Thursday, 21 April 2011

Beramanahlah

Sahabat-sahabat, beramanahlah dalam melakukan tugas-tugas. Apalah makna beramal, bekerja tanpa amanah sedangkan pekerjaan kita ini dilakukan untuk mencari redha Allah.

Kalaupun tidak sedar bahawa perkara yang diamanahkan itu melibatkan harta awam, bukan hak milik kita... kita perlu ingat bahawa kita mesti amanah dengan jasad dan ruh yang Allah pinjamkan. Takkanlah kita nak lihat tubuh dan badan kita musnah dijilat api neraka kerana kita tidak beramanah.

Cubalah contohi Rasulullah S.A.W., manusia yang paling dekat dengan kita, yang paling mempengaruhi kita dalam kehidupan ini, mana ada lagi contoh terbaik kalau bukan Baginda S.A.W.. Lihatlah bagaimana baginda amanah dalam menguruskan perniagaan Siti Khadijah. Baginda begitu amanah dan disebabkan amanahnya itu baginda digelar 'al-amin' (yang beramanah).

Betapa tinggi nilai etika yang ditunjukkan oleh baginda sehingga pecah tradisi arab apabila Siti Khadijah, seorang wanita meminang seorang lelaki. Ini bukan suatu galakan supaya wanita meminang lelaki tetapi adalah galakan supaya lelaki menjadi sebaik Muhammad S.A.W. yang akhlaknya menjadi pesona wanita yang menginginkan perlindungan dan pembelaan. Mana mungkin seorang lelaki yang tidak amanah boleh menjaga dengan baik seorang wanita yang serba lemah. Tentu sekali tidak. Kalaupun tidak diabaikan, diapa-apakan isterinya tentu sekali dia akan mewariskan zuriat yang tidak amanah juga. Na'uzubillahi min zalik.

Oleh itu, sahabat-sahabat, lakukanlah pekerjaan dengan penuh kesedaran bahawa Allah melihat semuanya. Usah dikelentong. Atas dunia terlepas, akhirat belum tentu. Allah tetap mengira walau sekecil mana pengkhianatan terhadap tugas. So... beramanahlah... semoga diberkati!

Wednesday, 20 April 2011

Bila Dah Terbiasa

Bila sesuatu perkara yang buruk sudah menjadi kegiatan yang sering dilakukan, maka perkara itu tidak lagi dianggap sesuatu yang buruk, malah timbul kebanggaan dan keseronokan bila seseorang itu melakukannya. Sehinggakan dalam diam tak diam ianya mungkin menjadi budaya yang merebak dari atas ke bahagian bawah dalam sesuatu organisasi atau masyarakat.

Begitulah yang dapat disimpulkan mengenai kegiatan penipuan dan penyelewengan yang sedang berleluasa di mana-mana pada masa kini. Lebih teruk lagi penyelewengan itu seolah-olah dihalalkan oleh pihak atasan yang berkepentingan. Fenomena ini semakin merunsingkan seolah-olah tiada cara yang sesuai untuk membendungnya.

Sekiranya diamati kes-kes jenayah yang dipaparkan di akhbar-akhbar, maka didapati banyak jenayah penipuan dan penyelewengan yang dilakukan oleh pegawai yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga amanah tersebut, umpamanya, pegawai bank didakwa pecah amanah, pegawai agama yang ditangkap khalwat, polis didakwa membunuh, kastam didakwa mengamalkan rasuah, guru berlebihan menghukum anak muridnya dan sebagainya.

Begitulah pula kegiatan jenayah penipuan dan penyelewangan secara kecil-kecilan yang dilakukan oleh pegawai-pegawai bawahan yang nampak semakin hari semakin berleluasa tanpa batasan dan tanpa rasa malu serta takut kepada undang-undang yang ada. Hal ini tidak terkecuali terjadi di institusi-institusi Islam terkemuka negara. Jenayah ini semakin merebak dengan begitu halus tanpa disedari.

Walaupun ianya bersifat kecil-kecilan dan merupakan jenayah terpencil namun ianya tidak boleh dipandang ringan oleh pihak berwajib kerana biasanya di suatu lubuk ikan, jika ada anak maka sudah pasti akan ada ibunya. Tunggu sahaja hari bila penjala hebat datang menjala di lubuk itu.

Punca utama terjadinya jenayah-jenayah ini sudah pastinya adalah kesedaran yang amat kurang terhadap kewajipan mematuhi peraturan, terutama peraturan agama (hukum syariah). Islam mengajar ummatnya supaya mematuhi hukum walau di mana dan pada bila-bila masa tidak kira sama ada ketika ramai atau bersendirian.

Setelah diamati, sememangnya umat Islam khususnya di negara ini sudah memahami asas-asas agama misalnya yang baik mesti dilakukan dan jahat perlu dihindari. Akan tetapi jika hanya ada asas sahaja tanpa penyuburan dan pembudayaan yang merata serta kesentiasaan dalam pelaksanaan maka asas yang ada itu tidak dapat membantu untuk menghindari godaan yang mendatang tambah-tambah lagi godaan dunia yang amat kuat.

