Friday, 23 October 2015

Pilih Yang Kurang Bahaya


Ketika kita berhadapan dengan urusan seharian, tentunya kita akan menemui jalan buntu dan mungkin tidak ada ruang untuk mencari jalan lain yang selamat melainkan kita mesti menghadapi risiko. Contoh yang paling mudah, pemandu kenderaan yang berdepan dengan lembu yang tiba-tiba melintasi jalan. Pemandu ini tidak sempat memberhentikan kenderaan dan dia cuma mempunyai 2 pilihan. Pertama, melanggar lembu itu, kedua mengelak dan mungkin mengakibatkan kenderaan yang dia pandu terbabas. Jika demikian pilihan yang ada, jika berkesempatan untuk berfikir sejenak dia boleh mengukur kesan terhadap pilihannya. Kedua-dua pilihan itu mempunyai risiko dan mudharat. namun dia mesti memilih risiko yang lebih sedikit. Di sini dia mesti memahami maqasid syariah dan prioritinya. Antara kenderaan, lembu atau nyawa dia sendiri yang mana yang lebih penting? Mana yang patut dia selamatkan? Jika dia ada jawapan kepada soalan ini dia mesti memilihnya. Dalam pelajaran Qawaid Fiqhiyyah disebut:-

وضدُّه تزاحمُ المفاسدِ فارْتَكِب الأدنى من المفاس

"Jika Ada Dua Mudharat (Bahaya) Saling Berhadapan Maka di Ambil Yang Paling Ringan"

Begitulah kaedah yang diajar kepada kita ketika berhadapan dengan situasi berkenaan. Hal berkenaan boleh dijadikan suatu kaedah dasar dalam menangani sesuatu situasi. Contoh di atas hanya suatu contoh ringkas. Mungkin kita akan mendepani dengan hal-hal yang lebih rumit seperti yang selalu diungkapkan dalam pribahasa "ditelan mati emak, diluah mati bapak". Mungkin juga risiko mudharat itu mempunyai hukum yang haram dan berdosa. Sudah tentu kaedah ini juga boleh dipakai. Jika mudharat berkenaan mempunyai dosa maka Allah sudah menetapkan:-

فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ

"Tetapi barang siapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang ia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Baqorah : 173 )

Islam itu agama yang diredhai Allah adalah satu-satu cara hidup yang baik untuk manusia. Allah telah aturkan sebaik-baiknya untuk kita. Hanya kita sahaja yang wajib dan wajar mengimani segala yang diajar. Amat rugi bagi mereka yang masih lagi ragu-ragu dan mempertikaikan kebaikan Islam apatah lagi yang memusuhinya.

Namun risiko, mudharat atau bahaya perlulah dijauhkan. Tidak boleh sengaja mencari risiko jika sudah tahu hal berkenaan akan mendatangkan bahaya seperti memandu terlalu laju sehingga menyebabkan hilang kawalan. Sengaja mendedahkan diri kepada bahaya adalah dilarang seperti firman Allah yang bermaksud "Jangan mencampakkan diriku kamu ke arah kebinasaan".

Rujukan: Qawaid Fiqhiyyah

Wednesday, 21 October 2015

Saat Sukar

Setiap dari kita pasti merasai saat-saat sukar. Entah sebagai ujian atau taqdir ketentuan Ilahi buat perjalanan kita di dunia dihiasi dengan kesukaran yang melanda selain Allah jadikan saat-saat bahagia yang berulang-ulang dan berselang seli. Semua akan merasai saat-saat sedemikian tidak kira sama ada seseorang itu dari kategori mana sekali pun.

Nelayan yang biasanya setiap kali kembali ke pengkalan dengan muatan botnya sarat dengan tangkapan kadang-kadang bila datang musim bergelora, tengkujuh di bulan sebelas hasilnya tidak memberangsangkan untuk beberapa ketika atau bahkan mungkin tidak dapat turun ke laut pun. Jika si nelayan ini hanya bergantung rezekinya pada laut maka musibah ini menjadi parah. Pasti saat yang dilalui sangat sukar, tenat, sebak nafas dan lena terganggu serta menjadi punca ketegangan.

