Tuesday 13 October 2009

Raya di Kampung

Pagi raya itu aku terjaga dari lena semalam yang agak memenatkan, mungkin kerana tidur agak lewat. Dengan segala kudrat dan semangat raya dikumpul untuk meraih wuduk lalu mendirikan solat subuh. Wirid dan doa agak ringkas dibacakan, kemudian aku terlena lagi untuk sedetik waktu. Mungkin masih sempat untuk rehat sebelum solat sunat aidilfitri bermula, fikirku.

Aku terjaga setelah tubuhku tiba-tiba digoncangkan oleh insan tersayang. Bisiknya, “bangunlah, solat sunat raya dah nak mula, pergi mandi, baju melayu sudah diiron, disangkut atas tu”.

Hari sudah siang. Matahari sudah memunculkan diri. Aku bangkit dan bergegas menuju ke bilik air. Aku segera mandi sunat aidilfitri serta berwuduk sekali lagi. Lalu aku mengenakan baju melayu berwarna maroon yang dibeli di Jalan TAR dua minggu sebelum raya. Warnanya sama warna dengan baju melayu abah yang dibeli juga di sana. Pada hari tersebut (dua minggu yang lalu) aku bersama isteri membawa ummi, abah dan Sebu (adik) ke Jalan TAR untuk melihat sendiri panorama, suasana persediaan raya orang kota. Di sinilah antara pilihan orang KL membeli belah untuk raya. Selain banyak pilihan, harganya juga boleh dikira berpatutan dengan hampir segalanya ada untuk perayaan, seperti pakaian, makanan serta accessory. Pada hari itu aku menghadiahkan abah dan Sebu sepasang baju melayu beserta butang. Hati aku amat seronok sebab dapat dan sempat juga memberikan sesuatu pada abah. Nampaknya abah dan Sebu senang dengan hadiah yang aku kira tidak seberapa itu. Untuk ummi pula, seminggu selepas itu telekong sembahyang yang dipos dari Kelantan pun tiba di sekolah isteri. Pening juga ummi hendak memilih empat warna dan corak berlainan. Akhirnya ummi memilih yang ada corak bunga berwarna merah muda. Ummi nampak gembira sekali. Moga-moga aku diberkati oleh Allah kerana menyenangi hati orang tuaku.

Selesai mengenakan baju melayu itu, aku menghirup air teh yang telah dihidangkan dengan ketupat daun palas. Aku segera melangkah menuju ke masjid As-Somadi untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri. Ucapan takbir, tasbih dan tahmid kedengaran dari corong-corong masjid diiringi para makmum bergema di setiap langkah-langkah aku ke sana. Seperti tahun-tahun lepas juga, imam akan memulakan solat sunat ini dengan sedikit ucapan, memohon maaf daripada pihak pengurusan masjid serta menerangkan kaifiat untuk melakukan ibadah solat tersebut. Seterusnya, solat pun dimulakan dengan penuh keinsafan dan kusyuk. Sesudah solat, khutbah pula dibaca buat melengkapi rukun ibadah itu.

Aku segera pulang ke rumah mendapatkan tangan ummi untuk dicium dengan ucapan besar dan penuh makna, ucapan kemaafan dan keredhaan. Kemudian aku mendapatkan abah dan bersalaman dengan gaya seorang anak yang memohon restu. Semoga terpahat di hati ini restu dan kasih sayang ummi dan abah selamanya buat azimat untuk mengharungi dunia yang penuh liku-liku.

Untuk si isteri yang setia, aku hadiahkan ciuman di ubun-ubunnya. Tangan dihulur disambut dan dikucupnya. Masing-masing kemaafan dipinta dan berikan. Semoga rahmat Allah bersama kami. Aku mendapatkan Nadhirah dan Syahirah lalu dipeluk cium olehku sepenuh hati. Sambil tersenyum nakal dan separuh sengih aku mengucapkan, “selamat hari raya”. Seperti biasa, Syahirah akan meronta mahu dilepaskan dan selagi dia belum mula menangis selagi itulah aku belum mahu melepaskannya.


Selepas itu, aku segera ke rumah Pak Su Karim yang berada di sebelah rumahku untuk bermaafan dengan keluarganya serta dengan nenek yang tinggal bersama mereka. Khaley sekeluarga, Pak Su Hak serta beberapa anak-anaknya datang ke rumah untuk beraya.

