Tuesday, 1 November 2016

Lilin Keyakinan

~L I L I N  K E Y A K I N A N A N~


Meredahi malam di hutan perjuangan
Berbekalkan lilin keyakinan
Mencari hakikat yang kelam 
Memburu cahaya yang semakin hilang

Di kala kelelahan menapak kesunyian
Yang menemani diri hanya siulan alam
Duri dan reranting kering menikam
Di setiap langkah menuju persinggahan

Alpa apa tidak sering hilang
Sakit di mata kepala dan fikiran
Apakah petanda guruh yang berdentang
Apakah satu lagi ujian akan berguguran

Kini sudah kesejukan kebasahan
Dalam kesamaran kelam malam
Di persimpangan jalan meredahi hutan
Mencari sinar cahaya kegemerlapan

Mungkin nanti apakah yang akan datang
Lilin keyakinan kian malap atau bertambah terang
Sedang kelelahan semakin meletihkan
Melemahkan akal dan keyakinan

Rupanya kegelapan ini berpanjangan
Lilin keyakinan semakin berkurang
Akan matikah cahaya nyalaan
Terdampar diri bersimpuh tunduk kehampaan

Thursday, 6 October 2016

Tauhid Dalam Fiqhul Awlawiyyat (Priority)

Tauhid memainkan peranan paling besar memastikan sistem pertahanan emosi dan mental tetap kukuh ketika menghadapi tekanan paling dahsyat dalam kehidupan. Tanpa Tauhid manusia akan tenggelam dalam emosi tidak sihat dan memberi kesan langsung pengaruh persekitaran yang negatif.

Ketika tertekan dengan ujian, tauhid akan memberi panduan bahawa semua yang berlaku hanya dengan izin Allah dan sudah pastinya Allah mengetahui yang terbaik. Meredhai kehendak (iradah) Allah adalah rukun iman yang wajib dipercayai. 

Tidak perlu kesal dengan kekurangan diri kerana kekurangan diri menyebabkan taraf mukallaf juga turut kurang seumpama mereka yang tidak mempunyai kaki maka mereka tidak diwajibkan berdiri ketika solatnya walaupun solat itu rukunnya berdiri. Jangan pula merasai berdosa kerana tidak mampu berdiri ekoran tanpa kaki. Solat duduk juga sudah memadai. Yang penting khusuk dan ikhlas kerana Allah.

Orang yang tidak mempunyai duit maka dia tidak perlu memberi sedekah berbentuk duit. Ada lagi sedekah dalam bentuk lain. Begitu juga jika seseorang mempunyai keuzuran-keuzuran yang lainnya. Maka kewajipan-kewajipan yang biasanya adalah wajib maka ia dimaafkan oleh syarak.

Apa yang kita belajar dari tauhid perlu dihayati. Jangan pula memaksa orang melakukan apa yang dia tidak boleh lakukan kerana keuzuran-keuzuran. Sedangkan keuzuran itu datang dari Yang Maha Pencipta. Jika Allah juga memaafkan atas sebab-sebab keuzuran maka siapalah kita untuk menentukan dan mengungkit-ungkit kewajipan yang terdapat keuzuran dan keterpaksaan.

Sebagai contoh yang lain, seorang doktor pakar perlu mengabaikan tanggungjawab pada keluarganya bila saja pesakit memerlukan. Askar juga perlu perjauhan dengan famili ketika berlaku perang fi sabilillah. Kewajipan akan berubah mengikut keadaan dan kedaruratan.

Daripada tauhid ini dapat kita nilai keutamaan (priority) tindakan yang dilakukan supaya apa yang kita lakukan selaras dengan hukum syarak.

Saya yakin ramai yang masih belum faham dan keliru walaupun ustaz-ustaz. Fiqhul Awlawiyyat yang berakar dari tauhid perlu difahami dengan betul dalam menentukan urutan seperangkat nilai yang sentiasa dihadapi dalam realiti kehidupan. Ketidakfahaman ini akan menyebabkan perselisihan dan ketidakseimbangan emosi ketika menghadapi kekurangan dan keuzuran.

Friday, 30 September 2016

Buat tak tahu jer...

Sesetengah orang bila tengok member kena musibah ujian dia buat tak tahu je... tak tanya khabar, apa lagi nak bantu. Malah ada yang menghindar diri. Beginikah sifat sebagai seorang mengaku Islam yang mana diajar sesama Islam adalah sebagai satu badan? Jika sakit satu anggota badan maka anggota badan lain akan turut merasai. Lagipun, mencintai, menyayangi, merasa belas kasihan sesama muslim seperti mana menyayangi serta mementingkan diri sendiri adalah syarat kesempurnaan iman. Jangan pula lupa bahawa kita boleh ditimpa musibah ujian yang sama pada bila-bila masa sahaja jika kita berterusan bersikap angkuh dan beranggapan selamanya tidak diuji kerana kita bijak pandai lebih dari orang lain. Ingatlah... Semua kita dalam genggamanNya.

Tuesday, 27 September 2016

Tinggallah Kita Si jahil

Allah mengambil satu persatu alim ulamak. Terbaru adalah Ustaz Fadhil Al-Yamani. Sebelum itu Dato' Dr. Haron Din, Tuan Guru Salleh Musa, Tok Guru Nik Abdul Aziz dan lain-lainnya. Kehilangan yang tiada gantinya lagi kepada dunia Islam khasnya di Malaysia.