 Peniaga pun begitu. Kadang-kadang kesilapan yang sedikit menjadi punca kejatuhan jualan yang akhirnya mengakibatkan muflis dan merudum dengan pantas. Banyak kita saksikan peniaga yang jatuh dan tidak berdaya bangkit lagi. Semua harta benda dilelong dan kehilangan rakan-rakan. Terpaksa merempat dengan dibebani hutang dan mungkin musuh. Lebih parah jika didakwa atas kesalahan-kesalahan tertentu dan dipenjarakan.

Demikian kalau kita lanjutkan pengamatan kita kepada contoh yang lain, pemerintah agung misalnya. Ketika kegemilangannya, dialah raja yang memiliki kerajaan yang hebat, dialah si kaya memiliki kekayaan. Dia mempunyai bawahan yang sangat patuh. Dia disegani kawan dan musuh. Dia boleh arahkan apa-apa saja. Sehingga ramai yang cemburu kepada kejayaannya dan tidak kurang yang jadikan dia inspirasi. Namun, bila sampai waktunya, dia ditumbangkan oleh musuh-musuh. Apabila musuh yang dengki kepadanya datang dengan kekuatan yang lebih hebat darinya, negerinya dihentam, kekayaan dirampas, keluarganya dibunuh dan diusir, rakyatnya dijadikan tahanan, negaranya runtuh, pemerintahannya jatuh, dia terpaksa bersembunyi di lubang sempit beberapa ketika sebelum dijumpai dalam keadaan yang sangat mengharukan. Akhirnya dia dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman, digantung mati.

Saat-saat sukar begini boleh mendatangi sesiapa sahaja. Mungkin sebagai ujian atas ikrar-ikrar kita, atas kepercayaan kita yang kita anuti dan imani. Mungkin ianya sebagai suatu saat yang kita perlu duduk tunduk muhasabah diri. Hanya orang yang bersedia menghadapi saat-saat sukar ini boleh survive dan bangkit kembali. Dengan ketabahan dan perancangan serta jangkauan pemikiran pada masa depan yang jelas akan menjadikan dia lebih baik dari masa lampau yang sukar.

Demikanlah banyak hal di dunia ini yang boleh menekan jiwa. Namun Allah yang menguji dengan ujian berat dan ringan telah menyediakan kepada jawapan serta penyelesaian. Allah sediakan akal pemikiran. Allah sediakan panduan. Allah sediakan sumber alam dan kekuatan diri. Paling tidakpun buat menghadapi ujian sebegini Allah sediakan daya ketahanan dan ketabahan dalam diri setiap insan seperti yang Allah telah firmankan; "tidak dibebankan pada kamu selain dari apa yang boleh ditanggung sahaja..."

Gabungan pemikiran dan daya usaha serta penggunaan sumber yang telah tersedia berupa seluas bumi dan seisinya buat kita berkemungkinan besar kita akan berjaya keluar melepasi dari kepungan duri-duri ujian. Allah telah janjikan bahawa; "Maka sesungguhnya bersama setiap kesukaran ada kemudahan. Sesungguhnya bersama setiap kesukaran ada kemudahan."
Saat sukar perlu dihadapi dengan tabah. Sesukar manapun pasti saat itu akan berlalu jua...

Friday, 16 October 2015

Menjadi Ujian Untuk Yang Lain

Sekali direnungkan bahawa hidup ini sangat menarik. Aku diminta untuk memberi pendapat tentang seseorang anak yang tidak baik, melakukan hal mamalukan diri dan keluarga serta terlibat dengan gejala yang tidak sihat. Pada awalnya aku hanya mendengar semua yang diberitahu supaya tidak terburu-buru mengeluarkan pandangan yang mungkin tidak tepat.

"Segala yang berlaku adalah ketetapan dari Allah..." aku memulakan bicara.
"Namun apa yang belum berlaku, kita diberi pilihan walaupun pada hakikatnya semuanya telah diketahui oleh Allah. Sebagai seorang Islam, tidak ada alasan untuk melakukan perkara buruk sama ada ketika dalam keadaan nikmat atau dalam keadaan sangat kecewa. Allah telah memberi panduan", sambung ku.

