Madya Alias Othman

Penasihat Syariah JIM

Sumber: www.bharian.com.my

Friday, 21 August 2009

Ramadhan Karim, Wallahu Akram!

Ahlan wa sahlan ya Ramadhan!

Pengertian Ramadhan dari segi lughah adalah panas yang terik. Dari sudut istilah pula Ramadhan bermaksud panas yang membakar segala dosa-dosa dari diri manusia seperti api yang panas boleh menghilangkan karat dari besi. Begitulah Ramadhan, bulan puasa, bulan pengampunan, bulan pesta ibadah, bulan sedekah, bulan tarbiyyah jiwa, bulan yang diturunkan al-Quran, padanya ada suatu malam yang menyamai seribu bulan.

Puasa ialah ibadah dengan menahan diri daripada makan, minum dan bersetubuh mulai dari terbit fajar sehingga terbenam matahari dengan niat kerana Allah Taala. Begitu juga hendaklah menahan diri daripada perkataan sia-sia, perkataan yang menimbulkan syahwat, perkataan yang diharamkan dan dimakruhkan menurut syarat-syrat yang telah ditentukan.

Wajib ke atas individu muslim berpuasa dalam bulan ini dengan sabit dengan Ayat al-Quran dan hadis. Allah berfirman:
Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa". -Al-Baqarah: 183.
Rasulullah s.a.w. bersabda:
Islam itu didirikan atas lima; persaksian bahawa tiada Tuhan kecuali Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, haji dan puasa pada bulan Ramadhan".
Puasa diwajibkan ke atas muslim yang telah akil baligh, sesiapa tidak berpuasa hukumnya haram, sesiapa yang mengingkari serta menafikan kewajipannya hukumnya kafir. Sesiapa yang tidak berpuasa secara sengaja maka wajib qadha serta kifarat. Sesiapa yang tidak berpuasa dengan sebab uzur maka wajib qadha tanpa kifarat.

