Wednesday 24 September 2008

Amalan Murni Pada Eid Mubarak

Firman Allah SWT. "Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah." (Ali-Imran:10).

Kita selaku umat terbaik mestilah menyambut hari raya dengan amalan yang cukup baik di sisi agama sebagaimana yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW seperti memperbanyakkan takbir dan tahmid.

Takbir boleh dilakukan sepanjang masa bermula selepas solat maghrib terakhir Ramadhan sehingga ke hari raya iaitu sebelum solat sunat hari raya. Secara spesifiknya takbir terbahagi kepada dua iaitu Takbir Mursal dan Takbir mqaiyyad. Takbir mursal ialah takbir yang tidak terikat dengan waktu solat (sepanjang masa). Manakala takbir muqaiyyad ialah takbir yang diucapkan selepas solat fardhu.

Malam raya pula disebut sebagai Lailatul Jaaizah iaitu malam pengurniaan hadiah daripada Allah Taala yang rahmat dan pengampunanNya setelah kita berjaya mengharungi pelbagai ujian di bulan puasa.

Sembahyang sunat hari raya disyariatkan dalam tahun pertama hijrah. Dalam hal ini, Anas bin Malik pernah berkata: "Rasulullah SAW datang ke Madinah ketika itu, penduduk Madinah sudah mempunyai dua hari besar yang sentiasa mereka rayakan." Lantaran itu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah Tabaraka Wata'ala telah menggantikan yang dua hari itu dengan yang lebih baik bagi kamu, iaitu Hari Raya dan Aidiladha." (Ahmad, Abu Daud, Naasa'ei dan al-Baihaqi) Allah SWT berfirman yang maksudnya: "Hendaklah kamu mencukupkan bilangannya (puasa Ramadan), dan hendaklah kamu mengagumkan Allah atas petunjuk yang diberikan-Nya ke pada kamu, supaya kamu bersyukur." (Surah Al-Baqarah : 185)

Kita dianjurkan bersyukur kepada Allah Taala atas kebesaran nikmat yang telah diberikan. Pun begitu kita tidak digalakkan membazir. Jadilah orang yang sederhana dalam semua keadaan.

Alangkah baiknya kalau malam yang mulia ini dihidupkan dengan pelbagai ibadah. Antara ibadat yang boleh dilakukan ialah banyakkan bertakbir, beristiqhfar, solat tasbih dan memuji kebesaran Allah pada malam hari raya itu.

Amalan yang baik untuk menyambut hari raya ialah disuruh mandi, bersugi (menggosok gigi) dan memakai wangi-wangian. Disunatkan menjamah makanan sebelum pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat Hari Raya. Dalam mengerjakan sembahyang Aidilfitri atau berziarah, kita disuruh memakai pakaian yang bersih dan cantik. Hassan bin Ali berkata "Rasulullah SAW. menyuruh kami memakai pakaian yang paling bagus dan baik serta memakai minyak wangi yang paling bermutu bergantung kepada kemampuan kami." Amalan ini haruslah dilakukan oleh umat Islam kerana ia menunjukkan kebersihan dan kegembiraan ketika menyambut Hari Raya.
Umat Islam juga disuruh pergi menunaikan sembahyang hari raya iaitu setelah selesai mengerjakan sembahyang subuh dan hendaklah bersiap untuk pergi ke masjid. Pelbagai amalan yang baik boleh dilakukan sempena Hari Raya, antaranya mengeratkan hubungan silaturahim dengan berkunjung ke rumah saudara-mara yang lebih tua, sahabat atau jiran.

Menziarahi kubur juga boleh dilakukan pada Hari Raya seperti dilakukan oleh umat Islam di negara ini. Amalan ini juga boleh dilakukan sebelum hari raya.

Akhir sekali, jagalah adab dan sopan sepanjang hari raya. Sesungguhnya hari raya Islam tidak sama dengan hari raya kaum lain. Walaupun hari raya adalah hari untuk bergembira dan bersuka ria tetapi janganlah sampai melampaui batas sehingga terjadi kekufuran, kemungkaran serta menjadi sahabat syaitan. Wallahu A’lam!

كل عام وأنتم بخير من العيد والفائزين المقبولين

Akhirat Satu Wawasan

Nabi Muhammad SAW telah bersabda; “orang yang paling bijak ialah orang yang sering mengingati mati dan bersedia untuk menghadapinya”.


Seseorang yang bercita-cita tinggi dan berwawasan adalah dikatakan berpandangan jauh. Sedangkan orang yang dapat berpandang jauh itulah orang yang bijak. Misalnya, segala apa yang dilakukan hari ini adalah untuk dicapai pada seribu tahun akan datang. Sebagaimana sesebuah negara yang berwawasan, Malaysia contohnya, mempunyai wawasan 2020 dikatakan sebuah negara yang bijak. Masyarakat dididik supaya mamajukan diri dengan membawa gambaran di tahun 2020 nanti semuanya akan maju dan canggih. Sesiapa yang tidak mempersiapkan diri akan ketinggalan.

Orang yang berpandangan jauh ini juga boleh dikaitkan dengan petani dan peniaga. Petani hanya menanam biji-bijian dengan harapan dan pandangan biji-bijian itu akan tumbuh membesar subur dan menghasilkan buah yang bernas serta akan dijual kepada orang yang memerlukan. Keuntungan dari itu akan digunakan dalam kehidupannya.
Lihat betapa penting wawasan. Daripada bertanam-tanaman akan dapat menyelamatkan masyarakat.

Begitu juga dalam pendidikan. Falsafah cina ada mengatakan; jika ingin maju hingga 10 tahun akan datang kamu tanam pokok dan jika ingin maju hingga 100 tahun akan datang maka kamu didiklah anak-anak muda. Inilah wawasan yang wujud dalam pendidikan anak-anak. Pendidikan yang baik akan mencorak masa depan dengan baik. Sebaliknya keruntuhan aspek pendidikan akan memusnahkan masa depan individu, masyarakat dan negara.

