Monday 9 November 2015

Pattani Alah Kepada Siam (1785) - 1


Pattani Alah kepada Siam ( 1785)



‘APABILA DITEMBAK, TUBUH PEMBUAT MERIAM TERBELAH DUA; SEBELAH JATUH DI KUALA PERMA DAN SEBELAH LAGI JATUH DI KUALA BARAT’

Upaya Siam menakluki Pattani bermula pada tahun 1603. Entah kerana sakit hati disebabkan Pattani pernah menyerang Ayuthia pada tahun 1563, entah kerana irihati atas kemakmuran yang dinikmati Pattani selama abad 17 dan bahagian pertama abad 18, Siam tetap menjadikan ‘kempen’ penaklukan ini sebagai suatu agenda politik jangka panjangnya yang tetap dan berterusan. Kempen ini sambung bersambung dari seorang raja kepada seorang raja lain sehinggalah Pattani jatuh pada tahun 1785. Jumlah keseluruhan masa yang diambil bagi menjayakan kempen ini ialah 182 tahun.
             
Pada waktu serangan pertama dilancarkan pada tahun 1603, Pattani sedang diperintah oleh raja perempuan Pattani yang pertama yang bernama Raja Ijau. Pada waktu ini Pattani sangat makmur. Kuasanya melebar ke Kelantan dan Terengganu. Kecuali Johor, tidak ada negeri Melayu lain di belahan timur semenanjung Tanah Melayu yang memiliki kemakmuran dan kekuatan setanding Pattani. Kuala sungainya (sungai Pattani) menjadi laluan dagang seteri hilir mudik membawa dagangan masuk dan keluar Pattani. Pada 7hb. November 1601 misalnya, seorang Belanda bernama Jacob Van Neck dilaporkan sampai ke Pattani dengan dua buah kapal dagang, Amsterdam dan G Gonds. Setahun kemudian, 1602, Raja Perempuan Pattani membenarkan orang Belanda mendirikan logi perdagangannya di Pattani. Sebelum itu pada tahun 1592, Raja Pattani menerima mengadap wakil kerajaan Jepun yang datang meminta keizinan baginda untuk membuka perniagaan di Pattani. Hubungan antara Pattani dengan Jepun ini kemudiannya jadi mesra apabila Ratu Pattani mengirim utusan ke Jepun berturut-turut pada tahun 1599 dan 1606.
             
Serangan pertama Siam ini dipimpin oleh Panglima Okya Dicha. Serangan angkatan laut Siam lengkap dengan beribu-ribu orang tentera dan kelengkapan perang bertolak dari Ayuthia bagi memenuhi hasrat Raja Siam waktu itu, Phra Nareswan, untuk menakluk Pattani. Serangan ini bagaimanapun dapat dipatahkan oleh Pattani dengan bantuan tenaga-tenaga asing yang berniaga di Pattani pada waktu itu.
             
Menyedari adanya ancaman Siam ke atas kemerdekaan Pattani, Raja Perempuan Pattani yang kedua, Raja Biru (1616-1624), mengerahkan kawalan keselamatan yang ketat ke atas Pattani. Pada masa bagindalah usaha-usaha pembuatan meriam besar telah dilakukan. Sejumlah tiga laras meriam besar, masing-masing diberi nama Seri Negara, Seri Pattani dan Mahalela telah diketuai oleh tukang berbangsa cina bernama Lim Tau Kin. Oleh kerana peristiwa pembuatan meriam ini merupakan suatu peristiwa besar dalam sejarah Pattani maka ia telah dikenang dalam ‘ingatan’ rakyat Pattani. Hasilnya, beberapa versi cerita lisan di sekitar pembuatan meriam ini muncul di sana sini. Beberapa antaranya masih dituturkan sampai sekarang. Antaranya ialah cerita “To’ Panjang” yang telah disentuh dalam peristiwa bilangan 24 (mukasurat 18 dan 19) lagenda tragedi bunuh diri Lim Ko Nim  yang dikaitkan dengan asal usul riwayat “Tok Pekong Mek” (PERISTIWA bilangan 17 muka surat 16-19) dan terakhir ialah dongeng tukang pembuat meriam yang bersedia menjadi “peluru” bagi percubaan menguji sejauh mana meriamnya mambuat tembakan. Konon khabarnya, apabila ditembak, tubuh pembuat meriam terbelah dua; sebelah jatuh di Kuala Perma dan sebelah lagi jatuh di Kuala Barat.
             