Siapa Yang Wajib Berpuasa?
  1. Orang Islam.
  2. Mukallaf ('akil Baligh). Tidak wajib ke atas orang yang tidak berakal (gila atau pengsan). Begitu juga tidak wajib ke atas kanak-kanak yang belum 'akil baligh.
  3. Orang yang suci dari darah haid dan nifas.
  4. Orang yang bermukim (menetap). Tidak wajib ke atas orang yang bermusafir.
  5. Berkuasa (orang yang lemah dan sakit tidak diwajibkan)
Sah puasa sekiranya dilakukan oleh:
  1. Muslim (orang kafir tidak sah).
  2. Orang yang suci dari haid dan nifas.
  3. Mumayyiz (dapat membezakan antara yang baik dengan yang buruk).
  4. Berpuasa pada waktunya.
Batal puasa sekiranya:
  1. Berniat berbuka puasa.
  2. Makan, minum dan bersetubuh siang hari dengan sengaja.
  3. Memasukkan sesuatu ke dalam lubang rongga seperti hidung, telinga dan mulut walaupun tidak mengenyangkan.
  4. Muntah dengan sengaja.
  5. Melihat bulan syawal.
  6. Keluar haid bagi kaum wanita.
  7. Mengeluarkan mani dengan sengaja pada siang hari.
  8. Bersalin.
  9. Hilang akal sebab gila atau mabuk pada siang hari.
  10. Murtad.
Sunat dilakukan semasa puasa;
  1. Menyegerakan berbuka. Berbukalah dengan kurma (tamar) atau sesuatu yang manis.
  2. Melambatkan makan sahur.
  3. Menjauhi perkara-perkara yang kotor.
  4. Mengerjakan solat terawih pada tiap-tiap malam bulan Ramadhan.
  5. berdoa dan berzikir pada setiap malam sesudah sembahyang witir.
  6. Tadarrus (membaca) al-Quran pada sepanjang bulan Ramadhan.
  7. Memperbanyakkan sedekah.
  8. Ketika berbuka puasa hendaklah berdoa; Ertinya: Ya Allah, untuk Engkaulah puasaku dan dengan Engkaulah aku beriman dan atas adanya rezeki Engkaulah aku berbuka disertai dengan rahmat Engkau wahai Yang Maha Pengasih.
  9. Membaca qunut pada rakaat terakhir sembahyang witir mulai malam ke 15 Ramadhan hingga akhir bulan ramadhan.
Makruh dilakukan semasa puasa;
  1. Berkumur-kumur dan menggosok gigi setelah gelincir matahari.
  2. Memasukkan air ke dalam hidung secara berlebihan.
  3. Mengeluarkan kata-kata kotor dan sia-sia.
  4. Memandang dan mencium bunga atau bau-bauan.
  5. Berbekam jika berbekam itu melemahkan badan.
  6. Merasa makanan dengan lidah.
  7. Mengunyah benda keras yang tidak boleh hancur seperti getah dan sebagainya.
Adab-Adab ketika berpuasa;
  1. menjauhi diri daripada mengumpat, mencela, mencaci, maki-hamun dan perkara-perkara kotor.
  2. Menjauhi diri dari segala perkara yang membatalkan puasa.
  3. Mengurangkan makan dan minum ketika berbuka dan makan sahur.
  4. Mengurangkan tidur terutama pada siang hari.
  5. Manahan hati daripada memikirkan keinginan-keinginan yang hina dan kotor.
  6. Hendaklah selalu mengingatkan bencana pada hari Akhirat.
  7. Menanam rasa penuh harapan terhadap segala amal ibadat kita semoga dibalasi Allah dengan balasan yang setimpal.
Yang dibolehkan ketika berpuasa;
  1. Menyelam dan membasahkan kepala asalkan air tidak masuk ke dalam perut.
  2. Bercelak dan menitiskan ubat ke dalam mata.
  3. Mencium, memegang tangan atau memeluk isteri bagi orang yang kuasa menahan dan mengawal nafsu syahwatnya.
  4. Suntikan dibolehkan. Sekiranya orang yang disuntik itu sakit maka boleh tidak puasa (buka puasa) dan wajib qhada.
  5. Memasuki subuh dalam keadaan berjunub.
  6. Perempuan yang berhenti haid dan nifas pada malam hari bulan puasa, boleh melambatkan mandi sehingga subuh.
Hikmah ibadah puasa;
  1. Melahirkan perasaan ingin tolong-menolong, kasih sayang terhadap fakir miskin, anak-anak yatim dan orang yang melarat hidupnya serta menginsafi akan kesusahan mereka itu yang pernah menderita kelaparan berhari-hari lamanya.
  2. Melatih sifat sabar, kuat dan mempunyai daya tahan untuk menghadapi segala kesusahan dan cabaran.
  3. Melatih sifat amanah.
  4. Menyihatkan badan.
  5. Melatih disiplin.
  6. Sebagai tanda syukur dan terima kasih kepada Allah kerana memberi nikmat yang tidak terhingga.
  7. Menguatkan iman kepada Allah, kerana Dialah kita berpuasa dan dapat menahan diri dari nafsu.
  8. Mendidik jiwa mentaati Suruhan Allah.
  9. Orang yang ikhlas berpuasa dan betul-betul mengharapkan keredhaan Allah akan diampunkan dosa-dosa yang telah lalu.
  10. Meningkatkan keikhlasan.
  11. Melatih menjadi muqarrabin iaitu orang yang dapat menahan diri dari keinginan nafsu keduniaan.
  12. Menginsafkan diri sebagai hamba yang lemah di sisi Allah.
  13. Menjaga diri dari jatuh ke jurang dosa dan maksiat.
  14. Memperkuat fikiran dan daya penglihatan mata hati (basirah).

Hari-Hari Yang Dilarang Berpuasa

  1. Hari Raya Aidilfitri (1 Syawal)
  2. Hari Raya Aidil Adha (10 Zulhijjah)
  3. Hari Tasyriq, iaitu 11, 12, 13 harubulan Zulhijjah
  4. Hari Syak (hari yang diragui antara 30 haribulan Sya'ban atau sudah masuk 1 haribulan Ramadhan
Hari-Hari Yang Makruh Berpuasa
  1. Berpuasa pada hari Jumaat sahaja tanpa berturut-turun dengan hari sebelum atau selepas Jumaat. Tidak makruh sekiranya berturut-turut atau berselang-seli seperti sunnah Nabi Daut a.s. yang kebetulan jatuh pada hari Jumaat.
  2. Berpuasa pada hari Sabtu sahaja tanpa berturut-turun dengan hari sebelum atau selepas Sabtu. Tidak makruh sekiranya berturut-turut atau berselang-seli seperti sunnah Nabi Daut a.s. yang kebetulan jatuh pada hari Sabtu.
  3. Berpuasa terus menerus sepanjang tahun.
Keutamaan Tadarus Al-Quran Di Bulan Ramadhan
  1. Tiap-tiap satu huruf al-Quran yang dibaca dalam bulan Ramdhan itu diberi satu kebajikan oleh Allah.
  2. Membaca al-Quran dalam bulan Ramadhan bererti memohon kebajikan, kerahmatan dan keampunan daripada Allah.
  3. Puasa dan al-Quran itu memberi syafaat kepada orang yang berpuasa dan orang yang bertadarrus al-Quran pada bulan Ramadhan.
Wallahu A'lam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...