Mereka yang ada di situ mengiyakan dan mencelah sekali sekala.

"Sebenarnya, yang diberi ujian bukan hanya si anak. Tapi kita sebagai kaum keluarga juga akan ditanya oleh Allah, apa kalian buat ketika kalian melihat anak ini dalam keadaan begini?"

"Kitalah yang perlu perbetulkan dan berusaha mencari jalan terbaik untuk memulihkannya".

"Berjaya atau tidak itu terpulang kepada dia, serta bertawakal kepada Allah, mudah-mudahan akan diberi jalan untuk kembali...".

Salah seorang dari mereka bertanya, "kenapa Allah jadikan anak ini tidak baik, adakah ini balasan atas perbuatan orang tuanya...?"

Aku menjawab, "Banyak sebab seseorang anak boleh menjadi begitu, salah satunya disebabkan kurang didikan dan kasih sayang. Selain itu, mungkin disebab termakan dari harta yang tidak baik. Barang yang tidak baik jika dimakan akan mempengaruhi tingkah laku... ada satu cerita di mana seorang bapa mendapati anaknya menjadi tidak baik sedangkan dia menghantar ke sekolah agama dan hafal Quran. Dalam kesedihan di ayah yang kecewa dengan keadaan si anak, dia telah mengeluarkan sebahagian hartanya untuk disedekahkan atau dizakatkan. Setelah beberapa ketika, si anak kembali menjadi baik..."

"Namun jangan beranggapan 'mafhum mukhalafah' atau menterbalikkan kenyataan ini... yakni jangan sesekali menganggap orang yang tidak baik itu confirm sebab makan benda haram. Mungkin ada alasan lain...".

Mereka mengiyakan sahaja pendapat ini dan aku yang kehabisan idea hanya mendengar celoteh mereka.


Tuesday, 29 September 2015

Dalam Musibah Ada Rahmat


"Sesungguhnya kami milik Allah dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Dia".

Kita milik Allah... Dia berkuasa untuk mengambil apa sahaja milikNya dengan apa jua cara. Kejadian kren tumbang di Mekah pada 11 September 2015 menambahkan keyakinan kita bahawa Allah sangat berkuasa ke atas hamba milikNya. Dia boleh mematikan ratusan orang dan memelihara jutaan yang lain. Hal ini menunjukkan betapa lemahnya kita sebagai manusia. Semua yang berlaku adalah iradahNya. Hidup dan mati kita adalah ujian untuk menguji siapa antara kamu mempunyai amalan yang terbaik. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Mulk ayat 2:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

Yang telah meninggal... Alhamdulillah, Allah rezekikan bagi mereka mati di tempat yang suci dan mulia, semua orang Islam menginginkan mati di situ. Mudah-mudahan syurga buat mereka kerana kematian semasa mengerjakan ibadah haji sangat besar pahala dan kemuliaannya.

Yang masih hidup... Alhamdulillah Allah masih sudi memberi rezeki, kesihatan, nyawa, pemikiran dan segala-galanya yang Allah sediakan demi untuk hambanya. Mudah-mudah dengan rezeki yang tersisa itu boleh mereka meneruskan ibadah kepada Allah SWT sehingga selesai ibadah haji dapat kembali ke tanah air memberi contoh tauladan yang baik kepada semua. 

Allah tidak perlukan hamba-hambanya untuk menguatkanNya dengan ibadah-badah. Kalau para hamba ini tidak beribadah, tidak sedikitpun mengurangkan keagungan dan kekuasaanNya. Malah kitalah para hamba yang memerlukan Tuhan kerana segala-gala yang kita ada adalah milik Dia.

Wahai orang kafir... jangan menyangka bahawa Allah tidak menyelamatkan para mangsa bahkan Allah telah memuliakan mereka dengan kematian dan disemadikan di tempat yang paling suci di bumi ini. Tempat yang akan dikunjungi sentiasa saban tahun oleh ummat Islam seluruh dunia. Peristiwa itu takkan mengurangkan semangat ibadah haji pada tahun-tahun akan datang sehingga kiamat.