Orang yang tidak mendekati mereka semasa hayatnya mungkin tidak merasa apa-apa. Tapi bagi pencinta ilmu dan ilmuwan pastinya bergegar dadanya menahan sebak. Merasai suatu kehilangan yang sukar diungkapkan.

Dengan hilangnya ilmuwan-ilmuan ini maka suara-suara nasihat yang ikhlas menjadi semakin berkurangan. Sedangkan manusia sentiasa perlukan nasihat. kesan secara langsung terhadap kehilangan suara nasihat ulamak ini akan menyebabkan manusia semakin lalai dan alpa. Mungkin ada lagi suara-suara ilmuwan namun aura yang dapat memandu arah masyarakat tidak ada. Ada suara tapi tanpa ruh dan semangatnya. Mesej yang sama disampaikan oleh orang yang berbeza akan diterima secara berbeza tentunya.

Kehilangan demi kehilangan ini mengurangkan para ilmuwan dan menambahkan jumlah si jahil. Malah ramai yang cenderung melakukan kezaliman berleluasa di sana-sini. Tidak lama lagi apa akan jadi kepada bumi ini. Kerosakan akhlak sudah terjadi dari pemimpin sampai kepada rakyat terbawah malah anak-anak sekolah sudah punah ranah moralnya. Kezaliman pula merebak ke merata-rata. Merebak kepada sesiapa sahaja. Puncanya kerana nasihat tidak ada kesan lagi kepada jiwa-jiwa yang kotor.

Kita dapat lihat percampuran antara baik dan buruk. Ramai orang sembahyang namun orang yang sama melakukan maksiat tanpa silu. Ramai yang mendengar ceramah tapi selepas ceramah mereka melakukan keburukan yang sama dilakukan oleh orang yang tidak mendengar ceramah. Hiburan menguasai sebahagian besar kehidupan. Anak-anak tidak dididik dengan quran tapi hanya mainan dan hiburan.

Saya menyeru wahai sahabat-sahabat yang sempat membaca keluhan ini, mari kita berganding bahu menghidupkan taman-taman ilmu sehingga diri sendiri, anak-anak dan keluarga merendah dan perhambakan diri terhadap ilmu khususnya ilmu agama. Kalau tidak sampai tahap ulamak pun sudah memadai menjadi pencinta ilmu dan pencinta ilmuwan.

Monday, 26 September 2016

Nikmat Lupa

Antara banyak-banyak nikmat yang Allah bagi yang sangat dihargai sekarang adalah nikmat lupa. Biasanya orang tidak suka lupa. Tapi tanpa kita sedar lupa juga satu nikmat besar. Lupa yang saya maksudkan adalah lupa terhadap masalah dan kesedihan.

Bayangkan semua peristiwa sedih kita teringat, mungkin emosi kita akan terganggu. Kerja juga terganggu dan mungkin juga urusan seharian kita menjadi tidak menentu. Kita mungkin hidup dalam keadaan murung dan tidak bersemangat. Asyik termenung teringatkan kesedihan-kesedihan masa lampau sehingga masa depannya tergadai.

Begitu juga dengan permasalahan yang menghantui diri. Alangkah indahnya dunia jika kita tidak mempunyai sebarang masalah. Akan tetapi mustahil bagi setiap orang jika tidak mempunyai masalah. Masalah datang dan pergi silih berganti kepada kita semua sama ada besar atau kecil. Masalah datang adalah untuk diselesaikan dan bukan untuk disesali. Prinsipnya senang... masalah adalah ujian hidup untuk menguji kematangan cara berfikir dan bertindak. Masa kecil dulu, masalah kita adalah kecil sesuai dengan keadaan keanak-anakan kita. Dan apabila meningkat dewasa, masalah juga ikut membesar bersama. Agak malang bagi seseorang yang tidak mengetahui apa masalah yang dia sedang hadapi kerana dia tentunya tidak bersedia untuk menanganinya dan akan jadi besar bila sudah terlambat. Yang lebih baik adalah dia tahu keadaan diri, tahu apa masalah dan tahu bagaimana untuk selesaikan dengan cara yang paling baik dan kreatif. Kreatif? Ya... berfikir secara kreatif menanganinya sama ada secara menyeluruh atau secara beransur-ansur kerana tidak semua masalah boleh diselesaikan dengan pantas. Mungkin akan mengambil masa berhari-hari atau berbulan-bulan atau makan tahun!!!

Namun, jika masalah berlarutan yang tentunya mengambil masa yang lama dan sukar untuk diselesaikan, alangkah baiknya jika masalah itu tidak diingati selalu. Dilupakan. Bukan bermaksud melupakan masalah itu langsung. Namun jika langkah-langkah penyelesaian sudah dibuat... maka bertawakkallah pada Allah dan biar Allah yang tolong kerana Allah Tuhan Yang Maha Berkuasa.

Jika masalah tidak menguasai minda maka kita dapat melakukan urusan dengan baik. Dan inilah maksud nikmat lupa yang saya ingin perkatakan. Syukur pada Allah yang melupakan masalah-masalah dan memberi minda sihat untuk melakukan ketaatan-ketaatan kepadaNya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...