Selesai sesi raya dan makan-makan kami segera ke kubur arwah datuk sebelah abah di Teliar dan nenek ummi di Chabang Empat. Selepas itu pula kami menziarahi Mek Yoh juga di Chabang Empat. Setelah matahari semakin terik kami pulang ke rumah.

Petang itu, Kak Jawahir sepupu aku, anak-anaknya, Suaidah dan Siti, menantunya Fatah serta Mak Teh Zainab, kakak sulung abah datang menziarahi kami.

Lepas maghrib pula giliran kami untuk menziarah. Pertama kami pergi rumah Su Hak, kemudian rumah khaley, adik umi. Lepas itu ke rumah Othman di Pengkalan Kubor, rakan sekolah aku dulu dan sekarang bertugas di UKM. Selepas itu pula, barulah aku ke rumah kak Jawahir yang berada tidak jauh dari rumah Othman. Dan setiap rumah yang kami ziarah itu dihidangkan dengan pelbagai juadah. Paling suka aku dapat makan tapai di rumah Othman dan telur puyuh di rumah khaley serta diakhiri dengan nasi tomato di rumah Kak Jawahir. Pulang kekenyangan…

Petang raya ke dua pula kami berkelah di tepi Pantai Geting, berdekatan dengan Kuala Takbai. Tiga ekor ayam dikorbankan buat BBQ. Selain ayam bakar, kami bawa nasi goreng, kuih raya serta beraneka jenis air. Tidak lama kami berkelah kerana hujan mulai menitik.

Sepanjang berada di kampong aku sempat ke rumah mertua Mat Joe (kawan sejak sekolah menengah) di Tawang, Bachok, serta menziarahi rakan seUIA Nasmi iaitu Kak Zah. Rumahnya tidak jauh dari rumah mertua Mat Joe. Sudah sekian lama kami tidak berjumpa. Seronok sangat. Dengan program ziarah ini selain mengeratkan hubungan yang sudah lama terputus kami dapat update status atau keadaan mereka. Begitu juga Kak Zah yang seakan menjerit bila nampak Nasmi, betapa seronoknya dia. Kami segera dihidangkan dengan nasi walaupun waktu itu hampir maghrib. Keluarganya juga ramah dan banyak tanya itu ini kepada kami selaku orang KL datang ke rumah mereka. Berkali-kali Kak Zah mengucapkan terima kasih kerana sudi datang ke rumahnya.

Ramai lagi rakan-rakan lain yang kami tidak sempat ziarah. Selain cuaca yang tidak menentu, jalan yang sesak menjadi sebab utama kenapa kami tidak keluar rumah. Tidak mengapa lah, mungkin di lain masa kami akan menziarahi mereka bila kami balik ke kampong. Mereka yang kami tidak sempat berjumpa kami hanya menelefon untuk mengucapkan selamat hari raya dan berjanji akan berjumpa suatu hari nanti.

Pagi Ahad selepas solat subuh, kami dah bersiap untuk ke KL. Keadaan jalan yang mungkin sesak, kami merancang untuk memulakan perjalanan seawal mungkin. Ketika barang-barang dimasukkan ke kereta, abg. Lan datang untuk bersalaman dengan semua. Dia juga balik KL hari ini melalui jalan Terengganu kerana akan singgah rumah rakannya di sana. Aku pula akan melalui Gua Musang dan sekiranya sesak, aku akan naik ke Cameron Highland. Heh… suatu tempat yang aku ingin pergi bercuti selalu, suatu tempat yang banyak kenangan, suatu tempat yang bernostalgia…

Setelah bersalaman dan mengucapkan selamat kepada semua, aku dan abg. Lan memulakan perjalanan serentak, satu destinasi tapi berlainan haluan. Semoga selamat dalam perjalanan…

1 comment:

Unknown said...

Ustaz Wan Hisyam?bukan isteri solehah u tu mak ayah kandung dia org kelantan jugak ke?Pengkalan Chepa if tak silap?tak cerita pun pegi raya mintak maaf dengan mak ayah kandung n adik beradik kandung isteri u?pelik?takkan sama2kelantan tak pi raya jenguk minta maaf dengan org yang bawa isteri ustaz hisyam dari dalam perut lagi sampai bagi isteri ustaz dapat Ijazah?apa citer ni ustaz Hisyam..kepimpinan dan contoh melalui tauladan..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...