Wahai para keluarga yang kehilangan anak, ibubapa, suami atau isteri... redhalah dan sabarlah atas ujian kehilangan orang yang kita cintai... yakinlah mereka akan menanti di syurga firdausi dan di Akhirat nanti pasti akan berjumpa lagi. Yakinlah, kematian di mana-mana sahaja. Tidak kira ketika dikumpulkan di Mekah atau di tanah air. Jika ajal sudah sampai, Allah pasti akan ambil juga. Tetapi nilai kematian di Mekah berbanding di tempat-tempat lain takkan sama. Beruntunglah mereka... beruntunglah mereka... beruntunglah mereka. 

Monday, 28 September 2015

Bagaimana Akhlak di Jalan Raya

Di mana-mana pun kita, akhlak perlu dijaga tidak kira di rumah, di tempat kerja malah di jalan raya. Ramai yang  tidak berakhlak semasa di jalan raya menyebabkan pengguna jalan raya tidak selesa dan takut ketika memandu. Sebagai contoh, baru-baru ni berlaku kemalangan di jalan raya dek kerana aktiviti lumba haram. Kerana ingin berseronok-seronok main lumba-lumba tanpa disengajakan (saya rasa) kereta yang dipandu tidak dapat dikawal dan terlanggar kereta lain sehingga menyebabkan berlaku tragedi. Pemandu kereta yang dilanggar serta isteri dan seorang anaknya meninggal. 2 anak mereka yang ditinggal kepada saudaranya meraung dengan sekian tangisan dan air mata. Ramai yang simpati dan menghulurkan bantuan. Namun nyawa ibu bapa mereka tidak dapat lagi dikembalikan. Tambahan pula pada masa itu hampir dengan hari raya. Bertambahlah sayunya.

Lihat, pada asalnya hanya seronok-seronok, main-main di jalan raya akhirnya membawa padah. Kes ini masih dibicarakan. Kalau didapati bersalah maka memandu kereta yang melanggar akan dihukum penjara kerana kecuaian yang menyebabkan kematian. Benda kecik dah jadi besar.

Sebab itu, di jalan raya perlu juga mengamalkan akhlak yang diajar oleh Islam. Islam telah meletakkan asasnya. "Seorang Islam adalah seorang yang 'salima' (menyelamatkan, mendamaikan, menjaga) seorang Islam yang lain dengan menggunakan lidah dan tangannya". Tidak harus bagi kita untuk meletakkan orang lain dalam keadaan tidak selesa, takut dan rasa tidak selamat. Haram hukumnya menzalimi orang lain, mengambil hak orang lain dan mencederakan mereka.

Jalan raya merupakan tempat untuk berjalan dari satu tempat ke tempat yang lain yang menjadi destinasi masing-masing. Di jalan raya ada berbagai-bagai kenderaan yang digunakan oleh manusia seperti kereta, motosikal, lori, bas dan lain-lain. setiap pengguna jalan raya mempunyai hak sama rata tidak kira dia berkereta atau bermotosikal. Semua ingin sampai ke destinasi dengan selamat.

Jika semua pengguna jalan raya ingin rasa damai dan selamat semasa di jalan raya semestinya beberapa sifat atau adab mesti dijadikan amalan dan budaya semasa berada di jalan raya mengikut amalan dan adab yang diajar oleh agama Islam. Berikut adalah adab-adab semasa di jalan raya:

1- Saling menghormati- Amalan ini sangat penting. Bukan sahaja menghormati pengguna lain. Malah mesti menghormati undang-undang jalan raya yang telah digariskan oleh pihak berkuasa. Kita mesti sedar bahawa orang lain juga ada hak seperti kita. Jika kita mahu dihormati hak dan maruah kita, kita juga mesti menunjukkan sifat yang sama pada orang lain terlebih dahulu. Pernah terjadi seorang pemandu yang merokok semasa memandu membuang habuk rokoknya keluar. Akibatnya, mata penunggang motosikal di belakang keretanya terkena habuk rokok dan dia terpaksa berhenti di tepi jalan kerana tidak dapat meneruskan perjalanan.