Sebagai manusia, tentu tidak dapat lari dari lalai dan lupa. Walau sekuat manapun kefahamannya tentang agama dan syariatnya namun jika terlalu lama tidak di'up-date' dan asyik tenggelam dalam kesibukan mengejar dunia, kadang-kadang terjerumus juga ke lembah kehinaan ini. Sebab itulah, Islam mengajar supaya umatnya saling memperingati, sentiasa mendekati dan menekuni hukum syariat.

Salah satu sebab juga ialah kajahilan. kejahilan akan menyuburkan pengabaian kepada peraturan. Kejahilan akan menghilangkan sifat keinsanan dan etikanya.

Setelah diketahui punca dan faktor-faktor utama yang menyumbang kepada berlakunya janayah ini maka akan mudahlah untuk menghindarinya. Walaupun tidak secara total, perubahan perlu dilakukan sebelum hal ini benar-benar parah.

Wallahu a'lam

Tuesday, 19 April 2011

Perpisahan: Untukmu Teman



Lagu ini ditujukan kepada teman-teman yang telah berpisah dan berjauhan untuk sekian kalinya. Ingatlah bahawa pertemuan dan perpisahan sudah ditentukan oleh Allah... yang penting kita bertemu dan berpisah keranaNya semata-mata. BarakaLlahu fi kum!

Budi Bahasa

Ini cerita mengenai seorang doktor yang agak kurang hajar dengan pesakit. Sifat seorang yang bertugas sebagai pengubat kepada pesakit tidak langsung diamalkan oleh beliau.

Cerita ini berlaku pada minggu lepas ketika ummi saya yang mengalami simptom darah tinggi berkunjung ke klinik beliau untuk mengukur tahap tekanan darah dalam badan. Setelah tiba di klinik ummi terus dipanggil untuk di'check up'. Ujian ini perlu dilakukan 2 hari sekali setelah mendapat nasihat doktor untuk menilai keberkesanan ubat yang diberikan pada seminggu sebelum itu.

Layanan baik yang sepatutnya diberikan oleh seorang doktor kepada pesakit yang mengalami tekanan darah tinggi bertukar kepada tragedi yang amat perit untuk diterima.

Pertanyaan pertama ialah "kenapa datang sini?"

Adik saya menjawab "baru ni mak saya check up dekat Gombak, sekarang mak datang rumah kakak saya dekat sini (sungai besi)"

Dengan suara yang menyindir doktor itu berkata "kenapa... takde rumah ke".

Ummi dan adik agak terkejut dan terdiam.

Ummi lantas memberanikan diri dan menyuarakan hasrat untuk mendapatkan ubat tidur kerana tidak dapat lena yang menjadi punca darah naik.

Doktor menjawab "kenapa tak dapat tidur, bela hantu ke?!"

sekali lagi terkejut.

"lain kali suruh mak awak ni jalan-jalan sikit, naik turun tangga, buat kerja baru boleh tidur... tak payah ubat tidur", Doktor itu membebel... agak serius.

Ternyata doktor ini tiada budi bahasa... kalau saya datang sekali masa ini... entahlah.

Dan dengan layanan doktor sebegitu... darah ummi naik lagi, tak turun pun. Terpaksa makan ubat untuk sekian kalinya...

moralnya... agak-agak boleh direnungkan sejenak sikap segelintir orang kita.

wallahu a'lam!

Tuesday, 15 March 2011

Sentuh Bukan Muslim Tidak Batal Wudhu'

Perkara yang membatalkan wudhu' ada 4 perkara, iaitu:

  1. Keluar sesuatu dari dua lubang (qubul dan dubur) iaitu kencing, berak, angin (kentut), mani, mazi dan wadi.
  2. Bersentuhan dengan perempuan atau sebaliknya yang bukan muhrim.
  3. Hilang akal, termasuk pengsan, mabuk, pitam gila atau tidur dengan tidak tetap papan punggung.
  4. Menyentuh kemaluan (qubul dan dubur) dengan tapak tangan atau perut jari tanpa berlapik sama ada kemaluan sendiri atau orang lain.
Mungkin ramai yang menganggap bahawa orang kafir itu fizikalnya najis sehingga boleh membatalkan wudhu', Allah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ

"wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (jiwa) orang-orang musyrik itu najis" - (surah al-Taubah: 28).

Dari segi hukum menyentuh najis tidaklah membatalkan wudhu' sama ada najis itu mukhaffafah, mughalazhoh atau mutawassithoh. Hanya perlu membersihkan tempat terkena najis itu sahaja dan terus boleh melakukan ibadah solat dan sebagainya.

Syiekh Ibn Utsaimin r.a. menyatakan bahawa "orang kafir adalah najis" dengan bermaksud najis ma'nawi. Dikatakan najis kerana aqidah mereka tidak sahih. Mereka hanya akan menjadi "suci" apabila memeluk agama Islam.

Maka, hukum bersentuhan dengan orang kafir dan orang Islam sama sahaja hukumnya. Jika di dalam Mazhab Syafie batal wudhu' bersentuhan di antara lelaki dan wanita tidaklah dikira sama ada kafir atau Islam, hukumnya tetap batal. Begitu juga dengan mazhab yang mengatakan tidak batal bersentuhan di antara lelaki dan wanita maka tidak kiralah sama ada kafir ataupun Islam salah satu wudhu'nya tidak terbatal.

Wallahu a'lam!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...