Disebut di dalam al-Qur'an bahawa Allah s.w.t. Maha 'Alim seperti di dalam surah as-Sajdah, "...Dia Maha Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata...". Tidak ada sesuatupun yang terlepas dari pengetahuanNya.
Dia bukan sahaja Maha Alim, Dia juga mengajar ilmu-ilmu kepada manusia kerana manusia makhlukNya yang dapat menyerap ilmu sebagaimana yang berlaku kepada manusia pertama, Nabi Adam a.s.; "...allama Adam al-asma'...", Allah mengajar Nabi Adam nama-nama (pengetahuan).
Selain itu, Allah lah yang memberi pengetahuan kepada manusia dari awal hingga kini dan selamanya selagi dunia belum kiamat. Ilmu dari Allah datang kepada manusia dalam berbagai-bagai bentuk seperti wahyu yang diturunkan kepada nabi-nabi dari kalangan manusia supaya manusia itu sendiri boleh mengikuti ajaran merekan dengan senang.
Allah s.w.t. juga boleh memberi ilmu kepada manusia yang dikasihiNya berbentuk ilham, kemahiran dan sebagainya. Ilmu juga ada yang senang difahami dan ada juga yang perlu kepada pengamatan yang mendalam dalam usaha memahaminya.
manusia juga disuruh untuk meneliti, merenungi dan menghayati alam ciptaan Allah ini dalam usaha untuk mendapat ilmu. Kerana sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi ini ada tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t..
Islam mengajar supaya kita menuntut ilmu sebanyak mungkin. sebagai makhluk yang dapat menyerap ilmu, manusia tidak harus mensia-siakan keupayaan yang ada untuk menambah ilmu. Ilmu atau maklumat amat berguna untuk mengatur-uruskan dunia ini mengikut kehendak Allah s.w.t. dengan berkesan. Ilmu bukan sahaja penting dalam usaha manusia untuk memperolehi kedudukan yang baik di dunia malah juga amat penting untuk mendapatkan tempat yang baik di akhirat. Sesiapa yang tidak menguasai maklumat akan pasti ketinggalan.
Seharusnya usaha menyerap dan menguasai ilmu ini tidak harus terhenti pada fasa-fasa usia tertentu. Menuntut ilmu wajib dilakukan berterus-terusan sehingga ke saat nafas yang akhir. Sama ada ilmu syariah atau ilmu semasa kedua-duanya amat berguna untuk melalui perjalanan kehidupan ini juga berguna buat menjawab persoalan yang timbul dalam kecelaruan masyarakat.
Marilah kita sama-sama memartabatkan diri umat Islam dengan mendekatkan diri kita secara individu atau berkelompok dengan keilmuan yang terbentang luas di depan mata. Hanya mereka yang enggan dan merasa diri sudah cukup alim (angkuh) sahaja yang tidak mahu menyahut seruan ilmu yang amat dasar ini. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan ini. Wal 'iyazu biLlah...
No comments:
Post a Comment