Agama Islam pula selaku sistem hidup yang satu-satunya baik untuk manusia mengakui bahawa kebijaksanaan seseorang memang bergantung pada kemampuan seseorang berpandangan jauh serta berwawasan. Wawasan yang paling baik bagi manusia ialah kematian. Sebagai mana hadis yang didatangkan di atas. Ini kerana kematian atau akhirat adalah masa depan manusia yang paling akhir. Tiada lagi masa depan selain akhirat. Destinasi yang terakhir bagi manusia.

Seseorang yang mahu akhiratnya baik dan damai maka dunia ini adalah tempat untuk berusaha segigih mungkin untuk mencapainya. Maka sebaliknya akan berlaku jika kita lalai dan mengabaikan pekerjaan yang boleh membawa kebaikan di akhirat nanti. Apatah lagi mereka yang lupa langsung wawasan akhirat yang penting ini.
“Addunia darul ‘amal wal akhiratu darul jaza’…”

Maka, sebaik-baik amal atau pekerjaan adalah pekerjaan yang boleh merealisasikan cita-cita kita di akhirat. Hakikatnya, tidak ada apa yang boleh memberi gambaran tentang hari akhirat selain Al-Quran dan As-sunnah. Dan bagaimana pula tanpa membaca Al-Quran kita mampu tahu tentang wawasan kita itu?!

Tuesday 16 September 2008

Al-Quran yang menakjubkan!



Di dalam 114 surah yang mengandungi jumlah keseluruhan ayat 6,666, perkataan 'yaum' dan 'al-yaum' yang bermaksud 'hari', disebut sebanyak 349 kali. Jika dicampur dengan perkataan 'yaumakum' bermaksud 'hari kamu'yang disebu sebanyak lima kali, menjadikan jumlahnya 354. Ini bersamaan dengan jumlah hari dalam satu tahun hijrah iaitu 354 hari.

Manakala jika dicampurkan dengan perkataan 'yauman' bermaksud 'hari' (dalam bentuk mansub), yang disebut sebanyak 16 kali, maka jumlahnya ialah: 356. Ini bersamaan dengan jumlah hari dalam satu tahun Masihi.

Selain itu, perkataan 'syahrun' iaitu bermaksud bulan, disebut sebanyak 12 kali, sama dengan jumlah bulan dalam satu tahun. Perkataan 'sa'ah iaitu jam, disebut sebanyak 24 kali, sama dengan jumlah jam dalam sehari iaitu 24 jam. SubhaanAllah!

Monday 15 September 2008

Terubat Rindu UIA


Sempena bulan mulia, Ramadhan al-mubarak ini, aku mengambil peluang untuk menunaikan solat Isya' dan terawih di masjid UIA.

Ada beberapa kelebihan bulan ini antaranya ialah; bulan tarbiyyah, bulan ibadah, bulan yang diturunkan al-Quran, bulan yang terdapat padanya suatu malam yang lebih mulia dari seribu bulan, bulan yang digandakan pahala... dan banyak lagi kelebihan yang lain.

Amat rugi kiranya di kesempatan yang ada ini kita tidak merebut peluang yang diberikan. Walaupun tidak semua yang boleh kita lakukan, maka lakukanlah ibadah/amalan yang termampu. Jangan ditinggalkan, jangan diabaikan rahmat Allah yang datang pada bulan ini. Ianya menuntut sedikit usaha dari kita selaku hamba bagi merebutinya. Maghfirah Allah sentiasa menanti taubat dari hamba yang insaf dan memohon maaf dari kesalahan yang dilakukan. Semoga apa yang kita lakukan pada Ramadhan ini dapat memberikan sedikit kesan taqwa pada hati kita.

Ramadhan pada kali ini adalah Ramadhan yang ke tiga aku keluar UIA. Masih aku ingat pada Ramadhan yang mana aku masih dalam pengajian di UIA. Pada Ramadhan begini, aku akan bersama-sama rakan-rakan, Joe, Jan, Faizal, Riduan, Nazri dan lain-lain berbuka puasa kat masjid UIA. Bila tiba waktu berbuka kitorang berkumpul bersama pelajar dalam dan luar untuk menikmati hidangan berbuka puasa. Lucu pun ada bila kami berebut-rebut 'nasi foreigner'. Sebabnya nasi foreigner ni lebih banyak dan lebih sedap dari nasi biasa. Siap ambik dua lagi. dengan alasan untuk makan sahur. Kami akan solat sama-sama kat masjid tu. Lepas terawih pulak kami dihidangkan dengan teh 'O' panas dan kuih-muih. Seronok sangat masa tu sebab kawan-kawan semua spoting, suka buat lawak... ada-ada je yang lucu... menyebabkan kami happy sokmo.

Namun semua itu dah berlalu... hanya tinggal kenangan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata mahupun pena. Apa yang boleh aku lakukan hanya menceritakan pengalaman yang lepas itu pada isteri dan juga menulis dalam ruangan begini.

Dan tahun ini aku mengambil kesempatan untuk solat terawih di masjid UIA supaya kenangan lama akan kekal abadi selain merasai suasana unik UIA yang terdapat masyarakat berbilang kaum di dunia berkumpl menuntut ilmu bagaikan aku bukan berada di Malaysia.

Yang paling kuat menarik aku ke masjid UIA juga adalah bacaan surah solat terawih dari huffaz terpilih dengan bacaan qiraat yang berbagai... sungguh mengasyikkan, khusuk, insaf dan memotivasi diri supaya sebaik huffaz itu.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...