2-  Berhemah ketika memandu- Mesti mengamalkan pemanduan yang berhati-hati. Maksudnya, dari awal perjalanan hingga sampai ke destinasi semua perkara dalam keadaan baik. Kenderaan baik dan kesihatan fizikal dan mental juga baik. Keadaan yang baik itu membolehkan kita mengelak dari sebarang kecelakaan yang akan mencederakan orang lain. Mental juga harus dalam keadaan yang baik. Tidak dalam keadaan tertekan, marah atau mabuk.

3- Tidak membuang sampah keluar dari kenderaan- Amalan membuang sampah keluar kenderaan adalah sangat tidak bagus. Dia hanya mementingkan diri sendiri dan hanya mahu kenderaannya sahaja kelihatan bersih tanpa mempedulikan alam sekitar. Pernah juga terjadi seorang penumpang kereta membuang tin minuman keluar dan terkena kenderaan lain. Akibatnya pemandu kenderaan yang terkena sampah itu naik marah dan terjadi pergaduhan.

4- Tidak main-main di jalan raya- Jalan raya merupakan kemudahan untuk sampai ke destinasi dan bukan tempat untuk main-main dan untuk tunjuk kehandalan yang akhir mengakibatkan kemalangan. Seringkali kita lihat sekumpulan mat-mat motor yang menunggang secara melulu dan berbahaya. Menyelit-nyelit di celah-celah kenderaan dalam keadaan yang kurang sopan. Jika salah seorang daripada mereka membuat kesilapan maka kemungkinan ramai pengguna lain yang menerima akibatnya.

5- Mengurangkan kesilapan- Apa yang saya ingin maksudkan adalah mengurangkan kesilapan yang boleh dielakkan umpamanya menukar lorong tanpa mempedulikan pengguna lain. Sehingga pengguna di belakang terpaksa berhenti mengejut dan kemungkinan boleh berlaku rempuhan dari belakang kenderaan itu. Selain itu juga, antara kesilapan yang biasa terjadi adalah tersalah memberi isyarat. Jika ingin membelok ke kiri, maka nyalakan lampu isyarat kiri dan bukan ke kanan. Kesilapan ini amat membahayakan kepada diri sendiri dan orang lain.

6- Fokus kepada pemanduan- Pemandu tidak harus melakukan perkara lain selain dari mengawal kenderaannya serta memerhati keadaan kenderaan di hadapan dan di belakang (sekali-sekala melalui cermin pandang belakang). Tidak sepatutnya pemandu menggunakan telefon bimbit atau gadget ketika memandu kerana perbuatan itu akan mengundang masalah kegagalan dalam mengawal kenderaan yang dipandu. Mata manusia tidak mampu untuk melihat ke dua arah yang berbeza dalam satu masa. Jika matanya tertumpu pada skrin gadgetnya dengan sebelah tangan sahaja digunakan maka tumpuan ke arah pemanduan akan menjadi kurang. hal ini juga boleh menyumbang kepada kemalangan.

7- Sombong- Kesombongan di jalan raya boleh digambarkan sebagai pengguna jalan raya yang berlagak dengan kehebatan atau kekayaannya. Mentang-mentang dia menggunakan kenderaan mahal dan hebat dialah raja di jalanan. Orang ini berkecenderungan untuk memandu laju tanpa pedulikan pengguna lain malah tidak pedulikan undang-undang. Baginya, jalan raya hanya dia yang punya.

Jika pengguna jalan raya dapat mengawal diri dan mengamalkan budaya yang baik seperti di atas maka tidak mustahil kemalangan dapat dielakkan. Statistik kematian akibat kemalangan pada tahun 2014 sebanyak 8,000 mungkin dapat dikurangkan pada tahun ini dan juga tahun-tahun mendatang. Jalan raya bukan tempat untuk menyakiti hati, tempat untuk buat dosa dan bukan tempat untuk mati. Tapi, jalan raya juga boleh jadi tempat untuk menunjukkan kasih sayang, hormat-menghormati

Nabi Muhammad SAW. bersabda:

Tidak sempurna iman kamu jika tidak kamu kasihi saudaramu sebagaimana kamu kasihi diri kamu sendiri

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...