Serangan kedua ini terjadi pada tahun 1632, juga dengan diketuai oleh Okya Dicha. Sebelum melancarkan serangan, siam telah terlebih dahulu menghubungi Belanda di Betawi (Betavia) bagi mendapatkan bantuan. Belanda bersetuju tetapi sehingga serangan dibuat keatas Pattani, Siam tidak pernah menerima bantuan seperti yang dijanjikan.
             
Sementara itu, dipihak Pattani pula, orang Melayu telah dapat mengusir serangan itu berkat kekuatan tiga laras meriam besar yang disediakan oleh Raja Biru sebelumnya. Ditambah dengan tenaga 3000 rakyat Terengganu yang secara kebetulan berada di Pattani kerana menyertai rombongan Yang diPertuan Muda Johor meminang anak raja Ungu yang bernama Raja Kuning (Perkahwinan terpaksa ditangguhkan sehingga perang selesai. Selepas berkahwin Yang diPertuan Muda Johor tidak pulang ke Terengganu, tetapi menetap di Pattani.
            
 Kecewa dengan kegagalan ini, Siam sekali lagi melancarkan serangan pada tahun berikutnya, 1633 atau menurut setengah sumber 1634 di bawah pimpinan Phya Phra Khlang. Pada waktu ini raja Siam yang lama telah digantikan oleh Prasat Tong, iaitu iaitu seorang yang lebih dianggap sebagai perampas daripada seorang raja yang sebenar, tetapi juga yang mempunyai ambisi yang sama terhadap Pattani. Serangan ini dibuat dengan jarak masa yang dekat kerana siam beranggapan bahawa Pattani masih “belum Pulih” daripada luka-luka serangan dahulu. Sebaliknya pada pihak Siam, sekali lagi persetujuan dicapai dengan belanda di Betawi bagi mendapatkan bantuan. Dipendekkan cerita perang ketiga Siam-Pattani pun terjadilah. Tetapi sekali lagi Siam gagal kerana beberapa sebab, pertahanan Pattani yang kuat, kekurangan bekalan makanan serta wabak penyakit di pihak Siam dan kelewatan tiba bantuan yang dijanjikan Belanda (bantuan sampai setelah angkatan Siam berangkat pulang). Di sebaliknya pula di pihak Pattani mendapat bantuan daripada negeri-negeri Melayu dari Johor dan Pahang.
             
Raja Ungu mangkat dua tahun kemudian 1635 digantikan pula dengan puterinya Raja Kuning. Baginda (raja Kuning) adalah seorang raja yang masyhur, bijak dalam sejarah kesultanan Pattani, banyak membuat pembaharuan dan kemajuan kepada rakyat, melibatkan diri dalam perniagaan dan merupakan raja perempuan dan terakhir memerintah Pattani. Sumbangan baginda yang kekal dapat dilihat sampai sekarang ialah usahanya memperdalamkan kuala sungai Pattani sehingga membolehkan kapal-kapal besar masuk berlabuh membawa dan mengangkut dagangan.
             
Pada masa baginda menjadi raja, Siam sekali lagi menyerang Pattani (serangan kali ke4) serangan ini berlaku pada tahun 1638. Pimpinan kali ini dipegang oleh pesuruh jaya Siam yang memerintah negeri Ligor bergelar Okya Sena Phimok. Pesuruh jaya ini asalnya orang berbangsa jepun bernama Yamada. Tetapi telah lama menetap di Siam dan menjadi pegawai tentera yang berkhidmat kepada raja Siam. Oleh kerana jasa-jasanya banyak maka raja Siam telah melantiknya menjadi Pesuruh jaya Ligor.

Serangan kali ke empat ini juga gagal. Selepas seragan ini, Pattani tinggal aman hampir 1 setengah abad. Selang masa yang lama ini telah menyebabkan Pattani alpa kepada musuh lamanya. Selain dari itu berbagai kelemahan dialami oleh pattani selepas masa-masa gemilang dicapainya dalam masa pemerintahan ratu-ratu berempat dan terutamanya pada masa pemerintahan Raja Kuning yang reletif panjang.
             
Dalam sejarah pattani, tempoh antara tahun-tahun selepas kemangkatan Raja Kuning (1651 atau menurut setengah sumber 1688) dikenali sebagai tahun-tahun serba tidak menentu. Selama tempoh ini pattani tidak pernah mempunyai keturunan raja yang tetap. Seorang raja dilantik, tetapi kemudiannya seorang raja lain mneggantikannya. Keadaan seperti ini telah menyebabkan tumpuan tidak dapat diberikan bagi memaju dan memperkukuhkan ekonomi serta pertahanan pattani.
             
