Monday, 15 September 2014

Selamat hari malaysia

gambar dari pulau perhentian...

Hasbunallahu wani'mal wakil

Serah segala-galanya pada Allah. Dialah tempat bergantung orang yang tiada harapan. Dia puncak segala hikmah. Ketika tiada lagi ketabahan dan daya diri berserah hanya padaNya.
Sekiranya Dia menghendaki kebaikan maka kita akan memiliki kebaikan yang akan diberikan ini serta berbahagialah. Sekiranya Dia menghendaki keburukan maka kita juga memiliki kebaikan kerana semuanya Dia beri untuk makhluknya tidak ada yang buruk kecuali yang baik-baik walaupun pada kaca mata manusia semua itu buruk. Allah tidak jadikan sesuatu itu dengan sia-sia!
Demikian pelajaran bagi diri. Semua Allah atur dan aturan Allah itu sangat baik berbanding aturan diri. Tawakkal 'alallah 'ala kulli syai'. Biarkan jiwa tenang dibadai ujian kerana pantai itu tempat tenang walau dipukul ombak sentiasa dikunjungi ramai. Biar diri diratah dikunyah kerana yang dikunyah dan diratah itu daging yang sangat baik disembelih dengan nama Allah.
Relakan diri dan reda dengan ragam dunia. Tidak boleh kita lari dari keterpaksaan walaupun pada ketaatan yang menjadi amanah Tuhan tetap sebuah amanah. Tidak harus lemah lembik layu lesu menghadapi badai ombak ujian kerana yang lemah itu akan dihakis ombak dan tidak berupa tidak berupaya lagi.
Sediakan sebuah daerah ketabahan isi penduduknya menagih keredaan. Bertongkat merangkak menuju lurah keutuhan. Puncak lurah itu subur dek tanah yang tidak tandus lagi. Air mengalir biar berliku tetapi jernih bersih... bisa diminum dan disirami hati-hati yang duka... menjelma menjadi kuat dan gagah.

Wednesday, 23 July 2014

Lagu untuk Syria- Laji' (Pelarian)

Lagu ini sangat menyentuh hati dan alunan suara Omran Al-Bokaee sangat merdu menusuk kalbu... dengarkan...


Sama-sama kita doakan untuk umat Islam kita di sana...

Monday, 21 July 2014

Ditembak dan Terhempas

Satu perkara yang kita tidak boleh lupakan bahawa apa yang terjadi adalah hanya yang ditentukan oleh Allah swt. Tidak kira sekecil mana pun dan tidak kira juga sebesar mana pun. Kita hanya manusia yang lemah. Kita tidak boleh mengawal apa yang kita suka dan kita juga tidak boleh lari dari apa yang kita tidak suka melainkan dengan keizinanNya semata-mata.

Sebagai hamba, berserah padaNya adalah perkara yang wajib dilaksanakan. Tidak ada yang perlu dikeluhkan sekiranya musibah yang Allah timpakan itu terkena pada kita. Ujian yang diberikan berpadanan dengan diri kita untuk menguji setakat mana sabar dan setakat mana rasa syukur.

Kita hanya perlu longlaikan badan sujud padaNya bukti penyerahan sepenuhnya urusan di dunia ini. Dunia ini dan seisinya adalah milikNya. Begitu juga segala urusan hanya dalam genggamanNya. Segala yang terjadi hanya sebab dan akibat. Yang hidup perlu teruskan hidup dengan segala tanggungjawab sebagai hamba. Yang telah pergi sudah berakhir tugasan di dunia ini.

Kapal terbang yang ditembak dan jatuh bertaburan itu adalah ketentuanNya. Walaupun pada mata kasar sebagai manusia kita rasa itu suatu kemalangan dan boleh dielakkan.

Kematian itu pasti. Bagaimana, bila dan di mana itu kita belum ketahui. Kita bersedia sahaja agar dapat pengakhiran yang baik.

Semoga keluarga mangsa tabah menghadapi ujian ini. Sabar itu sebahagian dari sifat orang beriman. Allah akan sentiasa bersama orang-orang yang sabar.

Monday, 5 May 2014

Rindu Abah (2)

aku ketika menziarahi kubur abah
Peluang balik ke kampung baru-baru ini sambil program aku sempat meluangkan masa untuk menziarahi kubur abah. Semenjak aku kembali ke KL selepas majlis mengebumian abah ini adalah kali pertama aku menjenguk abah. Demi melangkah masuk ke pintu kawasan kuburan aku memberi salam. Salam khas ku untuk abah dan untuk semua ahli kubur di situ.

Menatapi dengan penuh syahdu nisan nan dua dan pelindan yang tertera nama sebenar abah. di hujung kaki abah pula ada satu lagi kubur insan yang sangat aku hormati- arwah bapa saudara, Paksu.

Selepas beberapa ketika merenungi kenangan-kenangan bersama mereka berdua ketika hayat mereka aku mulai membaca tahlil untuk keduanya. pagi itu sangat tenang... aku menghabiskan tahlil dan doa pengampunan bagi keduannya. Aku sangat rindukan abah. Sangat-sangat merasai kehilangan.

Aku mulai perasan satu kehilangan besar dalam hidupku mengenai seorang abah apabila anakku meminta aku doakan dia untuk menghadapi peperiksaan. Begitulah aku... ketika aku menghadapi peperikasaan, ujian dalam pelajaran atau dalam kehidupan aku selalu minta abah doakan aku atau buat solat hajat untuk aku. Bila aku meminta demikian abah selalu menjawab... "abah sentiasa doakan untuk anak-anak abah!"

Ya... itulah sikap abah. Berkat doa abah kami adik-beradik berjaya mengharungi dunia yang penuh pancaroba ini. Abah juga selalu ke masjid ketika dia sihat. Banyak solat sunat, banyak berzikir. Aku suka jadi makmum bila bersolat dengan abah sebab aku sangat hormati dia. Dia banyak ilmu. Di dalam dadanya mengandungi ajaran agama yang sangat tebal. Usah diajak berdebat dengan apa jua kemusykilan pasti dijawabnya dengan nas Quran dan Hadis Nabi (s.a.w).

Abah... semenjak abah tiada aku tidak ada tempat bermanja. Tidak ada orang yang memasak untuk kami. Tidak ada orang menggunting rambut kami. Tidak ada yang mengajar kami. Tidak ada yang ketawa bersama kami. Tidak ada orang yang berjenaka dengan kami. Tidak ada yang menemani kami, menyayangi kami...

Abah... Hisyam ada masalah abah... masalah Hisyam sangat berat abah... tolong Hisyam abah... aku bagai meluahkan semua yang aku alami pada abah... sarat hati ini biar terluah di sini. Moga abah dapat doakan aku di sana. Moga abah gembira aku datang kepadanya. Tenanglah abah. Akan Hisyam kirim pada abah doa dan pahala quran untuk abah.

Aku meninggalkan kuburan itu setelah matahari meninggi. Selamat tinggal abah. Nanti kita akan berjumpa lagi. Aku akan menyusuli abah nanti. Semoga kita akan sama-sama berkumpul di syurga.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...