Seseorang berkata; “mak aku dulu selalu pesan, jangan tinggal solat, buatlah perkara baik dan sentiasa menjaga adab”.
Seseorang yang lain pula berkata; “a’aa… betul la… mak saya pun ada pesan, hati-hati dalam pergaulan. Jangan berkawan dengan orang tak tentu arah”.
Ada juga yang berkata; “disebabkan oleh pesan-pesanan mak dan ayah lah saya menjadi orang berguna”.
Tanpa kita sedari, pesanan-pesanan yang baik daripada orang tua yang kita sayangi serta hormati walaupun jauh di mata atau sudah tiada lagi di dunia ini telah menjadi suatu panduan, azimat dan prinsip hidup kita sehingga kita berjaya. Kita telah berjaya dari semua segi, kerjaya, keluarga dan bermasyarakat.
Dalam pada kita merasakan pesanan-pesanan daripada orang tua kita itu adalah panduan hidup yang boleh membawa kita kepada kejayaan dan keselesaan, jangan kita lupa bahawa pesanan yang datang itu adalah dari sumber Penghulu kita Nabi Muhammad s.a.w.. Dialah yang terlebih dahulu berpesan kepada sahabat-sahabatnya dan pesanan itu diturun-temurun sehingga kepada kita dengan melalui pelbagai bentuk; pendidikan, pembacaan, pengkisahan dan sebagainya.
Kadang-kadang kita merasa bangga kerana ibu dan bapa mendidik kita! Tidaklah salah kiranya merasa bangga dan membalas budi baik ibu bapa. Namun, apa yang lebih mustahak adalah kita mesti sedar bahawa Rasulullah s.a.w. telah mendidik kita. Bagindalah yang memberi pesan kepada kita sehingga katanya: “aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selamanya sekiranya kamu berpegang kepada kedua-duanya iaitu, KitabaLlah (al-Quran) dan Sunnahku”.
Kita akan sentiasa memperolehi suluhan cahaya hidayah dari Allah sekiranya kita masih mengamalkan apa yang terkandung dalam al-Quran dan apa yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w.. Bukan sahaja kita tidak sesat di dunia malah tidak akan sesat di akhirat.
Amalan atau ajaran yang lain selain dari ajaran Nabi Muhammad s.a.w. adalah ajaran yang tidak patut kita utamakan kerana semua itu akan menjerumuskan kita ke arah kesesatan. Penekanan harus diberikan kepada asas-asas Islam yang sejati. Bukan hanya wajib dan wajar pada pendidikan anak-anak yang masih kecil malah wajib menjadi agenda utama kepada mereka yang lebih dewasa.
Kalam suci al-Quran dan Hadis-hadis Nabi s.a.w. bukan hanya patut kita hormati dan sanjungi secara ritual, teknikal malah lebih patut kita menghormatinya secara praktikal. Mempraktikkan al-Quran dan hadis adalah lebih baik daripada hanya menyimpannya di tempat-tempat yang tinggi. Ini kerana ajaran yang datang dari Nabi Muhammad s.a.w. itu bukan untuk dijadikan hiasan malah ianya patut disebarkan dalam pelbagai bentuk dan amalan.
Kesimpulan yang ingin saya sampaikan adalah, kita wajib menghormati ibu dan bapa. Berkhidmat kepada mereka kerana mereka mendidik dan mengajar kita ilmu-ilmu kehidupan. Mencurahkan segala pengalaman dengan penuh kasih sayang. Oleh sebab itu, kita juga adalah wajib menghormati, menyayangi dan berkhidmat kepada Rasulullah s.a.w. malah lebih dari itu. Ini kerana, dialah yang mendidik kita, mendidik ibu bapa kita, datuk nenek kita, mendidik seluruh kaum muslimin dari zaman kemunculan Islam sehingga kini. Dialah yang menyampaikan ajaran-ajaran suci dari Allah ‘Azza wa Jalla. Berkorban diri, harta dan tenaga untuk menyampaikan Islam. Baginda Rasulullah s.a.w. berkata: “tidak sempurna iman kamu sehingga aku dicintai lebih daripada keluarganya, hartanya dan manusia seluruhnya”.
Wallahu Ta'ala A'lam
No comments:
Post a Comment