SEDETIK rasa syukur kerana sempat hidup di tahun baru 2010. Tahun yang bakal mewarnai segala cabaran dan laluan baru kepada semua. Tahun yang akan mendekatkan diri dengan realiti kehidupan yang diazamkan oleh setiap insan.
Walaupun hanya sedetik cuma terlintas difikiran rasa syukur, sudah memadai jika dibandingkan dengan sambutan tahun baru yang entah ke mana hala tujunya. Entah dikira ibadah atau tidak. Entah dikira amal atau tidak. Entah dikira kebajikan atau tidak. Semuanya bergantung niat dan bentuk sambutan tahun baru masing-masing.
Bagi orang yang betul-betul insaf dan memahami Islam dan iman, mereka akan bersolat hajat. Solat yang benar-benar solat. Bukan solat kerana solat yang diprogramkan di masjid-masjid besar dan mendapat liputan antarabangsa. Bukan solat kerana diminta oleh orang besar untuk bersolat. Bukan Solat kerana lain selain dari Allah. Bahkan solat yang datang dari hati nurani jujur dan syukur.
Malangnya bagi mereka yang menyambut tahun baru dengan berpesta liar. Ini kerana kedatangan tahun baru bukan menjadi keharusan untuk melakukan pesta dengan ada pergaulan bebas dan minum arak. Bahkan tidak patut kita mencemarkan tahun baru dengan membazir membakar bunga api berlebihan dan berkonsert liar yang tidak mendatangkan faedah kepada kita semua. Semua itu hanyalah semata-mata kerana menurut hawa nafsu dan ajaran syaitan.
Marilah kita sama-sama melupuskan pesta tahun baru dan gantikan dengan rasa syukur walaupun hanya sedetik. Yang lebih penting juga adalah wajar kita memperbaharui azam-azam untuk terus berjaya dalam kehidupan sebagai pekerja, sebagai pelajar, sebagai anak, sebagai bapa, sebagai ibu, sebagai anggota masyarakat, sebagai Muslim dan sebagai hambaNya.
No comments:
Post a Comment