Menurut sesertengah sejarawan, sejumlah tidak kurang daripada 8 orang raja telah menerajui negeri Pattani antara tempoh 1688 hingga ke zaman Sultan Muhammad Shah dilantik menjadi raja Pattani pada suatu tarikh yang tidak dapat dipastikan (lihat hikayat Pattani, the hague, mat nus Nijhoff 1970, muka surat 277 dan 278) pada zaman Sultan Muhammad Shah menjadi raja inilah, serangan siam kali yang ke 5 yang membawa kejatuhan Pattani dilancarkan.
           
Menurut Ibrahim Syukri dalam bukunya SEJARAH KERAJAAN MELAYU PATTANI mukasurat 81 hingga 91, latar belakang serangan siam kali ini dapat dikesan seawal tahun 1767 lagi iaitu apabila Ayuthia ditawan oleh orang-orang Burma. Ekoran daripada penaklukan ini bebrapa orang raja kecil telah mengambil kesempatan mengisytiharkan kemerdekaan negerinya masing-masing daripada kekuasaan pusat termasuk raja Ligor  di Selatan. Bagi mengatasi bahaya perpecahan ini siam berusaha sedaya upaya menyatukan semula negaranya ke dalam satu kuasa pusat dan bersatu. Usaha ini berjaya kerana pada waktu yang sama muncul seorang tokoh bernama Taksin yang berjaya mengusir kependudukan Burma di Ayuthia dan sekali gus menyatukan kembali Siam. Raja-raja kecil yang memberontak ditundukkan, tetapi tidak Raja Ligor. Bagi mengalahkan Raja Ligor, satu serangan besaran dilancarkan yang memaksa Raja Ligor lari ke Senggora. Di Senggora baginda tetap diekori oleh pasukan Taksin, menyebabkan baginda lari ke negeri yang lebih ke selatan lagi iaitu Pattani. Di Pattani baginda meminta perlindunagn politik daripada sultan Pattani pada waktu itu Sultan Muhammad Shah.
            
Malang bagi Patani kerana pelarian Raja Ligor tetap dijejaki oleh pasukan Taksin. Pada kira-kira penghujung tahun 1769, rombongan Taksin tiba di sungai Tabor (sempadan Pattani Senggora) dan menghantar utusan ke pattani pada bulan disember tahun yang sama meminta supaya raja Ligor diserahkan kepadanya. Permohonnan diterima, dan sejak itu negeri Ligor atau nakhonsitamarat kembali menjadi wilayah negeri siam.
             
Meskipun demikian, namun siam tetap cemburu kepada Pattani apabila Burma sekali lagi menyerang bahagian utara siam pada thun 1776, siam cuba meminta bantuan Pattani. Permintaan ini lebih berupa untuk mengukur hati raja Pattani daripada untuk mendapat bantuan sebenar. Pattani menolak, dan sejak itu siam bersikap menunggu waktu bagi membaham Pattani. Peluang ini kemudiannya terbuka pada 1784 apabila Burma menyerang ligor selepas siam mengusir Burma dari Ligor pandangan mata jatuh ke Pattani.
            
Dipendekkan cerita Siam menyerang Pattani pada tahun 1785. Kerana lama tidak diserang Pattani hidup dalam lalai dan leka. Dengan kubu-kubu pertahanan yang telah lama terbiar askar-askar yang tidak terlatih serta persiapan logistik yang tergesa-gesa dan kelam kabut, Pattani berusaha menyeamatkan negaranya daripada terkaman singa dari Nancho ini. Namun betapa pun tenaga dikerah Pattani kalah dalam pusiangan ke 5 ini. Sultan Pattani Sultan Muhammad Shah tewas di medan tempur. Sebaliknya panglima perang Siam Phraya Kalahon Rachina dan Phraya Sibakorn berjaya membawa balik kemenangan kepada raja Siam selepas gagal dalam percubaan menakluk Pattani sejak dimulakan lebih 1 setengah abad sebelumnya. Pada waktu kemenangan ini dicapai siam diperintah oleh Raja Rama Tibodi atau lebih diekanli dengan nama Rama I iaitu pengasas kepada dinasti raja-raja Rama yang memerintah Thai sekarang.
             
Kedah yang kecut hati melihat kejatuhan Pattani di depan matanya segera membuat perjanjian memajak Pulau Pinang kepada Inggeris pada tahun berikutnya 1786 dengan janji bahawa Inggeris akan melindungi dari ancaman siam.
             
Mampukah kedah menghadapi ancaman siam atau bersediakah Inggeris melindungi kedah daripada ancaman ini? Jawapan bagi pertanyaan ini akan merupakan satu permasalahan sejarah yang lain pula. Bagaimanapun adalah jelas bahawa kejatuhan Pattani telah mengubah warna sejarah dan masa depan politik negeri “merong mahawangsa” ini.

Bersambung...

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...